Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Desmond sangkal dakwaan PSP, tegaskan isu perumahan sudah dijelas berulang kali

Apr 30, 2025 | 9:24 PM
Calon GRC West Coast-Jurong West yang juga Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee (dua dari kanan), dan calon sepasukan, Setiausaha Parlimen Kanan (Kewangan merangkap Pendidikan), Encik Shawn Huang (kanan), bertemu penduduk semasa lawatan ke Pusat Makanan dan Pasar Taman Jurong.
Calon GRC West Coast-Jurong West yang juga Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee (dua dari kanan), dan calon sepasukan, Setiausaha Parlimen Kanan (Kewangan merangkap Pendidikan), Encik Shawn Huang (kanan), bertemu penduduk semasa lawatan ke Pusat Makanan dan Pasar Taman Jurong. - Foto FACEBOOK DESMOND LEE

Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, yang juga calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC West Coast-Jurong West, telah menyanggah dakwaan Parti Kemajuan Singapura (PSP) bahawa beliau berdiam diri daripada membangkitkan isu perumahan sepanjang kempen Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Ini selepas Setiausaha Agung PSP, Encik Leong Mun Wai, dalam satu wawancara media pada 30 April, mendakwa Encik Lee masih belum memberikan respons terhadap isu kebangsaan, khususnya perihal perumahan, yang telah dibangkitkan PSP dalam rapat dan sidang media.

Encik Leong, salah seorang calon PSP yang bertanding bagi GRC West Coast-Jurong West, berdepan dengan pasukan PAP yang diketuai Encik Lee.

Dalam satu kenyataan media pada 30 April, Encik Lee berkata beliau telah mengetengahkan isu perumahan di beberapa acara sepanjang kempen GE2025 – iaitu pada 23 April, 25 April dan 27 April.

“Sebelum kempen GE, isu perumahan sudah diperdebat secara meluas di Parlimen.

“Kami jelas terhadap komitmen untuk memastikan perumahan kekal dimampui dan dicapai warga Singapura dengan meningkatkan bekalan dan melaksanakan langkah penyejukan (perumahan) apabila ia diperlukan,” ujarnya.

Beliau menambah ia merupakan satu keprihatinan apabila PSP membuat dakwaan atau tuntutan tanpa mengambil kira fakta.

Dalam perkongsian kepada pihak media sebelum sesi lawatan ke kedai kopi Blok 964, Jurong West Street 91, pada pagi 30 April, Encik Leong berkata perlunya ada strategi keseluruhan daripada pihak pemerintah untuk “mengawal harga perumahan awam yang naik mendadak”.

“Malah, harga flat Bina Ikut Tempahan (BTO) menjangkau melebihi $1 juta jika pemerintah tidak memperkenal skim Prime dan Plus.

“Di bawah sistem sedia ada, harga flat HDB (Lembaga Perumahan dan Pembangunan), termasuk flat BTO, tidak akan berhenti meningkat secara mendadak,” kata beliau.

Flat Standard, Plus dan Prime merupakan klasifikasi projek BTO berdasarkan lokasi yang merangkumi tahap berbeza subsidi dan sekatan yang diperkenalkan dalam jualan BTO baru bagi Oktober 2024.

Encik Leong menjelaskan PSP telah membentangkan usulan alternatif di bawah skim perumahan boleh dimampui, dengan mengetepikan kos tanah, seperti yang diketengahkan dalam manifesto parti.

Usulan itu pernah dibentangkan beliau di Parlimen pada Februari 2023 ketika Encik Leong dan Naib Pengerusi Pertama PSP, Cik Hazel Poa, menjadi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), sebelum Parlimen dibubarkan.

Antara lain, saranan itu menyatakan rakyat Singapura masih membayar kos tanah serta faedah terakru, hanya jika mereka menjual flat HDB.

Dengan cara ini, harga flat BTO adalah lebih murah jika HDB tidak membayar harga tanah pada nilai pasaran yang adil.

Usulan tersebut tidak menerima sokongan di Parlimen, dengan Encik Lee menyatakan tanah negara membentuk sebahagian daripada rizab.

Semasa menyanggah usulan PSP pada Februari 2023, beliau berkata rizab itu disimpan untuk faedah semua rakyat Singapura.

“Pemerintah semasa tidak menerima hasil jualan tanah sebagai hasil untuk perbelanjaan. Hasil ini dipulangkan kembali ke rizab untuk mengekalkan nilai rizab.

“Kami melaburkan rizab dan menggunakan sebahagian daripada pulangan pelaburan untuk membiayai Belanjawan tahunan pemerintah dan menyokong keperluan rakyat Singapura semasa dan pada masa hadapan,” ujar beliau bagi menjawab saranan Encik Leong pada waktu itu.

Di samping Encik Lee, barisan calon PAP yang bertanding di kawasan itu termasuk, Setiausaha Parlimen Kanan (Kewangan merangkap Pendidikan), Encik Shawn Huang, Cik Cassandra Lee, Dr Hamid Razak dan Encik Ang Wei Neng.

Mereka bersaing dengan pasukan PSP yang diketuai Pengerusi PSP, Dr Tan Cheng Bock, Encik Leong, Cik Poa, Encik Sani Ismail dan Encik Sumarleki Amjah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg