Meskipun baru mengetuai GRC West Coast-Jurong West, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, mempunyai keyakinan terhadap pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memiliki gabungan anggota berpengalaman dan baru.
Gabungan itu menyuntik kesegaran dari segi pemikiran dan pendekatan, sejajar dengan keperluan menangani cabaran masyarakat yang semakin kompleks, kata beliau pada 20 April.
Bercakap kepada media selepas acara Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) yang diadakan di Kelab Masyarakat (CC) Boon Lay, Encik Lee berkata:
“Kali ini saya mengetuai pasukan, namun saya mempunyai pasukan yang merupakan gabungan calon berpengalaman, termasuk rakan-rakan dari sektor pemerintah, serta anggota baru yang terdiri daripada calon lebih muda yang turut memiliki pengalaman bertahun-tahun berkhidmat dalam masyarakat yang ingin kami wakili.
“Mereka akan membawa idea baru serta pendekatan segar dalam menangani cabaran. Saya percaya gabungan ini merupakan tawaran terbaik yang kami berikan kepada penduduk.”
Anjuran e2i NTUC, dengan kerjasama Majlis Bandaran West Coast dan Persatuan Rakyat (PA), acara Bringing Jobs to Your Doorstep bertujuan membawa sokongan kerjaya dan latihan kemahiran terus kepada penduduk.
Ini adalah kali pertama Encik Lee mengetuai Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) secara berseorangan.
Pada Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020), pasukan PAP diketuai bersama oleh beliau dan bekas Menteri Pengangkutan, S. Iswaran, yang meletak jawatan selepas siasatan rasuah ke atasnya dimulakan pada 2024.
Encik Lee, yang juga pengerusi Majlis Bandaran West Coast, telah menggalas tanggungjawab Iswaran di GRC tersebut sejak kejadian itu.
Sebagai reaksi kepada pengumuman rasmi barisan calon Parti Kemajuan Singapura (PSP) pada pagi 20 April, Encik Lee menegaskan bahawa pasukan PAP kekal fokus terhadap khidmat kepada penduduk dan pelaksanaan komitmen mereka.
“Kami (pasukan PAP) terus memberi tumpuan sepenuhnya untuk melaksanakan komitmen kepada penduduk sekiranya diberi mandat untuk berkhidmat pada tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas tentang kehadiran pengerusi PSP, Dr Tan Cheng Bock, yang kembali bertanding di kawasan tersebut.
“Dr Tan ialah seorang ahli politik veteran yang sebelum ini pernah menjadi Anggota Parlimen (AP) PAP bagi kawasan SMC Ayer Rajah untuk bertahun-tahun dan telah membuat sumbangan besar kepada Singapura.
“Saya dan pasukan saya menghormati perkhidmatan beliau kepada negara dan bekas pengundinya,” ujar beliau.
Mengulangi persaingan dengan PAP di kawasan tersebut bagi GE2025, Dr Tan bakal mengetuai pasukan PSP bagi kawasan itu, disertai Setiausaha Agung parti, Encik Leong Mun Wai, dan naib pengerusi pertama parti, Cik Hazel Poa.
Turut hadir bersama Encik Lee ialah calon PAP, Dr Hamid Razak, yang telah berkhidmat di kawasan Jurong Spring sejak dua tahun lalu.
Menyifatkan pasukan PAP sebagai “gabungan yang kukuh”, Dr Hamid berkata:
“Antara calon baru kami, kami mempunyai hampir 35 tahun pengalaman kolektif menjadi sukarelawan dalam masyarakat.
“Kami telah mendengar pendapat penduduk dan kami bersedia membawa idea baru bersama pendekatan yang terbukti.
Menurut Dr Hamid, pasukan itu tidak lama lagi akan mendedahkan manifesto masyarakat yang memperincikan rancangan mereka untuk lima tahun akan datang di West Coast-Jurong West.
“Mereka akan membuat pilihan mereka pada hari pengundian. Itulah demokrasi, dan kami menghormatinya,” tambah beliau.
Sejajar dengan pandangan itu, Encik Lee menyimpulkan bahawa pilihan raya ini tidak ditandai dengan ketidakpastian, tetapi dengan pilihan yang jelas.
“Kedua-dua pihak – PSP dan PAP – dikenali oleh pengundi. Kami telah berbahas di Parlimen dan berkhidmat dalam masyarakat. Kini, terpulang kepada penduduk membuat keputusan,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg