Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Jurong East-Bukit Batok, Cik Rahayu Mahzam yang juga Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), menyatakan bahawa pasukan PAP telah aktif menjalankan pelbagai kegiatan dan lawatan ke rumah penduduk Jurong East-Bukit Batok sejak 2020.
Beliau dengan rendah hati mengakui bahawa walaupun tidak dapat berjumpa semua penduduk, beliau berhasrat untuk terus memperbaiki diri dan meneruskan usaha-usaha yang telah dilaksanakan di kawasan tersebut.
Cik Rahayu menjawab kenyataan Cik Liyana Dhamirah, calon Parti Titik Merah Bersatu (RDU) di GRC yang sama, yang berkata bahawa penduduk tidak mengenali dan tidak pernah bertemu dengan Anggota Parlimen (AP) mereka.
Cik Liyana juga menyatakan bahawa terdapat isu-isu seperti kawasan estet yang kotor dan siling yang bocor yang tidak ditangani.
Cik Rahayu berkata beliau tidak pasti dari mana maklum balas itu datang dan yakin bahawa semasa lawatan ke rumah dan pasar, mereka mungkin tidak dapat bertemu semua orang.
“Tetapi, kami telah melakukan lawatan rumah ke rumah, kegiatan dan program, dan ini adalah sesuatu yang kita telah lakukan selama lima tahun.”
Kededua Cik Rahayu dan Cik Liyana akan berentap untuk menawan kerusi GRC Jurong East-Bukit Batok yang baru dibentuk untuk Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Cik Grace Fu, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, dan Encik Murali Pillai, Menteri Negara (Pengangkutan merangkap Undang-Undang) akan menerajui pasukan PAP. Mereka akan disertai oleh dua muka baru iaitu Encik David Hoe dan Encik Lee Hong Chuang, serta Cik Rahayu.
Pasukan RDU pula akan dianggotai oleh Cik Liyana, Encik Osman Sulaiman, Encik Harish Mohanadas, Encik Ben Puah, dan Encik Marcus Neo.
Cik Rahayu berkata bahawa PAP telah berkhidmat di kawasan itu untuk beberapa tahun dan berharap usaha mereka menunjukkan kesediaan mereka untuk terus memperbaiki kehidupan penduduk.
Beliau akan terus berusaha memperbaiki kekurangan dan berharap usaha yang telah dilaksanakan akan menarik sokongan penduduk supaya mereka memberi peluang kepada PAP untuk meneruskan usaha tersebut.
Pada GE2020, kededua calon itu pernah bertanding di kawasan undi yang sama iaitu GRC Jurong, yang kini ditiadakan.
Pasukan PAP memenangi 74.61 peratus undian mengatasi RDU ketika itu.
Cik Liyana berkata walaupun mereka tewas, pasukannya tetap melakukan kegiatan bertemu penduduk di kawasan Jurong East dan kawasan Bukit Batok selama lima tahun.
Menurutnya, penting bagi mereka untuk meneruskan perkara yang telah dijanjikan bersama penduduk.
Menyingkap perbezaan antara GE2020 dengan GE2025, Cik Liyana berkata:
“Perbezaannya saya boleh katakan adalah pengalaman dan juga perbincangan saya dengan penduduk.
“Jadi daripada itu, saya jadikannya sebagai motivasi untuk teruskan, dan ini ialah untuk rakyat Singapura.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg