Isu berkaitan penggunaan MediSave dan skim Medishield Hayat, di samping usulan skim perumahan menjadi tumpuan Parti Kemajuan Singapura (PSP) dalam rapat pada hari keempat kempen Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Rapat selama hampir dua jam 45 minit itu disampaikan calon-calon PSP bagi GRC West Coast-Jurong West dan GRC Chua Chu Kang serta SMC Bukit Gombak pada 26 April di Stadium Bukit Gombak.
Calon GRC West Coast-Jurong West, Encik Sumarleki Amjah, mengusulkan perluasan penggunaan MediSave agar ia diguna pakai untuk langkah pencegahan penjagaan gigi seperti perawatan saluran akar dan pemasangan gigi palsu.
Beliau berkata: “Kami mempunyai penduduk yang kian menua, dan kos memasang gigi palsu memakan belanja yang besar.
“Ini semua adalah (kos) rawatan mahal yang perlu dibayar dan seharusnya ‘dinasionalisasikan’.
“Dengan fleksibiliti ini, rakyat Singapura mempunyai lebih pilihan mengenai bagaimana mereka dapat memanfaatkan rawatan.”
Usulan ini, katanya, dijangka menelan belanja sekitar $2 bilion setiap tahun, tetapi jumlah itu memanfaatkan warga Singapura, berbanding sokongan berlandaskan skim baucar semata-mata oleh pemerintah – merujuk kepada skim baucar pemerintah seperti baucar GST (GSTV).
Pemerintah pada Januari 2025 mengumumkan warga Singapura berusia 20 tahun ke bawah dan 55 tahun ke atas akan menerima tokokan MediSave di bawah Pakej Jaminan bernilai $150 ke dalam akaun CPF mereka sebagai sebahagian daripada Pakej Jaminan.
Berkenaan Medishield Hayat, iaitu perlindungan insurans kesihatan asas sejagat bagi semua rakyat Singapura, Encik Sumarleki mengusulkan agar skim ini dibiayai sepenuhnya oleh pemerintah, tatkala premium skim itu melihat peningkatan selama tiga tahun bermula 2025.
Encik Sumarleki berkata: “Pemerintah harus biayai premium skim MediShield Hayat sepenuhnya... jadikan MediShield Hayat percuma premium dan kos penjagaan kesihatan mampu milik (oleh semua).”
Pemerintah pada 11 Oktober 2024 mengumumkan penyediaan pakej sokongan sebanyak $4.1 bilion bagi membantu rakyat mengimbangi peningkatan itu.
Langkah tersebut merangkumi $0.7 bilion sebagai subsidi kenaikan premium, dengan lebih banyak subsidi diberikan kepada warga emas yang mempunyai pendapatan rendah dan sederhana, dan $3.4 bilion untuk tokokan MediSave tambahan.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung PSP dan juga calon GRC West Coast-Jurong West, Encik Leong Mun Wai, menekankan usulan alternatif parti terhadap dasar perumahan awam agar harganya kekal dimampui.
Beliau juga melahirkan rasa kecewa terhadap Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, kerana telah menolak cadangan untuk berdebat dengan beliau.
Encik Lee mengetuai barisan calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC West Coast-Jurong West.
“Kami amat kecewa Encik Lee, yang bertanggungjawab secara langsung ke atas perumahan awam, nampaknya tidak menghargai kelebihan (usulan) skim tanpa melibatkan kos tanah parti kami.
“Maka tidak hairanlah beliau telah menolak pelawaan kami untuk berdebat mengenai isu-isu negara,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg