Terdapat saluran yang sesuai bagi parti politik untuk berbahas mengenai dasar dan dasar tersebut seharusnya diketengahkan melalui manifesto masing-masing, kata Menteri Pembangunan Negara, Desmond Lee.
Menurut beliau, pendekatan ini memberi ruang kepada para pengundi untuk menilai dan membandingkan dasar yang dibentangkan.
Encik Lee berkata: “Terdapat wadah (yang tersedia) sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum (GE) bagi parti politik berdebat mengenai sesebuah dasar.
“Parti juga boleh paparkan idea dasar mereka dalam manifesto masing-masing.”
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan yang dibuat Setiausaha Agung Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Leong Mun Wai, pada 23 April.
Encik Lee akan mempertahankan GRC West Coast-Jurong West, yang sebelum ini dikenali sebagai GRC West Coast, dan mengetuai pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) setelah kemenangan tipis ke atas PSP pada GE2020.
PAP menang 51.68 peratus undi berbanding PSP dengan 48.32 peratus undi, menjadikannya persaingan paling sengit bagi sebuah Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) pada tahun itu.
Beliau disertai dua muka baru iaitu peguam, Cik Cassandra Lee; pakar ortopedik, Dr Hamid Razak; serta Encik Ang Wei Neng dan Setiausaha Parlimen Kanan (Kewangan merangkap Pendidikan), Encik Shawn Huang.
Dalam ucapan Encik Leong kepada penyokong selepas pengesahan barisan calon di Pusat Penamaan Calon, Sekolah Tinggi Nan Hua, beliau mempelawa Encik Lee dan pasukannya untuk berdebat mengenai dasar parti masing-masing.
Encik Leong berkata: “Kami mempunyai pelbagai dasar dalam manifesto kami yang dapat membantu warga Singapura melalui kehidupan yang lebih baik.
“Kami ingin menjemput Encik Lee dan pasukannya untuk sesi debat berkenaan dasar dan biarkan pengundi tentukan idea dasar mana yang lebih baik.”
Encik Leong merupakan salah satu daripada tiga pemimpin tertinggi PSP yang pernah tampil pada GE2020 dan sekali lagi menganggotai pasukan parti itu pada GE2025.
Anggota tertinggi lain yang pernah tampil dan akan bertanding lagi ialah pengerusi parti, Dr Tan Cheng Bock, selaku ketua pasukan; dan naib pengerusi pertama parti itu, Cik Hazel Poa.
Mereka disertai dua muka baru iaitu peguam, Encik Sani Ismail dan ketua perniagaan, Encik Sumarleki Amjah.
Seruan serupa turut dinyatakan Encik Leong kepada pihak media sebelum sesi lawatan di Blok 505 Pusat Makan dan Pasar Jurong West sejurus selepas Penamaan Calon.
Menjawab pertanyaan wartawan, Cik Poa berkata Parlimen merupakan wadah berdebat dasar yang akan “menjadi pertimbangan utama bagi pengundi”.
“Sebab kami meminta untuk berdebat adalah kerana peranan utama Anggota Parlimen (AP) berdebat dasar di Parlimen,” ujarnya, yang merupakan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) sebelum Parlimen dibubarkan, bersama Encik Leong.
Sementara itu dalam satu acara berasingan di cawangan PAP Boon Lay, Encik Lee dan pasukannya membentangkan manifesto parti bagi GRC West Coast-Jurong West.
Beliau berkata manifesto itu akan berteraskan sembilan tonggak meliputi bantuan kos sara hidup, sokongan warga emas, bantuan pekerjaan, sokongan keluarga, pemerkasaan belia dan kanak-kanak, memperkasa golongan kurang upaya, peningkatan mutu kehidupan bagi golongan memerlukan, merancakkan lagi kawasan kejiranan dan inisiatif kemampanan.
Inisiatif di bawah tonggak ini akan dilaksanakan sepanjang lima tahun akan datang, sekiranya pasukannya diberi mandat oleh rakyat, tambah beliau.
GE2025 adalah GE kali pertama Encik Lee mengetuai sesebuah GRC secara berseorangan.
Pada GE2020, pasukan PAP diketuai bersama beliau dan bekas Menteri Pengangkutan S. Iswaran, yang meletak jawatan selepas siasatan rasuah ke atasnya dimulakan pada 2024.
Encik Lee telah menggalas tanggungjawab Iswaran di GRC tersebut sejak kejadian itu.
Dalam pada itu, Cik Lee menggantikan Cik Foo Mee Har, yang telah menerajui daerah mengundi Ayer Rajah sebagai AP GRC West Coast selama 14 tahun, selepas Cik Foo mengumumkan persaraannya daripada arena politik dalam satu hantaran di Facebook pada 23 April.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg