Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Ng Chee Meng, berjaya kembali ke arena politik setelah memenangi 51.47 peratus undi menentang calon Parti Pekerja (WP), Encik Andre Low, yang meraih 48.53 peratus undi bagi SMC Jalan Kayu.
Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) itu berjaya meraih 14,113 undi, berbanding Encik Low, yang meraih 13,307 undi bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Encik Low, 33 tahun, yang bertanding dalam pilihan raya pertamanya, dijangka memasuki Parlimen sebagai Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) jika beliau antara calon pembangkang yang kalah dengan peratusan undi tertinggi.
Encik Ng, semasa bercakap kepada media di Stadium Yio Chu Kang selepas keputusan pilihan raya diumumkan, berkata: “Saya gembira kerana kami menang.
“Saya mahu bergegas untuk bertemu lebih ramai penduduk di Jalan Kayu. Sudah tiba masanya untuk kita bersama-sama menjadikan Jalan Kayu sebuah masyarakat yang lebih terangkum, lebih baik dan lebih kukuh.”
Apabila ditanya sama ada keputusan itu memenuhi jangkaannya, beliau berkata: “Ia adalah keputusan yang baik. Saya bersyukur dengan hasilnya.”
Jalan Kayu, yang dikeluarkan dari GRC Ang Mo Kio, merupakan antara medan pertempuran paling sengit menjelang GE2025.
Encik Ng mula memasuki politik pada 2015 dan memenangi GRC Pasir Ris-Punggol sebagai sebahagian daripada pasukan PAP.
Beliau kemudian memegang beberapa jawatan Kabinet, termasuk sebagai Menteri Pendidikan (Sekolah) dan Menteri Kedua Pengangkutan.
Pada 2020, Encik Ng menerajui pasukan PAP dalam GRC Sengkang yang baru diwujudkan tetapi tewas kepada pasukan WP yang diketuai peguam Cik He Ting Ru, yang memenangi 52.13 peratus undi.
Walaupun GE2025 adalah pilihan raya ketiga buat Encik Ng, ia adalah kali pertama beliau bertanding dalam Kawasan Undi Perseorangan (SMC).
Menjelang Hari Mengundi, beliau meluahkan hasrat dipilih atas merit, bukannya “diterjunkan” ke kerusi yang lebih selamat.
Encik Low, semasa berucap kepada penyokong di Stadium Serangoon selepas undian dikira, mengucapkan terima kasih kepada penduduk yang menyokongnya dan berkata beliau akan terus turun padang untuk mendengar kebimbangan dan menjadi “suara untuk perubahan”.
“Dan kepada mereka yang membuat pilihan berbeza, saya juga mendengar anda. Keputusan anda adalah sah dan penting. Kempen ini bukan sekadar untuk memenangi hanya satu kerusi di Parlimen.
“Ia adalah mengenai menawarkan perspektif baru yang berbeza, mengajukan soalan penting dan memulakan perbualan tentang kebertanggungjawapan, kemampuan dan Singapura yang ingin kita bina bersama.
“Perbualan ini tidak berakhir malam ini. Ia mesti diteruskan,” kata Encik Low.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg