Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang dipimpin Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berjaya mempertahankan GRC Marsiling-Yew Tee, bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) dengan kemenangan besar sebanyak 73.46 peratus undi menentang Parti Demokratik Singapura (SDP).
Pegawai Pengurus Undi, Encik Han Kok Juan, mengumumkan pada 3 Mei bahawa pasukan PAP meraih sebanyak 80,890 undi berbanding pasukan SDP yang meraih 29,220 bagi GRC empat anggota itu.
Ini jauh lebih tinggi berbanding prestasi kemenangan PAP sebanyak 63.18 peratus pada GE2020 dan 68.73 peratus pada GE2015, semasa ia menentang SDP dalam kedua-dua pilihan raya umum itu.
Dalam ucapannya susulan pengumuman keputusan tersebut di Stadium Yio Chu Kang, Encik Wong mengucapkan terima kasih kepada pengundi kawasan itu atas “mandat kuat” yang mereka berikan kepada beliau dan pasukannya.
“Ini adalah pilihan raya umum pertama saya sebagai Perdana Menteri dan Setiausaha Agung PAP. Jadi ia merupakan suatu pengalaman yang sangat merendahkan diri bagi saya, untuk bekerja dengan anda semua, berinteraksi dan melibatkan diri dengan anda semua.
“Kami akan menghormati kepercayaan yang anda berikan kepada kami dengan bekerja lebih keras untuk anda semua,” kata Encik Wong.
Bagi GE2025, Encik Wong memimpin pasukan yang merangkumi Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West, Encik Alex Yam; dan Cik Hany Soh.
Pasukan PAP menewaskan pasukan SDP yang dianggotai pengasas laman web berita alternatif Wake Up Singapore (WUSG), Encik Ariffin Iskandar Sha Ali Akbar; setiausaha penganjur SDP, Encik Jufri Salim; mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gulf Oil China, Cik Gigene Wong; dan pengarah teater, Encik Alec Tok.
Tahun 2025 menandakan ulang tahun ke-10 sejak penubuhan GRC Marsiling-Yew Tee pada 2015. Ini juga GE pertama bagi Encik Wong sebagai Perdana Menteri Singapura, sejak beliau menggalas peranan tersebut pada Mei 2024.
Encik Wong, Encik Yam dan Encik Zaqy kekal sebagai pasukan asal, manakala Cik Hany Soh menyertai GRC itu pada 2020.
Bercakap kepada media, Encik Zaqy pula berkata: “Saya harap dengan mandat ini kami akan terus berkhidmat kepada penduduk GRC Marsiling-Yew Tee.
“Saya berharap dapat menjalankan program bagi masyarakat Melayu terutama bagi mereka yang ingin suara mereka diwakilkan bukan sahaja di Parlimen tetapi juga dasar Singapura seperti peningkatan kos sara hidup, keinginan serta aspirasi mereka,” kata Encik Zaqy.
Bagi GE2025, Encik Wong juga meraih prestasi kemenangan lebih baik berbanding Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dalam pilihan raya umum pertamanya sebagai perdana menteri.
Dalam GE pertama SM Lee sebagai perdana menteri pada 2006, pasukan GRC Ang Mo Kio yang dipimpinnya menewaskan Parti Pekerja (WP) dengan 66.1 peratus undi, sedikit di bawah purata kebangsaan PAP iaitu 66.6 peratus.
Margin kemenangan Encik Wong dalam GRCnya adalah setanding dengan GE sulung Menteri Kanan Emeritus, Encik Goh Chok Tong, sebagai perdana menteri pada 1991, dengan pasukan PAP pimpinannya di GRC Marine Parade meraih 77.3 peratus undi, jauh melebihi purata nasional PAP iaitu 61.0 peratus.
Baru-baru ini, Encik Wong telah mengumumkan Pelan Induk Majlis Bandaran Marsiling-Yew Tee (2025-2030). Di bawah pelan itu, penduduk Marsiling dan Yew Tee boleh menjangkakan, antara lain, lebih banyak ruang masyarakat, taman dan kesalinghubungan lebih baik.
Encik Wong menyertai politik pada 2011 dan berkhidmat sebagai AP GRC Marsiling-Yew Tee sejak September 2015. Sebelum itu, beliau berkhidmat di GRC West Coast.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg