Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Desmond: Pemerintah teroka tambah pilihan perumahan awam bagi bujang, pasangan gaji tinggi

May 1, 2025 | 8:44 PM
Dalam satu kenyataan pada 1 Mei, Menteri Pembangunan Negara yang juga calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC West Coast-Jurong West, Encik Desmond Lee, berkata pemerintah sedang teroka lebih banyak pilihan perumahan awam bagi golongan bujang dan pasangan berpendapatan tinggi.
Dalam satu kenyataan pada 1 Mei, Menteri Pembangunan Negara yang juga calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC West Coast-Jurong West, Encik Desmond Lee, berkata pemerintah sedang teroka lebih banyak pilihan perumahan awam bagi golongan bujang dan pasangan berpendapatan tinggi. - Foto ST

Pemerintah sedang meneroka lebih banyak pilihan perumahan awam bagi golongan bujang dan pasangan berpendapatan tinggi, sedang ia terus meningkatkan bekalan perumahan kepada lebih 130,000 flat dari 2021 hingga 2027, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.

Dalam kenyataan media bagi mengetengahkan hasil yang dicapai sepanjang lima tahun lalu dan rancangan masa hadapan pasukan GRC West Coast-Jurong West Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada 1 Mei, beliau akur kos sara hidup terus menjadi keprihatinan warga Singapura, dengan perumahan menjadi keutamaan.

Oleh itu, beliau dan pasukannya bersedia untuk mengambil langkah agar perumahan awam kekal dimampui dan dicapai bagi warga Singapura.

“Kami sedia maklum sesebuah rumah bagi anda dan anak-anak menjadi keutamaan anda,” ujarnya, yang mengetuai pasukan PAP bagi GRC West Coast-Jurong West.

Sebagai contoh, pada November 2024, Encik Lee mengumumkan Skim Penjagaan Keluarga (FCS).

Di bawah skim itu, yang dibahagikan kepada FCS (Tinggal Berhampiran) dan FCS (Pengundian Bersama), ia memberi keutamaan kepada anak yang sudah berkahwin mahupun bujang yang memohon membeli flat baru untuk tinggal bersama atau berdekatan ibu bapa mulai pertengahan 2025.

Ia bertujuan mengukuhkan sokongan keluarga antara generasi dengan menggalak kehidupan berdekatan ibu bapa dan anak.

FCS (Tinggal Berhampiran) memberi ibu bapa dan anak mereka yang sudah berkahwin mahupun bujang, keutamaan jika mereka memohon flat baru untuk tinggal berdekatan atau bersama.

FCS (Pengundian Bersama) membolehkan ibu bapa dan anak mereka yang sudah berkahwin mahupun bujang, bersama memohon dua flat dalam projek Bina Ikut Tempahan (BTO) yang sama.

Di samping itu, Encik Lee berkata pasukannya akan meneruskan usaha penambahbaikan perumahan di bawah Skim Pembangunan Semula Awal Secara Sukarela (Vers) dan akan kekalkan usaha bagi rakyat Singapura.

Dalam satu catatan Facebook pada 1 Mei, beliau menggariskan beberapa inisiatif tempatan bagi GRC West Coast-Jurong West, meliputi sokongan pementoran, peliharaan alam sekitar dan pendidikan, antara lain.

Beliau memberi penekanan kepada golongan belia dan keluarga berpendapatan rendah yang menetap di kawasan undi itu dengan menyifatkan tidak kira apapun latar belakang, setiap insan “harus diberikan peluang, dorongan dan hala tuju yang jelas”.

Di samping itu, beliau juga mengumumkan bahawa prasarana besar akan dibina di GRC West Coast-Jurong West.

Encik Lee berkata Stadium Clementi yang baru akan dibina, lengkap dengan padang bola lisut (softball) dan besbol, serta kemudahan sukan lain, di samping rancangan untuk menaik taraf taman West Coast untuk setanding dengan Taman East Coast.

“Ini bukan sahaja mengenai pembinaan prasarana – ia adalah berkenaan membina komuniti yang bertenaga, aktif dan mudah diakses untuk setiap generasi,” ujarnya.

Selain Encik Lee, barisan calon PAP bagi kawasan undi itu dianggotai Setiausaha Parlimen Kanan (Kewangan merangkap Pendidikan), Encik Shawn Huang, Cik Cassandra Lee, Dr Hamid Razak dan Encik Ang Wei Neng.

Mereka bersaing dengan pasukan Parti Kemajuan Singapura (PSP), yang diketuai Pengerusi PSP, Dr Tan Cheng Bock; ketua parti, Encik Leong Mun Wai; naib pengerusi pertama parti, Cik Hazel Poa; Encik Sani Ismail dan Encik Sumarleki Amjah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg