Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketua PSP beri jaminan terus ketengah suara rakyat

May 7, 2025 | 2:26 PM
Leong Mun Wai, PSP
Setiausaha Agung, Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Leong Mun Wai, dalam satu hantaran Facebook pada 7 Mei berkata parti itu akan terus mengetengahkan suara rakyat Singapura dan sedia berkhidmat bagi menegakkan ketelusan, kebebasan dan kebertanggungjawapan. - Foto ST

Parti Kemajuan Singapura (PSP) akan terus mengetengahkan suara rakyat Singapura dan sedia berkhidmat bagi menegakkan ketelusan, kebebasan dan kebertanggungjawapan, kata ketua parti, Encik Leong Mun Wai.

Dalam satu hantaran Facebook pada 7 Mei, beliau berkata sungguhpun parti itu mencatat keputusan “mengecewakan” dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), ia menerima hakikat tersebut dan akan “berkumpul semula, bermuhasabah dan kembali bertanding dengan lebih kukuh”.

“Seruan kami (adalah) untuk memantau dan menyemak (tindakan parti pemerintah), masyarakat terangkum dan peluang lebih adil bagi semua kekal utuh.

“Saya akan terus bersuara, berkhidmat dan menegakkan nilai yang kami pegang – ketelusan, kebebasan dan kebertanggungjawapan,” katanya.

Parti tersebut hanya meraih 4.89 peratus undi sah kali ini, turun daripada 10.18 peratus undi sah pada GE2020.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) setelah meraih mandat kukuh dengan memenangi 87 daripada 97 kerusi Parlimen dan menerima 65.57 peratus undi sah – naik daripada 61.24 peratus pada GE2020.

Encik Leong adalah antara anggota pasukan PSP yang bertanding bagi GRC West Coast-Jurong West.

Anggota pasukan itu termasuk Pengerusi PSP, Dr Tan Cheng Bock; Naib Pengerusi Pertama PSP, Cik Hazel Poa; Encik Sani Ismail dan Encik Sumarleki Amjah.

Mereka menentang pasukan PAP yang diketuai Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, dan dianggotai Setiausaha Parlimen Kanan (Kewangan merangkap Pendidikan), Encik Shawn Huang; Encik Ang Wei Neng; Cik Cassandra Lee dan Dr Hamid Razak.

Encik Leong menyifatkan Encik Lee sebagai lawan yang berkaliber dan menggesa agar parti pemerintah “terus mendengar suara penduduk dan menunaikan janji”.

Ini setelah pasukan Encik Lee memenangi persaingan tersebut dengan 60.01 peratus undi, perbezaan mata ketara berbanding GE2020 apabila PAP menang tipis bagi GRC West Coast ke atas PSP, dengan 3.38 peratus mata undi memisahkan kededua parti.

GRC West Coast-Jurong West dikenali sebagai GRC West Coast sebelum penerbitan laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) pada Mac.

Keputusan kali ini turut merupakan satu tamparan kepada PSP setelah ia gagal mengekalkan dua kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) di Parlimen, yang sebelum ini disandang Encik Leong dan Cik Poa menyusuli jurang tipis kekalahan parti itu pada GE2020.

Dua kerusi NCMP itu akan ditawarkan kepada calon yang tewas dengan peratusan undi paling tinggi, iaitu Parti Pekerja (WP).

PSP mengetengahkan 13 calon yang bertanding dalam dua Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan empat Kawasan Undi Perseorangan (SMC) pada pilihan raya kali ini.

Selain GRC West Coast-Jurong West, PSP turut bertanding di GRC Chua Chu Kang, SMC Pioneer, SMC Bukit Gombak, SMC Kebun Baru dan SMC Marymount.

Ini berbanding 24 kerusi di empat GRC dan lima SMC dalam penampilan sulung PSP pada GE2020.

Awal sebelum itu pada 3 Mei, Encik Leong menyifatkan keputusan GE2025 sebagai “mengejutkan” dan akan menilai semula strategi kempen pilihan raya bagi meningkatkan kepercayaan rakyat.

Beliau berkata parti itu mengkaji keputusan itu dan “mempertimbangkan secara serius bagaimana kami dapat memperoleh lebih kepercayaan daripada orang ramai” pada masa hadapan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg