Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Chun Sing: Sokongan padu kepada AP gerakan pekerja perkukuh mandat bela pekerja

Apr 27, 2025 | 8:54 PM
GE2025, PAP, Chan Chun Sing
Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing (kiri), semasa lawatan di Blok 85 Redhill Lane pada 27 April. - Foto ST

Sokongan lebih padu kepada ketua gerakan dan Anggota Parlimen (AP) pekerja akan memperkukuh mandat serta keyakinan mereka untuk memperjuangkan hak pekerja menjangkau kerja-kerja di Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.

Beliau menambah bahawa rakyat Singapura juga perlu memilih pasukan paling kuat untuk mewakili mereka di peringkat global dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) ini. 

Perkara ini penting kerana pihak luar mahu berunding dengan pemimpin yang jelas mendapat sokongan rakyat, kata Encik Chan yang menerajui pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Tanjong Pagar.

“Jika tidak, ia menjadi sukar untuk kita mendapatkan pakej atau perjanjian terbaik buat rakyat Singapura apabila berdepan rundingan yang sukar,” kata Encik Chan semasa sesi lawatan di Pasar Redhill pada 27 April.

Beliau memberi respons kepada ucapan rapat pilihan raya Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, pada 26 April, yang berkata calon gerakan pekerja PAP tidak perlu dipilih kerana mereka masih boleh membantu pekerja walaupun tidak memasuki Parlimen.

Calon WP, Encik Andre Low, berdepan dengan Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, di SMC Jalan Kayu, manakala seorang lagi calon WP, Encik Kenneth Foo, menentang Penolong Setiausaha Agung NTUC, Encik Desmond Choo, di SMC Tampines Changkat.

Encik Pritam turut menyentuh hubungan rapat antara NTUC dengan PAP, sambil menegaskan bahawa AP gerakan pekerja berdiam diri berkaitan saga Allianz-Income pada Ogos 2024, apabila isu tersebut mula ditimbulkan di Parlimen.

Beberapa parti pembangkang turut mengutarakan isu itu –  yang kemudiannya dibatalkan pada akhir 2024 – sepanjang kempen mereka.

Diminta mengulas kenyataan Encik Pritam, Encik Chan, yang pernah menjadi ketua gerakan pekerja dari 2015 hingga 2018, berkata isu ini tidak hanya terhad kepada apa yang AP PAP katakan di Parlimen, tetapi juga melibatkan usaha yang mereka lakukan di belakang tabir.

“Setiap pegawai NTUC, termasuk AP gerakan pekerja, perlu bekerja rapat dengan syarikat dan rakan tiga pihak untuk mencapai apa yang mereka boleh untuk pekerja kita.

“Oleh itu, saya rasa jika ada pihak yang mengatakan perkara yang berbeza, mungkin mereka tidak memahami sepenuhnya bagaimana sistem tiga pihak kita berfungsi.”

Mengenai perjanjian Allianz-Income, Encik Chan berkata AP PAP telah membangkitkan isu tersebut “secara dalaman dan luaran”.

“Ini menunjukkan kepelbagaian pandangan yang mereka bawa ke meja perbincangan. Ini menunjukkan bagaimana mereka berusaha gigih agar pekerja dapat pekerjaan dan pertumbuhan gaji yang lebih baik,” katanya.

Encik Chan ditemani oleh anggota lain daripada pasukan PAP, yang akan berdepan dengan calon Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR) dalam pilihan raya 3 Mei ini.

Calon PAP untuk SMC Radin Mas, Encik Melvin Yong dan calon SMC Queenstown, Encik Eric Chua, turut hadir.

Di tengah-tengah kempen GE2025, Encik Chan menggesa pengundi memilih calon yang benar-benar akan bertindak untuk rakyat, bukan hanya “mereka yang meminta orang lain bertindak bagi pihak mereka”.

Beliau menekankan bahawa calon yang layak bukan sahaja perlu menjaga kepentingan penduduk di kawasan masing-masing dan mewakili mereka di peringkat nasional, tetapi juga membawa suara rakyat di pentas antarabangsa.

Mengenai usul PAR untuk pendidikan, makan tengah hari di sekolah, dan penjagaan kesihatan percuma untuk anak-anak Singapura – yang dibincangkan pada rapat mereka pada 26 April – Encik Chan berkata pengundi perlu menilai cadangan tersebut dengan teliti berdasarkan beberapa kriteria.

Sebagai contoh, pengundi perlu menilai bagaimana usul ini akan dibiayai dan jika ia dapat menarik lebih banyak pelaburan serta mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik.

Satu lagi perkara yang perlu dipertimbangkan adalah sama ada cadangan ini akan membantu syarikat menghasilkan lebih banyak pendapatan untuk membayar gaji pekerja dengan lebih baik, katanya. 

Beliau menambah bahawa cara terbaik untuk menjaga kebajikan pekerja dan penduduk adalah dengan memastikan mereka mendapat pekerjaan yang baik dan pendapatan yang terus berkembang.

“Itulah cara terbaik untuk menangani isu kos sara hidup,” katanya, sambil menegaskan bahawa Pemerintah akan terus memberi bantuan di mana perlu, dengan mengagihkan semula hasil negara.

Apabila ditanya tentang nilai yang dibawa oleh calon AP gerakan buruh, jika dipilih, Encik Chan berkata pekerja dan anggota kesatuan mahu kepentingan mereka diwakili di Parlimen dan Kabinet.

“Jadi, apabila mereka (AP gerakan buruh) mendapat sokongan yang padu, dan mereka berkata sesuatu di Parlimen dan Kabinet, orang di sana akan memberi perhatian serius (kepadanya) kerana mereka tahu bahawa mereka bukan bercakap sebagai individu, tetapi... mewakili pekerja dan anggota kesatuan,” kata Encik Chan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg