Parti Kemajuan Singapura (PSP) menolak perbuatan warga asing untuk mempengaruhi warga Singapura semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), kata pengerusi parti, Dr Tan Cheng Bock.
Dalam satu sidang media di Pusat Makanan dan Pasar Teban Gardens, Dr Tan berkata warga Singapura ingin menilai apa yang diketengahkan parti itu sendiri tanpa anasir luar.
“Kami seharusnya mempunyai kebolehan tersendiri untuk tampilkan idea atau parti kami dengan baik.
“Kami tidak perlukan anasir asing untuk memberitahu kami apa untuk dilakukan, dan inilah pendirian PSP,” ujarnya.
Beliau berkata demikian menyusuli Arahan Pembetulan yang dikenakan kepada Meta, syarikat induk yang memiliki Facebook, untuk melumpuhkan akses pengguna Singapura kepada beberapa Iklan Pilihan Raya Dalam Talian (OEA) yang diterbitkan di Facebook oleh warga asing semasa tempoh pilihan raya.
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD), dalam satu kenyataan bersama pada 25 April, berkata mereka telah mengeluarkan arahan tersebut di bawah Seksyen 61N Akta Pilihan Raya Parlimen (PEA) setelah mengenal pasti beberapa warga asing yang cuba mempengaruhi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Dr Tan, calon pasukan PSP GRC West Coast-Jurong West, berkata demikian sebelum melakukan lawatan ke pasar dan pusat makanan tersebut sambil ditemani barisan calon lain.
Ini termasuk ketua PSP, Encik Leong Mun Wai; naib pengerusi pertama parti, Cik Hazel Poa, Encik Sani Ismail dan Encik Sumarleki Amjah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg