Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

CEO AIC dijangka letak jawatan, ceburi politik

Mar 27, 2025 | 4:28 PM
Encik Dinesh Vasu Dash, 49 tahun, telah menerajui Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) sejak 2023, kali pertama sebagai bakal Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), sebelum memegang jawatan itu secara rasmi pada Februari 2024.
Encik Dinesh Vasu Dash, 49 tahun, telah menerajui Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) sejak 2023, kali pertama sebagai bakal Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), sebelum memegang jawatan itu secara rasmi pada Februari 2024. - Foto ST

Encik Dinesh Vasu Dash, ketua pegawai eksekutif (CEO) Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), dijangka meletak jawatan dalam beberapa hari akan datang dan menyertai politik.

Peletakan jawatannya itu adalah yang terbaru dalam kalangan penjawat awam kanan yang telah meninggalkan perkhidmatan dalam beberapa minggu kebelakangan, menjelang Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) akan datang, yang dijangka pada pertengahan tahun.

Encik Dinesh, 49 tahun, telah menerajui AIC sejak 2023, kali pertama sebagai bakal CEO, sebelum memegang jawatan itu secara rasmi pada Februari 2024, lapor The Straits Times (ST).

Di bawah kepimpinannya, AIC – yang menyelaras perkhidmatan penjagaan untuk warga emas – telah melancarkan program untuk menggalakkan lebih ramai warga emas menjadi sukarelawan, serta menyokong pelaksanaan strategi penjagaan pencegahan SG Yang Lebih Sihat, antara inisiatif lain.

Sebelum menyertai AIC, Encik Dinesh menggalas jawatan sebagai pengarah kumpulan strategi dan operasi krisis Kementerian Kesihatan (MOH) semasa pandemik Covid-19.

Beliau merupakan salah seorang yang mendorong usaha vaksin kepada warga Singapura terhadap virus itu, di mana beliau menerima anugerah Bintang Bakti Masyarakat (Covid-19) pada 2024.

Edisi khas anugerah kebangsaan itu diberikan kepada mereka yang memimpin usaha besar dan menyumbang secara ketara dalam menguruskan kesan wabak itu ke atas Singapura.

Sebelum menyertai MOH pada 2020, Encik Dinesh menghabiskan masa lebih 25 tahun dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan mencapai pangkat Brigedier Jeneral.

Beliau merupakan Panglima Markas Pasukan Pertahanan Rakyat Kedua dan mengetuai pasukan petugas SAF yang menyediakan khidmat keselamatan semasa sidang puncak 2018 antara Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dengan pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un, yang diadakan di Singapura.

Peletakan jawatan beliau menyusuli pengumuman peletakan jawatan tiga penjawat awam kanan pada 25 Mac.

Mereka ialah: Setiausaha Tetap Kedua, Encik Jeffrey Siow, daripada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI); Encik Shawn Loh, pengarah Belanjawan 2024 dan 2025, yang juga pengarah program keselamatan dan daya tahan di Kementerian Kewangan (MOF); dan Cik Goh Hanyan, pengarah di Pejabat Strategi Negara Bijak dan kumpulan kecerdasan buatan (AI) negara bagi dasar dan strategi di Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI).

Sebelum ini, dilaporkan bahawa timbalan setiausaha dasar, Cik Jasmin Lau, daripada Kementerian Kesihatan (MOH) dan pengarah mobiliti persendirian dan masa depan, Encik Foo Cexiang, daripada Kementerian Pengangkutan (MOT); juga telah meletak jawatan.

Mereka semua akan meninggalkan perkhidmatan dalam masa dua minggu akan datang.

Parti Tindakan Rakyat (PAP) secara tradisinya menggunakan pemimpin perkhidmatan awam apabila mendapatkan calon.

Mereka yang dipilih untuk bertanding sering meletakkan jawatan menjelang pilihan raya kerana mereka tidak dibenarkan menyertai kegiatan politik semasa dalam perkhidmatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg