Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

RDU perkenal calon dijangka tanding di GRC Nee Soon

Apr 13, 2025 | 3:11 PM
Pasukan Titik Merah Bersatu (RDU) yang dijangka bertanding dalam GE2025 di GRC Nee Soon, (dari kiri) Dr Syed Alwi Ahmad, Cik Sharon Lin dan Encik Pang Heng Chuan.
Pasukan Titik Merah Bersatu (RDU) yang dijangka bertanding dalam GE2025 di GRC Nee Soon, (dari kiri) Dr Syed Alwi Ahmad, Cik Sharon Lin dan Encik Pang Heng Chuan. - Foto ST

Parti pembangkang Titik Merah Bersatu (RDU) pada 13 April memperkenalkan tiga anggotanya yang berpotensi bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) di GRC Nee Soon.

Mereka ialah Dr Syed Alwi Ahmad, 57 tahun, guru sekolah privet yang juga Ketua Dasar dan Ketua Biro Melayu RDU; Encik Pang Heng Chuan, 56 tahun, pengarah sebuah perniagaan pemula dalam bidang teknologi; dan Cik Sharon Lin, 40 tahun, perunding kanan dalam sektor teknologi maklumat.

Nee Soon ada sebuah GRC lima anggota.

Bercakap kepada wartawan di Blok 101C, Yishun Avenue 5, selepas satu sesi lawatan pagi, setiausaha agung RDU, Encik Ravi Philemon, berkata parti itu komited berinteraksi dan bekerjasama dengan penduduk bagi “meningkatkan mutu kehidupan mereka”, lapor The Straits Times (ST).

“Kami ingin bekerjasama, mendengar, dan membantu penduduk di sini, serta memimpin dengan cara yang amat menyegarkan. Itulah tema RDU dalam kami memulakan kempen ini di GRC Nee Soon,” ujar Encik Ravi.

Beliau menambah bahawa penduduk telah memberi maklum balas berhubung tahap kebersihan di kawasan tersebut, seperti masalah tikus, dan kos sewa gerai makanan yang tinggi.

Berdasarkan profil barisan calonnya, RDU menyatakan Dr Syed Alwi membawa “ketajaman intelek dan kejelasan moral dalam politik” serta amat komited dalam memajukan masyarakat Melayu/Islam.

Encik Pang adalah pemimpin perniagaan yang berjaya, dan menyokong dasar inovasi serta jaminan pekerjaan.

Menurut RDU, Cik Lin, yang dibesarkan di Yishun dan masih menetap di sana, telah bekerja di syarikat berbilang negara dan menyertai projek teknologi berskala nasional.

Beliau mempunyai “pengalaman luas dalam keselamatan siber serta sistem digital”, tambah RDU.

Cik Sharon Lin, 40 tahun, perunding kanan dalam sektor Teknologi Maklumat (IT), berinteraksi dengan penduduk di sekitar kawasan Chong Pang pada 13 April.
Cik Sharon Lin, 40 tahun, perunding kanan dalam sektor Teknologi Maklumat (IT), berinteraksi dengan penduduk di sekitar kawasan Chong Pang pada 13 April. - Foto ST

RDU mengenal pasti GRC Nee Soon sebagai salah satu daripada tujuh kawasan undi yang mahu ditandinginya dalam GE2025.

Kawasan lain ialah GRC Jurong East-Bukit Batok, GRC Holland-Bukit Timah, GRC Tanjong Pagar, Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Jurong Central, SMC Jalan Kayu, dan SMC Radin Mas.

Pada GE2020, pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) – terdiri daripada Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Encik Louis Ng, Encik Derrick Goh, dan Cik Carrie Tan – mengekalkan kerusi GRC Nee Soon dengan 61.9 peratus undi, mengalahkan Parti Kemajuan Singapura (PSP).

Bagaimanapun barisan calon PAP bagi GRC Nee Soon kini berubah. Dr Faishal mengumumkan pada 11 April beliau telah memenuhi permintaan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, untuk berpindah ke GRC Marine Parade-Braddell Heights bagi GE2025.

Barisan calon baru PAP yang dijangka bertanding di GRC Nee Soon termasuk mantan pengarah di Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), Cik Goh Hanyan; mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Syed Harun Alhabsyi;, dan mantan pengerusi PAP cawangan Hougang, Encik Jackson Lam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg