Masyarakat sering meletakkan jangkaan terhadap cara calon wanita harus berkelakuan dan menampilkan diri, namun pandangan sedemikian tidak seharusnya mengehadkan cara mereka menyampaikan mesej, kata calon Parti Pekerja (WP) bagi GRC Punggol, Cik Alexis Dang.
Bercakap kepada media di ruang terbuka antara terminal bas sementara Punggol dan stesen MRT , pada 1 Mei, Cik Dang berkata: “Sebagai calon wanita, saya rasa masyarakat cenderung melihat kami dengan cara tertentu, dengan jangkaan tentang bagaimana kami harus berkelakuan, bagaimana kami harus membawa diri, bagaimana kami harus tampil.
“Itu sememangnya lumrah dan sebahagian daripada realiti.”
Penampilan, menurut beliau, tidak mencerminkan sepenuhnya diri seseorang itu.
“Saya rasa penting bagi orang ramai mengenali kami (calon) sebagai individu dan mengetahui siapa yang akan mewakili mereka di Punggol,” tambahnya lagi.
Namun, bagi dirinya, Cik Dang berkata beliau “tidak membiarkan pandangan itu mengehadkan siapa dirinya, bagaimana beliau membawa diri, dan bagaimana beliau menyampaikan mesej”.
Malah, beliau dan pasukannya menghargai segala perhatian dan penelitian yang diberikan orang ramai, tambahnya.
Cik Dang turut berkongsi bahawa sepanjang sesi turun padang, ramai wanita muda mendekatinya dan menyatakan kekaguman terhadap keberaniannya tampil dalam politik.
“Ia benar-benar satu keistimewaan dan penghormatan untuk menjadi contoh kepada mereka, untuk memulakan perubahan ini,” katanya sambil menggalak lebih ramai wanita muda membina aspirasi untuk tampil ke hadapan pada masa akan datang.
Mengulas isu sama, Encik Harpreet Singh, yang memimpin pasukan tersebut di GRC Punggol, berkata komen yang dibuat mengenai penampilan Cik Dang, terutama golongan lelaki, tidak boleh diterima.
“Ini mesej saya kepada semua lelaki di luar sana.
“Komen sebegitu tidak boleh diterima dan mesti dihentikan. Kita harus menghormati wanita. Kita harus, pertama sekali, melihat mereka sebagai individu,” kata beliau.
Baru-baru ini, satu video memaparkan Cik Dang tular di media sosial seperti TikTok dan Instagram, mencetuskan perbincangan hangat mengenai cara masyarakat menilai calon wanita dalam politik, sekali gus menimbulkan seruan agar tumpuan diberikan kepada mesej dan kemampuan mereka, bukan semata-mata penampilan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg