Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Meskipun tewas, calon WP syukur atas sokongan penduduk

Andre Low berterima kasih kepada penduduk Jalan Kayu
May 5, 2025 | 2:55 PM
Calon Parti Pekerja, Encik Andre Low (kanan), berterima kasih kepada penduduk SMC Jalan Kayu kerana memberi kepercayaan sehingga beliau meraih 48.53 peratus undi – tidak jauh daripada peratusan undi yang dimenangi calon PAP, Encik Ng Chee Meng.
Calon Parti Pekerja, Encik Andre Low (kanan), berterima kasih kepada penduduk SMC Jalan Kayu kerana memberi kepercayaan sehingga beliau meraih 48.53 peratus undi – tidak jauh daripada peratusan undi yang dimenangi calon PAP, Encik Ng Chee Meng. - Foto ST

Calon Parti Pekerja (WP) Encik Andre Low, 33 tahun, menjangka kempen Pilihan Raya 2025 (GE2025) pertamanya sengit menentang calon Parti Tindakan Rakyat (PAP), Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, di Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Jalan Kayu.

Encik Ng, 56 tahun, mengalahkan Encik Low dengan meraih 51.47 peratus undi pada 3 Mei.

Meskipun tewas, Encik Low berkata beliau bersyukur atas sokongan penduduk dan bangga dengan apa yang dicapai pasukannya di kawasan undi baru diukir daripada GRC Ang Mo Kio.

Beliau berkata: “Saya sudah tahu ia akan menjadi persaingan rapat. Ia akan menghasilkan margin yang kecil; malangnya ia tidak mengayun ke arah kami. Pada mulanya, pendakian agak sukar.

“Saya amat bangga dengan pasukan dan sukarelawan saya yang datang bersama-sama. Kami menjalankan kempen yang kuat, tetapi kami hanya kekurangan sedikit sahaja.”

Kurang 12 jam selepas keputusan GE2025 diumumkan, Encik Low kembali di Jalan Kayu pada pagi 4 Mei dengan mengelilingi estet dengan kenderaan terbuka tersebut untuk mengucapkan terima kasih kepada penduduk.

Terdapat penduduk yang menjengah ke luar tingkap dengan melaung “Parti Pekerja!” dan melambai ke arah Encik Low, dengan sebahagian melambai-lambai tukul mainan, simbol WP.

“Saya benar-benar rasakan kemesraan penduduk Jalan Kayu yang selama ini amat peramah,” kata beliau.

Di jalan raya, pemandu menurunkan tingkap kenderaan memberi sokongan semasa melepasi Encik Low, memberi kata-kata perangsang, dengan ada yang membunyikan hon kereta mereka.

Ketika ditanya mengenai kiraan undi yang disebut-sebut akan memihak kepada Encik Ng, beliau berkata:

“Amat sukar membuat spekulasi... yang bertentangan dengan mana-mana arah.

“Kami mengadakan kempen yang baik, dan hampir separuh daripada penduduk Jalan Kayu suka mesej yang saya sampaikan, dan kerana itu saya sangat, sangat bersyukur.”

Dengan GE2025 sudah berakhir, Encik Low – peguam yang menjadi pakar teknologi – berkata beliau belum membuat keputusan mengenai langkah seterusnya.

Besar kemungkinan WP akan ditawarkan dua kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), kerana Encik Low dan pasukan WP di GRC Tampines mendapat undi tertinggi dalam kalangan calon yang tewas.

Pasukan WP GRC Tampines mendapat 47.37 undi – kalah kepada pasukan PAP dalam pertandingan empat penjuru.

Bagi menyandang kerusi NCMP, Encik Low berkata ia bukan keputusan beliau sahaja.

“Apabila kami mempunyai masa untuk bernafas – saya, pasukan Tampines, kepimpinan parti mempunyai sedikit masa untuk memampatkan dan mencerna keputusan – kami akan berbincang dan membuat keputusan.

“Jika saya mendapat restu kepimpinan parti, saya akan terus kekal di sini dan terus berada di SMC Jalan Kayu. Ini adalah kempen pertama saya, dan saya tidak fikir ia akan menjadi yang terakhir bagi saya. Saya ingin sekali lagi melangkah ke hadapan.

“Kami begitu hampir. Dengan pengalaman lima tahun berkhidmat, saya rasa saya akan dapat menyumbang lebih banyak lagi,” kata Encik Low.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg