Manifesto Parti Demokratik Singapura (SDP) mengemukakan pelbagai cadangan termasuk menjual flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) baru antara $90,000 dengan $270,000; menjadikan penjagaan ibu dan kanak-kanak hampir percuma, mengurangkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada 7 peratus, dan memansuhkan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).
Manifesto SDP mempunyai enam bahagian utama, dengan lebih 40 cadangan.
Antara cadangan utama termasuk memastikan cukai yang adil, penjagaan kesihatan sejagat dan pendidikan yang menekankan kreativiti serta kesaksamaan.
Mengenai kemampuan memiliki rumah, SDP mencadangkan skim bukan pasaran terbuka (NOM) yang akan menjadikan rumah lebih murah, dengan harga flat dua bilik sekitar $90,000; tiga bilik $120,000; empat bilik $200,000 dan lima bilik $270,000.
SDP juga mencadangkan supaya Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) di mansuhkan, menawarkan pinjaman pelajar tanpa faedah kepada pelajar universiti, dan menasionalisasikan tadika bagi menjadikan pendidikan prasekolah lebih dimampui.
Bagi penjagaan kesihatan, mereka mencadangkan supaya perkhidmatan ibu dan kanak-kanak diberi secara percuma, dibiayai pemerintah.
Manifesto itu dilancarkan oleh pengerusi SDP, Profesor Paul Tambyah, di Yew Tee Square, yang terletak di GRC Marsiling, pada 20 April.
SDP bertanding di dua GRC - Sembawang dan Marsiling-Yew Tee dan dua SMS - Sembawang West dan Bukit Panjang.
“Manifesto kempen kami ialah satu janji, dan kami mahu anda semua memegang kami untuk dipertanggungjawabkan bagi janji tersebut,” kata Profesor Tambyah.
Ketika ditanya bagaimana perubahan ini akan dibiayai, Profesor Tambyah berkata lebihan bajet $6.8 bilion bagi tahun kewangan 2025 boleh menampung kos tersebut. Mengurangkan GST kepada 7 peratus juga masih menghasilkan lebihan $1.83 bilion.
Profesor Tambyah berkata adalah penting memperkukuh ekonomi domestik Singapura dan menyokong syarikat kecil dan sederhana (SME) sebagai cara menghadapinya.
Pada GE2025, Profesor Tambyah akan bertanding di SMC Bukit Panjang, di mana beliau mendapat 46.27 peratus undi pada 2020.
Setiausaha agung SDP, Dr Chee Soon Juan bertanding di SMC Sembawang West yang baru.
Di GRC Marsiling-Yew Tee pula SDP akan bertanding dengan pasukan yang dibentuk oleh Setiausaha Penganjur parti, Encik Muhammad Jufri Mohd Salim; pengasas laman berita alternatif, Encik Ariffin Sha dan pengarah teater, Encik Alec Tok. Mereka akan bersaing dengan pasukan PAP yang dipimpin Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Di GRC Sembawang pula, SDP diwakili naib pengerusi, Encik Byan Lim, timbalan kedua dasar SDP, Encik James Gomez, bendahari, Cik Surayah Akbar, Enck Damanhuri Abas dan Encik Alfred Tan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg