Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Damanhuri terpanggil untuk berbakti selepas umum persaraan

Calon SDP kembali bertanding dalam GE2025 atas permintaan parti, ingin jadi suara alternatif berwibawa
Apr 30, 2025 | 8:06 PM
damanhuri abas, sdp, bersara
Bagi calon Parti Demokratik Singapura (SDP), Encik Damanhuri Abas, tumpuan pasukannya yang bertanding di GRC Sembawang bukan untuk menjejas undi Parti Tindakan Rakyat (PAP), tetapi meraih kemenangan dengan sekurang-kurangnya 50.1 peratus undi. - Foto ST

Pada 2023, Encik Damanhuri Abas telah melahirkan hasratnya secara terbuka untuk mengundurkan diri daripada politik.

Namun, dua tahun kemudian, seruan untuk mengetengahkan dirinya sebagai calon Parti Demokratik Singapura (SDP) dalam Pilihan Raya 2025 (GE2025) terlalu kuat sehingga aktivis masyarakat veteran itu terpanggil untuk menyumbang bakti.

Dalam wawancara eksklusif dengan Berita Harian (BH) pada 29 April, Encik Damanhuri, 54 tahun, berkongsi bahawa kembalinya beliau dalam bidang politik, didorong keinginan yang diperbaharui untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Beliau yang kini bertugas sebagai perunding pendidikan serantau, mahu menawarkan suara alternatif masyarakat Melayu/Islam yang berwibawa di Parlimen.

Encik Damanhuri bertanding di GRC Sembawang sebagai sebahagian daripada pasukan lima individu, bersama Bendahari SDP, Cik Surayah Akbar; Timbalan Ketua Dasar SDP, Dr James Gomez; dan Naib Pengerusi SDP, Encik Bryan Lim, dan Encik Alfred Tan.

“Apa yang saya rasakan adalah, kita telah banyak melakukan pendekatan dan program, dengan sebagainya melalui wadah yang kita ada dalam masyarakat, sama ada dalam badan Islam dan mungkin individu berpengaruh yang mencuba dengan niat yang baik untuk membantu masyarakat.

“Namun, jika kita lihat hasil keseluruhannya, mungkin kita belum puas hati.

“Satu wadah yang kita belum gunakan secara maksimum pada pandangan saya ialah politik. Kita dah lakukan politik melalui parti pemerintah PAP, jadi sekarang kita nak cuba alternatif, iaitu parti pembangkang.

“Saya juga melihat ini sebagai satu fardu kifayah untuk saya melakukannya (masuk ke politik),” kongsi beliau.

Encik Damanhuri berkongsi, sebelum ini beliau telah menerima tawaran bekerja di sebuah kolej pendidikan yang dikendalikan sebuah pertubuhan Melayu-Islam.

Pertubuhan tersebut telah meminta kakitangannya untuk tidak terlibat dalam politik. Encik Damanhuri berkata, beliau menghormati permintaan majikannya itu, meskipun akhirnya ‘persaraan’ politik beliau tidak berpanjangan.

“Kita hanya mampu merancang... (Kini) terbukalah peluang saya kembali untuk berkecimpung dalam politik.”

Encik Damanhuri dan rakan-rakannya berdepan pertempuran tiga penjuru, menentang pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Perpaduan Nasional (NSP).

Pasukan PAP diwakili Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, Encik Vikram Nair, Cik Mariam Jaafar, dan dua muka baru, Encik Ng Shi Xuan, dan Encik Gabriel Lam.

Pasukan NSP pula dipimpin Ketua NSP, Encik Spencer Ng, dan turut dianggotai Encik Raiyian Chia, Cik Verina Ong, Encik Lee Wei, dan Encik Yadzeth Hairis.

Beliau turut menyatakan komitmennya untuk menyokong Pengerusi SDP, Dr Paul Tambyah, dalam usaha beliau bertanding di SMC Bukit Panjang, sebagaimana yang dirancang pada awalnya.

Awalnya, Encik Damanhuri enggan bertanding kerana ingin menumpukan perhatian kepada kempen Dr Tambyah. Namun, beliau akhirnya turun padang selepas menerima galakan daripada parti.

“Tetapi, parti mahu saya bertanding. Setelah parti SDP bertanyakan kepada saya, sama ada saya akan pertimbangkan perkara ini, saya dah buat pertimbangannya,” kata beliau.

Semenjak bertanding di kawasan utara Singapura seperti di GRC Marsiling-Yew Tee pada GE2015 dan GE2020 dan kini di GRC Sembawang, Encik Damanhuri berharap dapat menyumbang idea praktikal, yang boleh mempertingkat kesejahteraan penduduk.

Menyentuh mengenai pelan bandar SDP untuk GRC Sembawang, antara isu yang menjadi keutamaan baginya adalah mewujudkan pusat ketenangan minda bagi menangani isu tekanan hidup yang semakin meruncing dalam kalangan pelajar, golongan pekerja dan warga emas.

“Kalau kita lihat di Singapura ini, sudah ada beberapa inisiatif yang dilakukan oleh pemerintah yang kita laung-laungkan. Tapi, mereka lebih menyasarkan pada golongan warga emas, seperti pusat penuaan aktif, sebagai contoh.

“Saya yakin penerimaannya akan lebih menyeluruh apabila kita terus mencuba. Kalau diizinkan, kita akan cuba melaksanakan idea ini,” ujar beliau.

“Apa yang saya rasakan adalah, kita telah banyak melakukan pendekatan dan program, dengan sebagainya melalui wadah yang kita ada dalam masyarakat, sama ada dalam badan Islam dan mungkin individu berpengaruh yang mencuba dengan niat yang baik untuk membantu masyarakat. Namun, jika kita lihat hasil keseluruhannya, mungkin kita belum puas hati. Satu wadah yang kita belum gunakan secara maksimum pada pandangan saya ialah politik.”
Encik Damanhuri Abas, calon Parti Demokratik Singapura (SDP) di GRC Sembawang dalam GE2025.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg