Usaha sedang dijalankan untuk terus memelihara satu-satunya masjid kampung di Singapura, Masjid Petempatan Melayu Sembawang.
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, yang juga calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Sembawang bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), berkata beliau akan bekerjasama dengan agensi tertentu untuk memastikan masjid di Jalan Mempurong itu dapat dikekalkan.
“Ada satu masjid kampung lama yang dikelilingi kehijauan, satu-satunya di Singapura. Selama beberapa tahun, menteri di sini – daripada Dr Tony Tan kepada Encik Khaw Boon Wan – mengelakkannya daripada dirobohkan,” kata Encik Ong.
“Saya berikrar untuk meneruskan usaha ini. Walaupun Sembawang akan terus membangun, kita tidak perlu melepaskan sejarah kita, ikon kita. Saya akan bekerjasama dengan URA (Penguasa Pembangunan Semula Bandar) untuk memelihara Masjid Petempatan selama-lamanya,” tambahnya.
Encik Ong membuat pengumuman itu dalam ucapan rapat yang disampaikan dalam bahasa Melayu dan Inggeris di tanah lapang dekat Sun Plaza di Sembawang pada 28 April.
Masjid Petempatan Melayu Sembawang dibina pada 1963 hasil usaha penduduk beberapa kampung sekitarnya termasuk Kampong Tengah. Apabila penduduk berpindah pada awal 1980-an bagi memberi laluan kepada projek pembangunan semula pemerintah, masjid itu dikekalkan dan diberi Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang diteruskan hingga kini.
Rancangan bagi masjid itu adalah antara usaha bagi menjadikan Sembawang tempat istimewa penuh harapan dan optimisme, kata Encik Ong.
Rancangan lain termasuk membangunkan Woodlands North Coast, tapak yang mengelilingi stesen Sistem Transit Laju (RTS) untuk menawarkan perumahan baru, hiburan, riadah, kemudahan masyarakat, taman dan tempat kerja.
Encik Ong juga berkata beliau sedang berbincang dengan URA untuk membangunkan tapak Limbungan Kapal Sembawang yang tidak lama lagi akan berpindah ke Tuas.
Pasukan PAP di GRC Sembawang bagi GE2025 yang dipimpin Encik Ong terdiri daripada anggota sedia ada iaitu Cik Mariam Jaafar dan Encik Vikram Nair, serta dua muka baru iaitu Encik Ng Shi Xuan dan Encik Gabriel Lam.
Mereka menghadapi pertembungan tiga penjuru dengan persaingan daripada Parti Demokratik Singapura (SDP) dan Parti Perpaduan Nasional (NSP).
SDP dalam rapat mereka di lokasi sama pada 27 April menggesa pengundi GRC Sembawang agar tidak risau untuk mengundi keluar PAP dan kehilangan seorang menteri.
Mereka berkata SDP mempunyai “menteri kesihatan yang lebih relevan dan layak untuk negara ini” dalam diri pengerusi parti, Dr Paul Tambyah, yang merupakan perunding kanan penyakit berjangkit di Hospital Universiti Nasional (NUH).
Dalam ucapannya, Encik Ong menerangkan bahawa Anggota Parlimen (AP) PAP melakukan banyak perundingan dengan penduduk untuk menghasilkan konsep bagi hab sehenti Bukit Canberra dan mengubah rancangan asal untuk membina stadium kepada kemudahan yang dikelilingi kehijauan.
Encik Ong juga berkata beliau berbincang dengan Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk mendapatkan tanah tambahan bagi membangunkan Taman Sembawang Hot Spring.
Bagi projek kebangsaan lebih besar seperti RTS dan Kampus Kesihatan Woodlands, Kabinet membuat keputusan sama ada untuk meneruskannya, lokasinya dan penyelarasannya.
“Apabila keputusan itu dibuat di Kabinet, saya tanya anda, penduduk GRC Sembawang, apakah anda tidak mahu menteri utama bagi GRC Sembawang untuk berada di sana?”
“Undi saya dan pasukan saya, dan saya akan berada di sana apabila keputusan itu dibuat. Dan saya akan berada di sana untuk menjaga kepentingan dan kebajikan penduduk kami yang tinggal di bandar Sembawang dan Woodlands,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg