Cadangan yang dikemukakan semasa kempen pilihan raya terus menjadi bahan pertikaian apabila sebuah parti pembangkang mendakwa ia sering diketepikan hanya untuk ditiru Parti Tindakan Rakyat (PAP) kemudian, kata Setiausaha Agung Parti Demokratik Singapura (SDP), Dr Chee Soon Juan.
Berucap dalam rapat partinya di lelapang bersebelahan pusat beli-belah Sun Plaza, di Sembawang, pada 30 April, Dr Chee mendakwa perkara tersebut sebagai satu perkara kebiasaan yang berulang setiap kali pilihan raya diadakan, dengan PAP menolak dan mengkritik idea parti pembangkang, dan kemudiannya memperkenalkannya semula sebagai dasar mereka selepas pilihan raya.
Dr Chee, yang juga calon SMC Sembawang West, berkata: “Kritik dahulu, tiru kemudian.
“Ini merupakan taktik kegemaran PAP — semasa pilihan raya, mereka akan mengkritik cadangan-cadangan pembangkang, tetapi selepas pilihan raya, mereka mengambil semula idea-idea tersebut tanpa memberikan sebarang pengiktirafan.”
Beliau mengulas dakwaan Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, yang juga calon PAP di GRC Sembawang, yang telah menolak cadangan dasar penjagaan kesihatan SDP baru-baru ini, sebagai tidak realistik dan tidak bertanggungjawab dari segi kewangan.
Dr Chee turut membangkitkan beberapa contoh dasar SDP yang pernah dikritik pemimpin PAP tetapi akhirnya dilaksanakan semula oleh pemerintah. Ia termasuk cadangan insurans pengangguran, cukai lebih tinggi untuk golongan berpendapatan tinggi, dan dasar gaji minimum.
“Dan kini, dalam pilihan raya kali ini, Encik Ong melakukan perkara yang sama,” tambah Dr Chee, merujuk kepada kritikan terbaru terhadap usulan penjagaan kesihatan SDP itu.
Beliau menekankan bagaimana SDP berjaya mempengaruhi pelaksanaan dasar-dasar tersebut meskipun tanpa sebarang perwakilan di Parlimen.
“Bayangkan apa yang boleh kami capai sekiranya kami mempunyai wakil SDP di Parlimen,” ujar Dr Chee.
Turut menyampaikan ucapan ialah Pengerusi SDP, Profesor Paul Tambyah; dan pasukan SDP di GRC Sembawang, iaitu Timbalan Kedua Dasar SDP, Encik James Gomez; Naib Pengerusi SDP, Encik Bryan Lim; Bendahari SDP, Cik Surayah Akbar; Encik Alfred Tan; dan Encik Damanhuri Abas.
Di samping itu, hampir semua calon turut menyangkal kenyataan Encik Ong yang mendakwa SDP meniru idea perumahan daripada parti pembangkang lain.
Profesor Tambyah menolak dakwaan bahawa partinya meniru cadangan perumahan daripada pihak lain, sambil menegaskan partinya terlebih dahulu mengemukakan idea untuk mengecualikan kos tanah daripada harga jualan flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
“SDP adalah parti pertama yang mencadangkan supaya kos tanah dikeluarkan daripada harga flat perumahan awam, iaitu pada April 2019,” katanya.
Beliau turut menyentuh jurang ketara dalam sistem semasa, yang menurutnya, tidak berpihak kepada rakyat biasa.
“Kita tidak perlu tunduk kepada kehendak golongan elit yang tinggal di rumah bernilai $88 juta, sedangkan ramai di antara kita berhempas pulas untuk memiliki perumahan asas di kawasan kejiranan,” tambahnya.
Mengenai isu perumahan, Cik Surayah pula berkata: “Menuduh SDP meniru adalah tidak tepat dan hanya mengalihkan perhatian daripada isu perumahan sebenar yang dihadapi rakyat Singapura hari ini.”
Diperkenalkan pada 2019, Skim Perumahan Tidak Dijual di Pasaran Terbuka (NOM) merupakan satu model perumahan awam selari, yang mampu dimiliki golongan berpendapatan rendah dan sederhana, sambil memantapkan kemampuan perumahan dalam jangka panjang, tambahnya.
Beliau turut mengkritik penaiktarafan bandar yang dipolitikkan dan menyeru agar dasar yang lebih berpaksikan rakyat dilaksanakan demi kepentingan penduduk di kawasan itu.
“Pelan bandar kami seperti di Sembawang dan kawasan lain adalah berteraskan rakyat, bukan parti.
“Kami akan terus mencadangkan dasar-dasar yang berani, penuh belas ihsan dan berpijak di bumi nyata — tanpa rasa takut dan tanpa perlu meniru idea orang lain,” ujar Cik Surayah.
Encik Damanhuri turut berkongsi sentimen serupa dalam ucapannya, dan menyifatkan dakwaan Encik Ong sebagai “tuduhan palsu”.
Di samping itu, beliau mengetengahkan keunikan warisan dan identiti setempat yang terdapat di Sembawang seperti Masjid Petempatan Melayu Sembawang, bangunan putih hitam dari era British dan persekitaran hijau di beberapa lokasi.
“Semua ini akan menjadi pemangkin untuk mencetuskan idea-idea baru bagi kami sebagai wakil rakyat anda — supaya bersama anda, kami dapat membina Sembawang yang lebih baik,” kata Encik Damanhuri.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg