Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Calon termuda RDU di GRC Holland-Bukit Timah berusia 25 tahun

Apr 18, 2025 | 6:40 PM
Parti pembangkang Titik Merah Bersatu (RDU) memperkenalkan calon-calon yang akan bertanding di GRC Holland-Bukit Timah, iaitu (dari kiri, ikut putaran jam) Encik Sharad Kumar, Encik Patrick Tan, Encik Fazli Talip dan Encik Nizar Subair. Kempen RDU bertemakan ‘Fair Value for All’ (Nilai Adil Untuk Semua), bertujuan menghasilkan sistem yang lebih adil bagi rakyat Singapura.
Parti pembangkang Titik Merah Bersatu (RDU) memperkenalkan calon-calon yang akan bertanding di GRC Holland-Bukit Timah, iaitu (dari kiri, ikut putaran jam) Encik Sharad Kumar, Encik Patrick Tan, Encik Fazli Talip dan Encik Nizar Subair. Kempen RDU bertemakan ‘Fair Value for All’ (Nilai Adil Untuk Semua), bertujuan menghasilkan sistem yang lebih adil bagi rakyat Singapura. - Foto ST

Parti pembangkang Titik Merah Bersatu (RDU) memperkenalkan calon-calon yang akan bertanding di GRC Holland-Bukit Timah, menampilkan antara calon termuda bagi Pilihan Raya Umum (GE) 2025.

Pasukan empat orang itu terdiri daripada penolong jurutera, Encik Sharad Kumar, 25 tahun; perunding kewangan, Encik Fazli Talip, 43 tahun; pemilik perniagaan Encik Patrick Tan, 70 tahun; dan pengurus operasi Encik Nizar Subair, 57 tahun.

Encik Sharad, Encik Nizar dan Encik Tan bertanding dalam pilihan raya buat kali pertama, manakala Encik Fazli pernah bertanding di GRC East Coast dalam pilihan raya umum 2011 di bawah Parti Pekerja (WP).

Setiausaha Agung RDU, Encik Ravi Philemon, memperkenalkan calon-calon bagi GRC Holland-Bukit Timah pada 18 April di estet perumahan berdekatan Pasar dan Pusat Penjaja Ghim Moh.

Encik Philemon menyatakan bahawa GRC Holland-Bukit Timah merupakan “bahagian penting” yang menghubungkan GRC Jurong East-Bukit Batok ke GRC Nee Soon – dua kawasan lain yang turut dirancang untuk ditandingi – dan tindakan untuk bertanding di kawasan tersebut adalah “strategik”.

Kempen RDU bertemakan Fair Value for All (Nilai Adil Untuk Semua), yang menurut jurucakap parti itu adalah usaha RDU menuju ke arah “sistem yang lebih adil”, di mana “setiap rakyat Singapura, bukan hanya golongan paling beruntung, boleh rasa selamat dan dihargai”.

GRC Holland-Bukit Timah mempunyai 122,891 pengundi, kebanyakannya tinggal di rumah teres dan kondominium.

Encik Sharad, yang mungkin merupakan antara calon termuda dalam pilihan raya kali ini, berkata beliau prihatin terhadap isu-isu seperti kesihatan mental dan krisis iklim serta mahu lebih tanggungjawab daripada syarikat dan pihak pemerintah dalam hal tersebut.

Encik Nizar, yang bekerja dalam industri perkhidmatan marin, memperjuangkan perlindungan pekerjaan yang lebih kukuh bagi golongan karyawan pertengahan kerjaya dan ingin memanfaatkan pengalamannya kehilangan pekerjaan semasa pandemik Covid-19.

Sementara itu, Encik Fazli berkata beliau mahu menyuarakan keperluan pesara yang tinggal di kawasan perumahan privet dan mempunyai sedikit atau tiada pendapatan, yang disifatkannya sebagai “golongan yang kurang diberi perhatian”.

Melengkapkan senarai calon ialah Encik Tan, pemilik perniagaan barangan keperluan harian, yang berharap untuk memperjuangkan sokongan pemerintah yang lebih kukuh bagi perniagaan tempatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg