Skandal Cik Raeesah Khan tidak akan menjejas kempennya untuk menawan hati dan minda penduduk di Sengkang, kata Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, calon baru Parti Pekerja (WP).
Beliau yakin penduduk di GRC Sengkang tidak akan mengimbau masa lalu dan sebaliknya, memberi tumpuan kepada apa yang dapat beliau tawarkan kepada pasukan itu, serta para penduduk, pada pilihan raya akan datang pada 3 Mei.
Cik Raeesah, mantan Anggota Parlimen (AP) WP di GRC itu, meletak jawatan pada 2021 selepas mengaku berbohong kepada Parlimen.
“Saya bukan pengganti Raeesah. Saya rasa penduduk Sengkang tidak akan mengimbau kembali kepada masa silam.
“Mereka akan nilai saya daripada apa yang saya boleh saya berikan atau tawarkan kepada mereka,” katanya.
Encik Muhaimin berkata demikian kepada Berita Harian (BH) setelah menemui pihak media di Sengkang Square pada 24 April.
Beliau bersama pasukannya dipimpin oleh Cik He Ting Ru, serta anggota lain, Profesor Madya Jamus Lim dan Encik Louis Chua, yang disahkan sebagai calon pada 23 April setelah mengemukakan kertas pencalonan mereka di Sekolah Menengah Yusof Ishak.
Mereka diiringi setiausaha agung parti tersebut, Encik Pritam Singh, dan pengerusinya, Cik Sylvia Lim.
Cik He berkata: “Pasukan Sengkang mengalu-alukan kehadiran Encik Muhaimin dengan kami kali ini sebagai anggota WP untuk GRC Sengkang.
“Encik Muhaimin telah terlibat sejak 2019 dan beliau telah menggalas peranan kepimpinan sejak 2023, oleh itu beliau akrab dengan penduduk.
“Beliau juga mempunyai pengalaman 10 tahun bekerja secara langsung dengan majlis bandaran dalam peranan teknikal dan kami sangat gembira dengan kehadiran beliau.”
Pasukan WP akan berdepan dengan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang dipimpin mantan Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kesihatan), Dr Lam Pin Min, bersama tiga muka baru iaitu Cik Theodora Lai, Profesor Madya Dr Elmie Nekmat, dan Cik Bernadette Giam.
GRC Sengkang dibentuk pada 2020 dan ditawan WP dalam pilihan raya umum pada tahun yang sama dengan kemenangan tipis 52.12 peratus.
Apabila ditanya mengenai persaingan antara pasukannya dengan pasukan PAP yang telah memperkenalkan tiga muka baru, Encik Muhaimin berkata pasukannya akan “tetap bekerja untuk Singapura dan bekerja untuk penduduk Sengkang”.
Sekitar 30 peratus penduduk Sengkang, dengan seramai 126,641 pengundi, terdiri daripada golongan dewasa bekerja berumur antara 26 dengan 45 tahun dan 28 peratus berumur 46 hingga 65 tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg