Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Desmond Lee ketuai pasukan PAP di West Coast-Jurong West

Dua wajah baru, Hamid Razak, Cassandra Lee sertai pasukan; AP tiga penggal, Foo Mee Har keluar
Apr 15, 2025 | 12:03 PM
Pasukan Parti Tindakan Rakyat yang akan bertanding di GRC West Coast-Jurong West pada GE2025. (Dari kiri) Encik Shawn Huang; Cik Cassandra Lee; Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee; Dr Hamid Razak dan Encik Ang Wei Neng.
Pasukan Parti Tindakan Rakyat yang akan bertanding di GRC West Coast-Jurong West pada GE2025. (Dari kiri) Encik Shawn Huang; Cik Cassandra Lee; Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee; Dr Hamid Razak dan Encik Ang Wei Neng. - Foto BH oleh KHALID BABA

Menteri Pembangunan Negara Encik Desmond Lee akan mengetuai pasukan lima anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang akan bertanding di GRC West Coast-Jurong West bagi Pilihan Raya Umum (GE) 2025.

Beliau disertai dua wajah baru, peguam Cik Cassandra Lee dan pakar ortopedik, Dr Hamid Razak.

Melengkapkan pasukan PAP ialah dua Anggota Parlimen (AP), Encik Ang Wei Neng dan Encik Shawn Huang, yang juga Setiausaha Parlimen Kanan (Kewangan merangkap Pendidikan).

Pada GE2020, kededua calon ini masing-masing bertanding di GRC West Coast dan GRC Jurong.

Barisan calon itu diperkenalkan dalam sidang media di Cawangan PAP West Coast di blok 729 Clementi West Street 2 pada 15 April.

Mengulas berkenaan bakal calon yang diketengahkan, Encik Lee berkata gabungan anggota baru dan lama bertujuan menyuntik kesegaran dari segi pemikiran dan pelaksanaan tugasan, sekiranya pasukan PAP itu diberi mandat berkhidmat di kawasan undi itu.

“Jika diberi mandat, kami akan meneruskan usaha yang telah dilakukan sepanjang beberapa tahun lalu dan menawarkan inisiatif dan idea baru bagi menjadikan West Coast dan Jurong West kawasan lebih baik untuk semua,” katanya.

Inilah adalah kali pertama Encik Lee mengetuai Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) secara berseorangan – pada GE2020, pasukan PAP diketuai bersama beliau dan bekas Menteri Pengangkutan S. Iswaran, yang meletak jawatan selepas siasatan rasuah ke atasnya dimulakan pada 2024.

Encik Lee, yang juga pengerusi Majlis Bandaran West Coast, telah menggalas tanggungjawab Encik Iswaran di GRC tersebut sejak insiden itu.

Beliau berkata pertandingan sengit dijangkakan di seluruh Singapura dalam GE2025, dengan pasukannya mungkin menentang Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang telah mengumumkan hasrat bertanding di GRC ini.

Pasukannya memandang serius GE2025 dan akan “meneruskan usaha yang telah dilaksanakan sejak sekian lama”, katanya.

Beliau juga megumumkan bahawa Cik Lee akan menggantikan Cik Foo Mee Har, yang telah menerajui daerah mengundi Ayer Rajah sebagai AP GRC West Coast selama 14 tahun.

Namun, masih belum jelas sama ada beliau akan berpindah ke kawasan undi lain bagi GE2025. Apabila ditanya wartawan di sidang media, Cik Foo berkata maklumat lanjut akan diumumkan lebih dekat dengan Hari Penamaan Calon.

Seorang lagi AP semasa GRC West Coast, Cik Rachel Ong, turut tidak tersenarai dalam barisan calon kali ini.

Menjawab berkenaan Cik Ong, Encik Lee berkata Cik Ong memainkan peranan penting dalam GRC West Coast dan telah memberi sumbangan besar kepada penduduk daerah mengundi Telok Belangah.

Telok Belangah merupakan sebahagian GRC West Coast sebelum ia diserap dalam GRC Tanjong Pagar susulan penerbitan laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) pada 11 Mac.

Menjelaskan desas-desus jika Cik Ong akan berpindah ke GRC lain, beliau berkata: “Ia adalah sesuatu yang kami harus nantikan perkembangannya dalam beberapa hari mendatang menjelang Hari Penamaan Calon.”

Encik Lee telah bertanding di GRC West Coast, sebelum ia dikenali GRC West Coast-Jurong West, pada GE2020, apabila PAP meraih 51.68 peratus undi untuk mencatat kemenangan tipis ke atas PSP, yang meraih 48.32 peratus undi

Dalam pada itu, AP pergerakan buruh, Encik Patrick Tay, turut diumumkan sebagai calon PAP di SMC Pioneer, di mana beliau berharap mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada 2020 menentang PSP.

Beliau dijangka akan berhadapan PSP sekali lagi setelah parti itu mengumumkan hasrat bertanding dalam Kawasan Undi Perseorangan (SMC) itu pada 12 April.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg