Kehadiran Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, yang turun padang ke GRC Tampines dalam beberapa hari lalu menunjukkan Parti Pekerja (WP) memberi saingan kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP), kata ketua pasukan WP di GRC Tampines, Encik Faisal Manap.
Semasa ditemui media pada 30 April, Encik Faisal berkata pihaknya terasa “berendah hati” dengan kehadiran pemimpin kanan PAP di kawasan tersebut dalam kempen Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) kali ini.
“Ada pemandu di sini, jadi jika pemandu itu tidak memandu kereta dengan baik, anda perlu... tampar pemandu itu.
“Itulah tujuan kami datang kan? Kami ingin beri persaingan kepada penyandang supaya mereka akan lakukan lebih baik dan menjadi lebih baik,” ujar Encik Faisal, memetik analogi yang pernah digunakan bekas ketua WP, Encik Low Thia Kiang, pada pilihan raya 2011.
Pada 29 April, Encik Lee dilihat menyertai pasukan PAP Tampines untuk bertemu penduduk manakala pada 30 April, giliran Encik Wong pula.
Ditemui di luar pusat membeli-belah Tampines One, Encik Faisal memberi jaminan bahawa calon WP yang bertanding di GRC Tampines dan SMC Tampines Changkat masing-masing mempunyai kebolehan menguruskan majlis bandaran jika dipilih.
Beliau membandingkan rakan sepasukannya bak lima jari-jemari di satu tangan, di mana mereka bekerjasama menggabungkan kemahiran berbeza.
Mengenai pembangunan Tampines, beliau memberi komitmen bahawa pasukannya akan menyambung mana-mana projek yang telah ditetapkan selain bekerjasama dengan agensi pemerintah untuk menjayakan segala yang dirancang.
Bertanding bersama Encik Faisal di GRC Tampines ialah Encik Jimmy Tan, Encik Michael Thng, Dr Ong Lue Ping, dan Cik Eileen Chong manakala calon WP di SMC Tampines Changkat ialah Encik Kenneth Foo.
Encik Faisal kemudian berkata bahawa kawasan dipegang pembangkang “istimewa sedikit” kerana ia bukan sahaja dapat menikmati skim kendalian Persatuan Rakyat (PAP), tetapi juga inisiatif hasil masyarakat sendiri.
“Kami sebagai AP pembangkang ada gabungan dengan agensi, individu, kumpulan tertentu di mana kami adakan rancangan secara berjemaah. Saya percaya bahawa ada nilai (dalam usaha) masyarakat memberi kepada masyarakat,” ujarnya yang memberi jaminan akan membawa kepakarannya menguruskan Kaki Bukit ke Tampines.
Ditanya tentang persaingan empat penjuru di Tampines bersama dua parti pembangkang lain, Parti Kuasa Rakyat (PPP) dan Parti Perpaduan Nasional (NSP), Encik Faisal enggan mengulas banyak dan hanya berkata setiap parti berhak bertanding dan buat masa ini, WP ingin memberi tumpuan kepada usaha mereka sendiri.
Menyentuh tentang sambutan penduduk sepanjang berkempen, Encik Faisal berkata beliau sepasukan gembira dengan penerimaan penduduk Tampines secara umum dengan ada yang mengatakan bahawa mereka sudah lama menunggu kedatangan WP.
“Memang banyak senyuman, dan juga banyak pelukan, dan juga bersalaman. Itu menunjukkan eratnya atau gembiranya mereka dengan kehadiran pasukan kami,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg