Tiga pemimpin tertinggi Parti Kemajuan Singapura (PSP) bakal bertanding di GRC West Coast-Jurong West, sekali gus membuka laluan bagi mengulangi persaingan dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di kawasan ini bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Pengerusi PSP, Dr Tan Cheng Bock, 84 tahun, akan mengetuai pasukan PSP bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) itu, disertai Setiausaha Agung parti, Encik Leong Mun Wai, dan naib pengerusi pertama parti, Cik Hazel Poa.
Encik Leong dan Cik Poa merupakan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) sebelum Parlimen dibubarkan.
Mereka bakal disertai oleh dua muka baru iaitu peguam, Encik Sani Ismail, 49 tahun, dan ketua perniagaan, Encik Sumarleki Amjah, 53 tahun.
Dr Tan membuat pengumuman itu semasa bertemu media di Pasar dan Pusat Makanan Taman Jurong, yang terletak dalam estet Taman Jurong, pada 20 April.
Estet itu sebelum ini sebahagian daripada GRC Jurong.
Namun ia kini telah diserap oleh GRC West Coast-Jurong West susulan laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) pada 11 Mac.
Mengulas berkenaan pemilihan calon parti, Dr Tan berkata: “Pemilihan calon parti sebagai wakil rakyat tidak berlaku secara satu kebetulan. Ia langkah yang diambil dengan penuh teliti dan diurus dengan berhati-hati.”
Dr Tan, Encik Leong dan Cik Poa membantu pasukan PSP yang bertanding bagi GRC West Coast, sebelum ia dikenali sebagai GRC West Coast-Jurong West, pada GE2020.
Pilihan raya itu menyaksikan PSP tewas kepada PAP dengan jurang kekalahan paling tipis, iaitu 3.38 mata peratusan undi.
Menjawab desas-desus berkenaan perwakilan Encik Leong atau Cik Poa di Kawasan Undi Perseorangan (SMC), Encik Leong berkata mereka memutuskan bertanding secara bersama dalam GRC West Coast-Jurong West “sebagai tanda terima kasih kepada penduduk GRC West Coast yang telah memberikan sokongan kukuh” dalam GE2020.
Sementara itu, Encik Leong mengumumkan ini adalah pilihan raya terakhir bagi Dr Tan dan menyifatkannya sebagai insan yang telah “tumpukan seluruh hidupnya berkhidmat kepada Singapura dan rakyat Singapura”.
Dr Tan merupakan mantan anggota PAP yang mewakili Ayer Rajah dari 1980 hingga 2006 dan pengasas PSP pada 2019.
Encik Leong berkata: “Kami terus memerlukan beliau bersama kami di Parlimen, untuk membimbing kami menjadi Anggota Parlimen (AP) yang cemerlang seperti beliau dan sentiasa mengutamakan kepentingan dan kebajikan penduduk.”
Pasukan PSP bakal berdepan dengan pasukan PAP yang akan diketuai Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.
Beliau akan disertai Encik Ang Wei Neng dan Setiausaha Parlimen Kanan (Kewangan merangkap Pendidikan), Encik Shawn Huang, serta dua muka baru, peguam, Cik Cassandra Lee, dan pakar ortopedik, Dr Hamid Razak.
Encik Ang dan Encik Huang masing-masing bertanding di GRC West Coast dan GRC Jurong pada GE2020.
Dalam pada itu, Dr Tan turut mengesahkan Cik Stephanie Tan akan bertanding di SMC Pioneer, yang kini diterajui anggota PAP, Encik Patrick Tay.
Dengan pengumuman itu, PSP bakal mengetengahkan 13 calon dalam dua GRC dan empat SMC.
Jumlah ini adalah lebih rendah daripada bilangan calon yang diketengahkan semasa penampilan sulung parti pada GE2020 dengan 24 calon yang menandingi empat GRC dan lima SMC.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg