Desakan untuk menurunkan kos sara hidup adalah penting bagi membolehkan rakyat Singapura ‘Berkembang Maju, Bukan Sekadar Bertahan’ – slogan yang digunakan Parti Demokratik Singapura (SDP) pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Cogan ini sekali lagi ditekankan calon SDP bagi GRC Marsiling-Yew Tee, Setiausaha Penganjur parti, Encik Muhammad Jufri Mohd Salim, dengan berlatarbelakangkan antara lain, kos sara hidup tinggi dan ketidaktentuan jaminan pekerjaan, katanya.
Semasa ucapan dalam bahasa Melayu siaran politik parti (PPB) pertama GE2025 pada 25 April, beliau berkata parti itu akan tumpu kepada tiga teras utama yang akan mengurangkan kos bagi menangani keprihatinan ini.
Parti itu akan bertanding bagi GRC Sembawang, GRC Marsiling-Yew Tee, SMC Bukit Panjang dan SMC Sembawang West.
Beliau berkata teras ini meliputi pengurangan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada 7 peratus, pelaksanaan Skim Pasaran Tertutup bagi flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dan mengurangkan kos perbelanjaan perubatan.
“Kami akan memansuhkan sama sekali GST untuk barangan keperluan harian.
“Ini bermakna anda akan mempunyai lebih banyak wang dalam tangan agar dapat melangsungkan hidup dengan tekanan yang lebih rendah,” ujarnya.
Berkenaan Skim Pasaran Tertutup bagi flat BTO, ia bertujuan membantu rakyat Singapura memiliki rumah yang mampu milik dengan pemotongan harga tanah supaya rakyat Singapura tidak “terjerumus ke dalam kancah perangkap hutang”.
Beliau berkata parti itu juga mengusulkan agar rakyat Singapura berkembang maju dengan mempertahankan pekerjaan dan memperkasakan mereka.
“Visi kami bukan sahaja untuk menangani perjuangan harian.
“Seperti yang telah saya katakan tadi, kami mahukan rakyat Singapura untuk berkembang maju, bukan sekadar bertahan untuk hidup.
“Kami mahukan sebuah negara Singapura yang mempunyai belas kasihan di mana pemerintah menjaga rakyatnya dengan baik, bukan menyulitkan keadaan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg