Seorang pegawai kanan awam yang menyelia dasar Negara Bijak dan kecerdasan buatan (AI) Singapura telah meletak jawatan dan dijangka bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
Cik Goh Hanyan, pengarah di Pejabat Strategi Negara Bijak dan kumpulan AI nasional bagi dasar dan strategi di Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), akan meninggalkan perkhidmatan awam pada 3 April, lapor The Straits Times (ST).
Beliau adalah pegawai kanan awam ketiga yang diketahui meletak jawatan menjelang pilihan raya setakat ini, selepas peletakan jawatan Timbalan Setiausaha Kementerian Kesihatan (MOH), Cik Jasmin Lau; dan pengarah dari Kementerian Pengangkutan (MOT), Encik Foo Cexiang.
Cik Goh terlibat dalam merangka rancangan Negara Bijak yang diperkemas di Singapura, dikenali sebagai Negara Bijak 2.0, serta penyelarasan dan pelaksanaan Strategi Kecerdasan Buatan Nasional (Nais) 2.0, yang diperbaharui.
Sebelum bertugas di MDDI, beliau bekerja dalam bidang ekonomi dan kemampanan di bawah kumpulan strategi di Pejabat Perdana Menteri selama hampir empat tahun.
Sebelum itu, beliau menghabiskan kira-kira sedekad di Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), termasuk bertugas selama tiga tahun di Washington, DC, di Amerika Syarikat.
Peletakan jawatan beliau berlaku menjelang pilihan raya umum yang dijangka berlangsung selewat-lewatnya November 2025.
Parti Tindakan Rakyat (PAP) secara tradisi telah memilih pemimpin perkhidmatan awam ketika mencari calon.
Mereka yang dipilih untuk bertanding sering meletak jawatan menjelang pilihan raya, kerana mereka tidak dibenarkan terlibat dalam kegiatan politik semasa berkhidmat.
Pada masa lalu, pegawai awam telah meletak jawatan menjelang permulaan kempen pilihan raya.
Dalam Pilihan Raya Umum 2020, Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast, Encik Tan Kiat How, yang ketika itu Ketua Eksekutif Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), meletak jawatan pada 20 Jun 2020.
Pada 2020, writ pilihan raya dikeluarkan pada 23 Jun, dengan 10 Julai ditetapkan sebagai Hari Mengundi.
Encik Tan, yang kini merupakan Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara), adalah antara pegawai awam terakhir yang meletak jawatan pada 2020.
Encik Desmond Tan, yang sebelum ini merupakan Ketua Eksekutif Persatuan Rakyat (PA), meninggalkan perkhidmatan awam kurang dari sebulan sebelum Hari Mengundi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg