Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Chun Sing: Kesepakatan diutama tanpa kira parti politik

May 5, 2025 | 3:41 PM
chan chun sing, GRC Tanjong Pagar, penduduk
Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing (kiri), yang juga Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Tanjong Pagar, berswafoto bersama penduduk di Pasar 44, Holland Drive, pada 4 Mei. - Foto ZAOBAO

Persaingan sebenar selepas Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) bukanlah antara rakyat Singapura tetapi dengan seluruh dunia, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, pada 4 Mei, sehari selepas kemenangan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Tanjong Pagar. 

Singapura perlu memastikan ia membariskan pasukan terbaik dengan sokongan padu daripada rakyat, kata beliau semasa bercakap kepada media di Pasar dan Pusat Makanan Holland Drive ketika melawat kawasan tersebut. 

“Ini supaya apabila kita berunding dengan seluruh dunia, apabila kita mahu mewujudkan peluang, kita mahu memeterai perjanjian baru dengan seluruh dunia, seluruh dunia boleh melihat Singapura dengan penuh keyakinan bahawa rakyat kita bersatu padu dan bekerjasama dengan pemerintah.   

“Itulah nilai terkuat yang kami boleh sumbangkan,” kata Encik Chan, yang juga Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Tanjong Pagar.

Menurutnya, dalam sebarang pilihan raya, tumpuan harus diberikan kepada isu teras seperti perang dagangan yang sedang berlaku, cabaran dan ketidaktentuan di peringkat sejagat. 

Ia termasuk memastikan pekerjaan yang baik diwujudkan untuk rakyat Singapura, dan gaji terus meningkat sebagai satu cara menangani tekanan inflasi.   

“Kami amat gembira rakyat Singapura telah bersatu dan menolak politik identiti, di mana orang ramai mungkin mencampuradukkan kaum dan agama. 

“Saya rasa terdapat beberapa asas teras yang kita semua mesti bersetuju, tidak kira parti mana, kerana kita semua adalah warga Singapura yang baik,” ujar Encik Chan.  

Pasukan PAP yang diterajui Encik Chan memenangi GRC Tanjong Pagar dengan 81.03 peratus, dengan jurang kemenangan kali ini jauh lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020), mengalahkan Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR). 

Ia adalah prestasi terbaik parti pemerintah di GRC sejak sistem itu diperkenal pada 1988.   

Ditanya mengenai peranan dalam Kabinet baru Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, Encik Chan berkata:

“Saya pasti (PM Wong) akan melihat sumbangan yang mungkin diberikan oleh semua anggota pasukan, dan meletakkan mereka dalam kedudukan yang membolehkan mereka menyumbang dengan sebaik-baiknya kepada pasukan, menyumbang kepada usaha membawa Singapura ke hadapan dan menjaga rakyat Singapura yang lain.”   

Parti pemerintah memenangi 87 daripada 97 kerusi, sekali gus memberi Encik Wong mandat kuat dan jelas dalam pilihan raya pertama beliau sebagai ketua pemerintah dan pemimpin parti. 

Di GRC Tanjong Pagar, yang pernah menjadi kubu kuat Perdana Menteri Pengasas, Encik Lee Kuan Yew, margin kemenangan adalah jauh lebih luas berbanding dengan GE2020, apabila PAP memperoleh 63.1 peratus undi. 

Selain Encik Chan, pasukan Tanjong Pagar dianggotai Cik Joan Pereira, yang menyertai politik pada 2015; Encik Alvin Tan, yang juga Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia); Cik Rachel Ong, yang kawasan kendaliannya di Telok Blangah telah diserap ke dalam GRC Tanjong Pagar; dan mantan pegawai kanan perkhidmatan awam, Encik Foo Cexiang.       

PAP turut mencatat prestasi baik di Kawasan Undi Perseorangan (SMC) yang berjiran, dengan Encik Eric Chua memenangi 81.12 peratus undi di SMC Queenstown, manakala Encik Melvin Yong meraih 69.17 peratus di SMC Radin Mas. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg