Akses kepada perumahan awam di Singapura memerlukan perancangan jangka panjang dan bukan sekadar menggubal dasar, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.
Encik Lee dalam laporan The Straits Times (ST) berkata, dasar pemerintah bagi memastikan setiap rakyat Singapura mempunyai akses kepada rumah mampu milik mungkin kelihatan bertambah, tetapi ia bersifat “progresif” dan “menghala ke arah yang betul”.
“Namun, pemerintah perlu berterus-terang dengan rakyat Singapura mengenai bekalan (perumahan) yang ada, kawasan tanah yang ada, serta bila dan bagaimana pemerintah akan dapat menangani keperluan dalam jangka panjang.
“Tidak ada gunanya membuat janji, tidak ada gunanya menggubal dasar tetapi (akhirnya) tidak dapat menunaikannya,” ujar beliau.
Encik Lee berkata demikian dalam sidang media di cawangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) Boon Lay selepas mengunjungi kedai masyarakat di Blok 176, Boon Lay Drive, yang diselenggara badan amal, Food from the Heart, pada 25 April.
Calon PAP bagi GRC West Coast-Jurong West itu mengunjungi kedai tersebut bersama dua lagi calon parti iaitu Setiausaha Parlimen Kanan (Kewangan merangkap Pendidikan), Encik Shawn Huang, dan muka baru, pakar ortopedik, Dr Hamid Razak.
Encik Lee mengetuai barisan calon PAP bagi GRC West Coast-Jurong West yang disertai Encik Huang, Encik Ang Wei Neng, Dr Hamid, dan seorang lagi muka baru, peguam, Cik Cassandra Lee.
Akses kepada perumahan awam dan kos flat HDB merupakan antara isu yang diketengahkan beberapa parti semasa kempen Pilihan Raya Umum (GE) 2025.
Perihal perumahan, beberapa parti mencadangkan dasar alternatif dalam manifesto masing-masing.
Sebagai contoh, Parti Pekerja (WP) mengusulkan agar usia kelayakan bagi warga Singapura bujang untuk memohon flat Bina Ikut Tempahan (BTO) diturunkan kepada 28 tahun dari 35 tahun.
Parti Demokratik Singapura (SDP) ingin menurunkan harga flat HDB dengan hanya menyertakan kos pembinaan dan pentadbiran dan mengecualikan kos tanah.
Titik Merah Bersatu (RDU) pula mencadangkan semua flat HDB layak untuk pembangunan semula agar flat lebih tua dapat mengekalkan nilainya, daripada pajakannya luput.
Encik Lee menjelaskan bagaimana Covid-19 mengganggu pasaran perumahan, kerana gangguan rantaian bekalan dan langkah kawalan pandemik menjejas tenaga buruh dalam sektor pembinaan.
Beliau berkata pemerintah berusaha menanganinya dan sejak itu telah menurunkan kadar permohonan BTO untuk pemohon pertama ke tahap prapandemik, dan melancarkan sebahagian besar flat baru dengan masa menunggu yang lebih singkat iaitu kurang dari tiga tahun.
Tetapi sebelum hal itu boleh dilaksanakan, terdapat banyak kerja di balik tabir yang perlu dilakukan, kata Encik Lee, merujuk kepada masa yang diambil untuk pembinaan dan penyediaan tanah.
Sementara itu, beliau turut berkata sekitar 25,000 isi rumah di West Coast dan Jurong West telah meraih manfaat daripada skim sokongan tempatan yang bertujuan menangani kos sara hidup yang meningkat sepanjang lima tahun lalu.
Ia termasuk inisiatif kedai masyarakat, Food from the Heart@Boon Lay, katanya.
Menurut laporan ST, cawangan Food from the Heart@Boon Lay itu telah membantu lebih 1,000 keluarga setiap bulan dengan menyediakan makanan keperluan bagi keluarga berpendapatan rendah.
Selain makanan utama dan bahan makanan segar, kedai itu antara lain menyimpan barangan dalam tin, sos dan minuman segera untuk dipilih.
Menurut Encik Lee, di samping itu, hampir 10,000 penduduk di kawasan tersebut turut menerima bantuan untuk mencari pekerjaan atau meningkatkan kemahiran melalui daya usaha pemerintah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg