Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kaliber calon, wawasan parti faktor penentu undi penduduk GRC West Coast-Jurong West

PAP dan PSP kembali bersaing, 3.38 peratusan mata undi memisahkan kededua pasukan, kemenangan tipis pada GE2020
Apr 29, 2025 | 3:27 PM
Penduduk GRC West Coast-Jurong West yang ditemui Berita Harian rata-rata berkata mereka akan menilai latar belakang calon dan rekod prestasi parti masing-masing dalam menentukan parti untuk diundi pada Hari Mengundi pada 3 Mei. Persaingan sengit dijangka dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) bagi GRC West Coast-Jurong West antara Parti Tindakan Rakyat (PAP) dengan Parti Kemajuan Singapura (PSP).
Penduduk GRC West Coast-Jurong West yang ditemui Berita Harian rata-rata berkata mereka akan menilai latar belakang calon dan rekod prestasi parti masing-masing dalam menentukan parti untuk diundi pada Hari Mengundi pada 3 Mei. Persaingan sengit dijangka dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) bagi GRC West Coast-Jurong West antara Parti Tindakan Rakyat (PAP) dengan Parti Kemajuan Singapura (PSP). - Foto ZAOBAO

Persona calon dan usulan dasar sesebuah parti mungkin menjadi faktor penentu bagi penduduk GRC West Coast-Jurong West dalam memilih Anggota Parlimen (AP) mereka pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Apatah lagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) itu dijangka menyaksikan persaingan sengit antara parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP) dengan Parti Kemajuan Singapura (PSP).

Kededua parti pernah berentap pada GE2020 bagi GRC West Coast dengan PAP menang tipis ke atas PSP, sebelum kawasan undi itu berubah sempadan susulan penerbitan laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) pada Mac.

Sebanyak 3.38 peratusan mata undi memisahkan kededua pasukan, kemenangan paling tipis bagi PAP di sesebuah GRC pada GE2020.

Penduduk GRC West Coast-Jurong West yang ditemui Berita Harian rata-rata berkata mereka akan menilai latar belakang calon dan rekod prestasi parti masing-masing dalam menentukan parti untuk diundi pada Hari Mengundi pada 3 Mei.

Pertimbangan itu dikongsi Cik Nik Sarina Salim, 60 tahun, yang telah menetap di kawasan undi itu selama lebih 30 tahun.

Beliau berkata tidak kira parti, apa yang menjadi faktor utama adalah usulan dasar dan kewibawaan dalam menjaga kesejahteraan penduduk dengan baik.

Beliau akur pertimbangan lebih mendalam diberikan terhadap parti baru – merujuk kepada PSP, yang diasaskan pada 2019 dan kali kedua bertanding dalam GE.

“Ia memerlukan keberanian untuk menukar perspektif terhadap parti mana untuk diundi (bagi yang baru),” ujar beliau.

Perkara serupa dikongsi Encik Abdul Malik Tambi, yang menetap di kawasan Jurong West selama hampir 20 tahun.

Pesara berusia 71 tahun itu berkata selain usulan dasar dan kaliber calon, wawasan parti merupakan antara perkara yang akan beliau nilai sebelum membuang undi, di samping bagaimana parti “mengetengahkan kehendak golongan minoriti (di Parlimen)”.

Namun, lebih daripada persona dan latar belakang calon, saranan mengenai cara menangani keprihatinan kos sara hidup serta aturan fleksibel bagi golongan berusia dan kelas pertengahan – adalah antara isu yang hangat dibahaskan pada GE2025.

Ini diluahkan Cik Nur Indrawati Sumadi, yang berusia dalam lingkungan 40-an tahun, yang menyatakan beliau akan menilai parti berdasarkan usulan bagi golongan pertengahan sepertinya.

Ibu dua anak berusia 16 dan 22 tahun serta bertugas sebagai pakar perkhidmatan gaji itu berkata:

“Apakah manfaat (yang sudah dilaksanakan) bagi golongan seperti kami? Kami sedang meningkat usia dan masih menjaga ibu atau bapa yang sudah tua.

“Mungkin ada baiknya (jika) ada bantuan dari segi cuti keluarga mandatori tambahan, memandangkan golongan kami sebahagian besarnya masih bekerja.”

Malah Profesor Undang-undang Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Madya Eugene Tan, menyifatkan keprihatinan sebegini menjadi “isu perdebatan hebat antara parti yang bertanding”.

“PSP akan meneruskan naratifnya pada GE2020, iaitu ‘PAP (sekarang) bukanlah seperti sebelum ini’ dan ia ‘telah hilang arah tujuan’,” ujar beliau.

Ia juga sesuatu yang diutarakan Setiausaha Agung PSP, Encik Leong Mun Wai, semasa berucap dalam rapat pertama GE2025 pada 24 April, dengan beliau menyifatkan pasukan generasi keempat (4G) PAP “bukan pemerintah Gred A yang kita pernah tahu”.

“Dari segi tadbir urus, kita dapat melihat kemerosotan umum dalam standard, kebertanggungjawaban, kecekapan dan etika dalam tahun-tahun kebelakangan ini,” ujarnya.

Ini menyusuli pengalaman beliau dilantik sebagai Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) selama lima tahun di Parlimen.

Hal itu disangkal Perdana Menteri Encik Lawrence Wong, dengan beliau menyatakan pihak pembangkang akan melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan PAP.

Dalam ucapan semasa rapat GE2025 pada 26 April, beliau menukil contoh dakwaan PSP bahawa warga asing mengambil tugasan rakyat Singapura – sesuatu yang disangkal Encik Wong, memandangkan pendekatan parti pemerintah dalam hal itu “mengukuhkan daya saing Singapura”.

Justeru, persaingan sengit dari segi kewibawaan calon dan usulan dasar dijangkakan daripada kededua pasukan PAP dan PSP bagi GRC itu.

Lebih-lebih lagi sedang tiga pemimpin tertinggi PSP yang pernah tampil pada GE2020 sekali lagi menganggotai pasukan parti.

Mereka adalah Pengerusi PSP, Dr Tan Cheng Bock, selaku ketua pasukan; selain Setiausaha Agung PSP, Encik Leong Mun Wai, dan Naib Pengerusi Pertama PSP, Cik Hazel Poa.

Mereka disertai dua muka baru, Encik Sani Ismail dan Encik Sumarleki Amjah.

Barisan anggota PAP diketuai Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee, disertai dua muka baru, Cik Cassandra Lee dan Dr Hamid Razak.

Melengkapkan pasukan PAP ialah Encik Ang Wei Neng dan Setiausaha Parlimen Kanan (Kewangan merangkap Pendidikan), Encik Shawn Huang – kededua calon itu masing-masing bertanding di GRC West Coast dan GRC Jurong pada GE2020.

Pengamat politik, Profesor (Adjung) Terence Ho dari Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata penampilan Dr Tan dalam barisan calon PSP mungkin memberi peluang kepada parti itu, memandangkan beliau pernah berkhidmat sebagai AP kawasan undi Ayer Rajah.

Ia juga bakal menjadi GE terakhir baginya, seperti diumumkan parti pada 20 April.

“Sesetengah pengundi, terutamanya penduduk kawasan undi Ayer Rajah yang pernah dikendali Dr Tan, mungkin cenderung memberi beliau peluang terakhir untuk kembali ke Parlimen.

“Namun, sukar untuk dikatakan berapa ramai pengundi akan mengambil kira sentimen sedemikian apabila membuang undi kelak,” ujarnya.

“Sesetengah pengundi, terutamanya penduduk kawasan undi Ayer Rajah yang pernah dikendali Dr Tan, mungkin cenderung memberi beliau peluang terakhir untuk kembali ke Parlimen. Namun, sukar untuk dikatakan berapa ramai pengundi akan mengambil kira sentimen sedemikian apabila membuang undi kelak.”
Pengamat politik, Profesor (Adjung) Terence Ho dari Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, Universiti Nasional Singapura (NUS).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg