Lebih daripada bilangan kerusi yang berjaya ditawan Parti Tindakan Rakyat (PAP) atau parti pembangkang, setiap pilihan raya adalah tentang memilih individu yang mempunyai integriti dan dedikasi, kata penolong setiausaha agung PAP, Encik Chan Chun Sing.
Individu seperti itu diperlukan untuk berkhidmat kepada penduduk secara berkesan pada peringkat masyarakat, membentuk pemerintah berkebolehan buat negara dan mewakili Singapura di pentas global, ujar beliau.
“Kami berhasrat membina sebuah pasukan yang boleh mendapat penghormatan dan keyakinan rakan kongsi antarabangsa untuk memandangkan kita dengan serius, terutamanya dalam masa pergolakan, supaya orang boleh terus mempercayai rakyat Singapura dan Singapura untuk meletakkan pelaburan mereka di sini,” kata Encik Chan.
Beliau, yang juga Menteri Pendidikan, berkata demikian dalam satu sidang media di Blok 226 Serangoon Avenue 4 pada 13 April.
Pada sidang media itu, PAP memperkenal barisan bakal calonnya yang akan bertanding di GRC Aljunied – yang dikuasai Parti Pekerja (WP) sejak 2011– bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Mereka ialah pengarah pemasaran, Cik Chan Hui Yuh; pengarah klinikal Nuffield Dental, Dr Faisal Abdul Aziz; pengarah urusan Morrow Architects and Planners, Encik Daniel Liu; penolong pengarah Unit Pekerja Bebas dan Bekerja Sendiri (FSEU) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Jagathishwaran Rajo; serta pengarah perniagaan baru dan kemampanan kumpulan syarikat Chye Thiam Maintenance, Dr Adrian Ang.
Cik Chan satu-satunya anggota pasukan PAP yang bertanding di GRC Aljunied pada GE2020 yang kekal dalam pasukan yang akan diketengahkan parti itu di kawasan undi itu dalam GE2025.
Beliau akan memimpin pasukan lima orang itu.
Aljunied merupakan Kawasan undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) pertama dikuasai parti pembangkang sejak sistem GRC diperkenal pada 1988.
Semasa GE2020, WP meraih 59.95 peratus undi di kawasan undi itu, menewaskan PAP yang mendapat 40.05 peratus undi.
Dalam ucapannya, Encik Chan berkata PAP bermatlamat mengetengahkan pasukan yang mempunyai anggota baru serta berpengalaman untuk meraih mandat rakyat.
Beliau akur sedang ramai warga Singapura inginkan pemerintah PAP, mereka juga mahu kehadiran pembangkang dalam Parlimen.
“Justeru setiap persaingan adalah sukar. Kami tidak menganggap sebarang keputusan sebagai sesuatu yang sudah ditetapkan. Tidak ada divisyen yang dipegang PAP yang pasti akan meraih kemenangan.
“Begitu juga bagi kawasan undi yang dipegang pembangkang, mereka tidak sepatutnya rasa mereka satu-satunya yang bertanggungjawab menegakkan kehadiran pembangkang di Parlimen,” ujarnya.
Pada 13 April, PAP turut memperkenal bakal calonnya di dua lagi kawasan undi yang kini dipegang WP, iaitu GRC Sengkang dan SMC Hougang.
Di Sengkang, mantan menteri negara kanan, Dr Lam Pin Min, 56 tahun, yang aktif di Sengkang West sejak 2006, mengumumkan beliau akan memimpin pasukan PAP di kawasan undi itu.
Selain Dr Lam, pasukan itu dianggotai tiga muka baru, iaitu Cik Theodora Lai, 39 tahun, prinsipal di firma ekuiti swasta Tembusu Partners; Profesor Madya Dr Elmie Nekmat, 43 tahun, yang mengajar komunikasi dan media baru; dan Cik Bernadette Giam, 38 tahun, pengarah di perusahaan makanan dan minuman tempatan, Creative Eateries.
GRC Sengkang jatuh ke tangan WP semasa GE2020, dengan 52.12 peratus undi, menewaskan PAP, yang mendapat 47.88 peratus undi.
Keputusan itu menjadikan Sengkang GRC kedua yang jatuh ke tangan pembangkang.
Kekalahan itu juga membawa kepada kehilangan tiga pemegang jawatan politik iaitu Encik Amrin Amin dan Encik Ng Chee Meng, selain Dr Lam.
Dr Lam berkata pasukannya sedar usaha merebut semula GRC Sengkang bukan mudah kerana PAP belum pernah dapat merebut semula GRC yang jatuh ke tangan pembangkang.
“Ia tidak mudah, tetapi walau betapa sukarnya perjalanan itu, yang kami pasti ialah kami amat bertekad untuk cuba memenanginya semula.
“Undi bagi pasukan kami bermakna kepimpinan berpengalaman, tenaga diperbaharui dan komitmen teguh terhadap kemajuan Sengkang,” katanya.
Dalam pada itu, seorang peguam jenayah, Encik Marshall Lim, 38 tahun, diperkenal secara rasmi kepada media sebagai calon PAP di kubu kuat WP, SMC Hougang.
Ia kawasan undi paling lama dipegang pembangkang dalam sejarah pilihan raya Singapura dan berada di tangan WP sejak mantan ketua parti itu, Encik Low Thia Khiang, memenanginya pada 1991.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg