Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

WP, PAP kembali bersaing di Sengkang

Apr 23, 2025 | 8:48 PM
Abdul Muhaimin Abdul Malik, Encik Louis Chua, Cik He Ting Ru, Profesor Madya Jamus Lim
Pasukan Parti Pekerja (WP) yang akan bersaing di GRC Sengkang, (dari kiri) Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, Encik Louis Chua, Cik He Ting Ru dan Profesor Madya Jamus Lim, menjawab soalan media selepas menyerahkan kertas pencalonan mereka di pusat pencalonan di Sekolah Menengah Yusof Ishak pada 23 April. - Foto ZAOBAO

Pasukan Parti Pekerja (WP) akan bersaing sekali lagi dengan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk menguasai GRC Sengkang.

Pasukan parti pembangkang itu terdiri daripada tiga anggota sedia ada iaitu Cik He Ting Ru, Profesor Madya Jamus Lim dan Encik Louis Chua, serta satu muka baru iaitu Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik.

Pasukan PAP pula diketuai mantan Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kesihatan), Dr Lam Pin Min, seiring tiga muka baru iaitu Cik Theodora Lai, Profesor Madya Dr Elmie Nekmat, dan Cik Bernadette Giam.

Barisan calon itu disahkan pada 23 April selepas berjaya menyerahkan kertas pencalonan mereka di pusat pencalonan di Sekolah Menengah Yusof Ishak.

Encik Abdul Muhaimin, Pengurus Kanan Hartanah di Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC), mengisi kerusi yang dikosongkan Cik Raeesah Khan di GRC Sengkang.

Cik Raeesah meletak jawatan pada 2021 selepas mengaku berbohong kepada Parlimen.

Ditanya sama ada Encik Abdul Muhaimin akan menjadi pengganti yang baik, dan sama ada skandal Cik Raeesah di Parlimen akan menyebabkan penduduk hilang kepercayaan terhadap pasukan WP, Encik Chua ketika bercakap dengan media berkata kejadian itu berlaku suatu ketika dahulu, dan adalah penting bagi parti itu untuk terus “bekerja keras untuk Singapura”.

Cik He pula berkata sebagai pegawai majlis bandaran, Encik Abdul Muhaimin memiliki pelbagai kemahiran dan pengetahuan teknikal yang akan memberi manfaat kepada penduduk Sengkang.

Pasukan PAP tidak bercakap dengan media selepas disahkan sebagai calon.

Dalam ucapan ringkas selepas pasukan WP mengesahkan pencalonan, Cik He berkata:

“Adalah satu peluang untuk berkhidmat sebagai wakil anda di Parlimen, di mana kami telah berjuang untuk isu-isu yang penting kepada anda dan Singapura.

“Pasukan Parti Pekerja telah diberi penghormatan untuk berkongsi kegembiraan anda, air mata anda, dan rasa takut anda; tetapi perjalanan ini tidak berakhir di sini.

“Pilihan raya ini, kami mengharapkan undi anda, supaya kami boleh terus bekerja untuk Sengkang.”

Sementara itu, Dr Lam pula berkata: “Selama empat tahun lalu, kami telah bekerja keras untuk mendapatkan kembali kepercayaan anda. Kami mahu menjadi suara anda di Parlimen.”

GRC Sengkang dibentuk pada 2020 dan ditawan WP dalam pilihan raya umum pada tahun yang sama dengan kemenangan tipis 52.12 peratus.

Keputusan itu menjadikan Sengkang GRC kedua yang jatuh ke tangan pembangkang sejak skim itu diperkenalkan pada 1988.

Kekalahan pasukan PAP yang berpengalaman di GRC Sengkang itu juga membawa kepada kehilangan tiga pemegang jawatan politik termasuk mantan menteri Kabinet dan ketua gerakan buruh, Encik Ng Chee Meng, Dr Lam dan Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri dan Kesihatan), Encik Amrin Amin.

Seorang lagi anggota pasukan PAP yang bertanding pada waktu itu ialah peguam, Encik Raymond Lye.

GRC Sengkang, yang merupakan antara sembilan kawasan undi yang tidak menyaksikan perubahan sempadan bagi GE2025, mempunyai 126,641 pengundi.

Sekitar 30 peratus penduduk Sengkang terdiri daripada golongan dewasa bekerja berumur antara 26 dengan 45 tahun dan 28 peratus berumur 46 hingga 65 tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg