Parti Titik Merah Bersatu (RDU) telah mengumumkan ia akan menarik diri daripada pakatan parti pembangkang selepas Parti Perpaduan Nasional (NSP) – rakan dalam pakatan itu – enggan mengundur diri daripada adanya pertembungan tiga penjuru di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Sembawang.
Sebelum ini, RDU merupakan sebahagian daripada pakatan tidak rasmi parti pembangkang yang dinamakan, ‘The Coalition’, yang dibentuk pada Oktober 2023.
Pakatan itu turut merangkumi Parti Perpaduan Nasional (NSP), Parti Bersatu Singapura (SUP), dan Parti Rakyat Singapura (SPP).
Dalam satu hantaran di Facebook pada 12 April, Setiausaha RDU, Encik Ravi Philemon, berkata partinya tidak dapat menyokong hasrat NSP untuk menyertai pertandingan tiga penjuru menentang Parti Demokratik Singapura (SDP) dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Sembawang.
Menurut beliau, tindakan sedemikian menjejas prinsip asas pakatan tersebut, iaitu sentiasa mengutamakan kepentingan pengundi.
Pada acara yang berbeza, pengerusi SUP, Encik Ridhuan Chandran, berkata parti mereka masih dalam perundingan bersama Setiausaha Agung, Parti Kuasa Rakyat (PPP), Encik Goh Meng Seng.
Beliau berkata demikian selepas lawatan SUP ke Pasar dan Pusat Makanan Teck Ghee pada 12 April.
Sebelum ini, GRC Ang Mo Kio dilaporkan berkemungkinan menyaksikan pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Ini selepas dua parti pembangkang gagal mencapai persetujuan mengenai parti manakah yang akan bertanding menentang PAP.
“Rundingan bersama pihak PPP masih dijalankan dan kami akan memaklumkan kepada pihak berkepentingan pada masa yang sesuai,” kata Encik Ridhuan.
Menurutnya, pembentukan pakatan tidak rasmi antara parti pembangkang adalah tindak balas secara langsung sentimen orang ramai yang mahukan parti pembangkang agar lebih bersatu.
“Penduduk yang kami temui telah mencadangkan agar parti-parti pembangkang bergabung dan bekerjasama.
“Disebabkan itu, kami memulakan pakatan ini untuk berkongsi sumber antara satu sama lain.
“Tetapi bagi SUP khususnya, misi kami adalah untuk menyuarakan isu-isu rakyat dengan kerjasama pemerintah untuk membawa perubahan,” tambahnya.
Antara anggota yang turut menghadiri lawatan tersebut termasuk Setiausaha Agung SUP, Encik Andy Zhu; Cik Noraini Yunus, yang menggalas tanggungjawab sebagai bendahari parti, anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), Encik Yap Chin Chaw, dan anggota parti, Encik Vincent Ng.
Pada masa ini, Encik Ridhuan tidak dapat memberi kepastian barisan calon yang bakal bertanding dalam GRC Ang Mo Kio.
“Semua di sini adalah calon Parlimen yang berpotensi, tetapi kami akan sahkan senarai calon pada masa yang sesuai,” kata beliau.
SUP ditubuhkan pada Disember 2020.
Namun, anggota utamanya pernah bertanding di GRC Ang Mo Kio semasa GE2020 di bawah Parti Pembaharuan (RP), dan pasukan itu meraih 28.09 peratus undi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg