GRC West Coast-Jurong West yang baru dibentuk menyaksikan persaingan antara parti pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) dengan Parti Kemajuan Singapura (PSP) dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025.
Kededua parti akan berentap bagi merebut lima kerusi Parlimen selepas pengesahan calon parti masing-masing di Pusat Pencalonan Sekolah Tinggi Nan Hua semasa Hari Penamaan Calon pada 23 April.
Barisan calon PAP diketuai Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, dengan disertai dua muka baru, peguam Cik Cassandra Lee, dan pakar ortopedik, Dr Hamid Razak.
Melengkapkan pasukan PAP ialah Encik Ang Wei Neng dan Setiausaha Parlimen Kanan (Kewangan merangkap Pendidikan), Encik Shawn Huang – kededua calon ini masing-masing bertanding di GRC West Coast dan GRC Jurong pada GE2020.
Tiga pemimpin tertinggi PSP yang pernah tampil pada GE2020 sekali lagi menganggotai pasukan parti itu.
Mereka terdiri daripada pengerusi PSP, Dr Tan Cheng Bock, selaku ketua pasukan, disertai Setiausaha Agung parti, Encik Leong Mun Wai, dan naib pengerusi pertama parti, Cik Hazel Poa.
Mereka disertai dua muka baru iaitu peguam, Encik Sani Ismail, dan ketua perniagaan, Encik Sumarleki Amjah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg