Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Setiausaha Tetap Kedua MOM, MTI letak jawatan, dijangka ceburi politik

Mar 25, 2025 | 6:38 PM
Encik Jeffrey Siow ialah pegawai paling kanan awam dan yang keempat  meletak jawatan menjelang pilihan raya umum akan datang.
Encik Jeffrey Siow ialah pegawai paling kanan awam dan yang keempat meletak jawatan menjelang pilihan raya umum akan datang. - Foto PSD

Setiausaha tetap kedua bagi dua kementerian, Encik Jeffrey Siow, telah meletak jawatan daripada perkhidmatan awam dan dikatakan siap menceburi bidang politik.

Encik Siow, yang bertugas di Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), adalah pegawai paling kanan awam yang meletak jawatan setakat ini dan merupakan yang terbaru dalam rentetan peletakan jawatan menjelang pilihan raya umum.

Beliau telah memegang pelbagai jawatan kanan dalam perkhidmatan awam sepanjang kerjayanya.

Ia termasuk sebagai pengarah urusan Lembaga Berkanun Enterprise Singapore (EnterpriseSG) dan setiausaha peribadi utama kepada Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, ketika beliau menjadi perdana menteri, lapor The Straits Times (ST).

Satu kenyataan daripada Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) pada 25 Mac mengumumkan bahawa Encik Siow akan bersara pada 2 April selepas 24 tahun berkhidmat.

Encik Siow, 46 tahun, dilantik sebagai setiausaha tetap kedua di MOM pada Januari 2024, dan beliau menangani dasar tenaga kerja asing, keselamatan di tempat kerja dan keadilan di tempat kerja.

Beliau juga memperkenalkan undang-undang penting mengenai diskriminasi dan amalan di tempat kerja yang adil.

Sejak September 2024, Encik Siow berkhidmat secara serentak di MTI, mengukuhkan pertumbuhan ekonomi Singapura dan hubungan dengan rakan utama seperti negara Asean, Amerika Syarikat dan China.

Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing, memuji Encik Siow kerana “berkhidmat dengan cemerlang dan memberi kesan besar dalam pelbagai jawatan”.

Sebelum menjadi setiausaha tetap, Encik Siow ialah pengarah urusan pertama dan ketua operasi EnterpriseSG, dan beliau membantu dalam membangunkan perniagaan tempatan.

Encik Siow pernah menjadi setiausaha peribadi utama kepada Encik Lee dari 2017 hingga 2021.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong; Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat; dan Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, juga pernah memegang jawatan serupa itu.

Beliau juga pernah berkhidmat di Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Pendidikan (MOE) dan MOM.

Beberapa mantan setiausaha tetap yang menceburi politik dan seterusnya dilantik ke Kabinet ialah seperti Encik Chee dan Encik Heng.

Lebih ramai penjawat awam dijangka mengikut jejak Encik Siow menjelang pilihan raya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg