Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Chee Soon Juan: Perlu pembangkang berkesan agar PAP tadbir lebih baik 

Bangkit ‘kecuaian’ PAP sebagai bukti perlu ada lebih ramai AP pembangkang
Apr 29, 2025 | 8:15 PM
Chee Soon Juan, UOB Plaza, rapat
Ketua Parti Demokratik Singapura (SDP), Dr Chee Soon Juan, semasa berucap kepada hadirin di rapat tengah hari parti itu di UOB Plaza pada 29 April. - Foto ST

Pengundi perlu menilai semula ‘propaganda’ yang mendakwa Parti Tindakan Rakyat (PAP) tidak memerlukan pembangkang untuk memastikan mereka bertanggungjawab, kata Ketua Parti Demokratik Singapura (SDP), Dr Chee Soon Juan, pada 29 April. 

Berucap dalam rapat umum tengah hari, Dr Chee menyenaraikan pelbagai kelemahan dan isu yang melanda pemerintahan PAP sejak beberapa tahun lalu, sebagai hujah mengapa rakyat wajar menghantar calon SDP ke Parlimen.

Dr Chee mengetuai gesaan SDP agar rakyat menolak taktik ‘menakut-nakutkan’ oleh PAP, kononnya kehadiran lebih ramai pembangkang di Parlimen akan melemahkan keupayaan pemerintah membentuk pasukan yang kukuh, lapor The Straits Times (ST).

Berucap di UOB Plaza yang terletak di Raffles Place, sehari selepas ucapan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di pentas yang sama, Dr Chee membangkitkan beberapa ‘skandal dan kecuaian’ PAP sebagai bukti bahawa Singapura akan menjadi lebih kukuh dengan kehadiran lebih ramai Anggota Parlimen (AP) pembangkang.

Antara kes yang disebut termasuk pengendalian Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, terhadap skandal mantan Speaker Parlimen, Encik Tan Chuan Jin; penyewaan rumah mewah di Ridout Road oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, dan Menteri Ehwal Luar, Encik Vivian Balakrishnan; pelancaran sistem SimplyGo oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) yang ‘gagal’; serta gangguan perkhidmatan MRT Laluan Timur-Barat selama enam hari pada September 2024.

Kejadian ini membuktikan PAP bukan parti luar biasa, kata Dr Chee, calon SMC Sembawang West. 

“Dan kalau anda bukan (parti yang) luar biasa, maka bersikaplah rendah hati. Jangan pula menuntut gaji yang luar biasa,” kata Dr Chee dalam ucapan selama 20 minit.

“Paling utama, akuilah dan terimalah hakikat bahawa PAP memerlukan pembangkang yang bermakna di Parlimen demi mentadbir Singapura dengan lebih baik.”

Dr Chee berkata masa telah berubah dan rakyat Singapura mahukan sistem demokrasi yang lebih terbuka, di mana pemerintah lebih mendengar dan kurang menyekat.

Beliau juga menyatakan bahawa Encik Wong tidak memulakan tugas dengan baik, dengan menilai langkah beliau mengadakan pilihan raya hanya sebulan selepas sempadan pilihan raya diumumkan.

“Pada awalnya, memang menteri pertama PAP cekap dan berwibawa,” katanya.

“Namun, mutu menteri kini, terutama pemimpin muda, masih jauh daripada harapan.”

Pengerusi SDP, Profesor Paul Tambyah, yang turut berucap dalam rapat itu berkata beliau hairan apabila pemimpin PAP masa kini menyatakan bahawa kehadiran lebih ramai wakil pembangkang di Parlimen akan merugikan Singapura.

Beliau berkongsi bagaimana beliau belajar bertahan dengan bersaing bersama pakar perubatan terbaik dunia ketika menjalani latihan possiswazah di Amerika Syarikat.

“Saya yakin bahawa persaingan sihat hanya akan menjadikan seseorang itu lebih baik,” kata Profesor Tambyah sambil menyeru golongan muda agar ‘memberi peluang kepada PAP untuk berubah’ – dengan mengundi calon pembangkang pada 3 Mei nanti.

Dr James Gomez berkata adalah “tidak masuk akal” untuk mendakwa bahawa Parti Tindakan Rakyat (PAP) tidak dapat mentadbir dengan berkesan jika terdapat lebih ramai Anggota Parlimen (AP) pembangkang di Parlimen.
Dr James Gomez berkata adalah “tidak masuk akal” untuk mendakwa bahawa Parti Tindakan Rakyat (PAP) tidak dapat mentadbir dengan berkesan jika terdapat lebih ramai Anggota Parlimen (AP) pembangkang di Parlimen. - Foto ST

Calon SDP di GRC Sembawang, Dr James Gomez, pula berkata adalah ‘tidak masuk akal’ untuk mendakwa PAP tidak mampu mentadbir dengan berkesan sekiranya lebih ramai AP pembangkang dipilih.

Berucap di rapat pada 27 April, Encik Lee menyeru rakyat Singapura agar tidak mengundi menentang PAP hanya untuk menambah dua atau tiga wakil pembangkang di Parlimen, kerana katanya ini boleh menyebabkan kehilangan menteri penting dan ‘menimbulkan masalah bagi pemerintah’.

“Kehilangan menteri mungkin masalah untuk PAP, tetapi bukan untuk rakyat Singapura,” kata Dr Gomez. 

“Jika Encik Wong kata pasukannya hanya boleh berfungsi apabila diberi kuasa tanpa sempadan, maka masalah sebenar bukan pada rakyat Singapura, tetapi pada PAP – parti yang takut pada semakan dan imbang.”

Dr Gomez menambah, pemerintah yang berkesan memerlukan tanggungjawab, ketelusan dan AP yang mencabar dasar bermasalah.

Calon termuda SDP, Encik Arrifin Sha, 27 tahun, turut menyeru orang ramai agar menolak ‘taktik menakut-nakutkan PAP’, dan membayangkan kemenangan Dr Chee di SMC Sembawang West, Profesor Tambyah di SMC Bukit Panjang, serta kemenangan Parti Pekerja (WP) di GRC Punggol dan SMC Jalan Kayu.

Dr Chee berkata mesej pilihan raya PAP hanya berpaksikan ketakutan dan mengajak rakyat Singapura untuk mengundi dengan harapan, bukan ketakutan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg