Memang sudah menjadi sifatnya untuk tidak menonjolkan diri walaupun aktif dalam kerja kemasyarakatan sepanjang hidupnya.
Namun, Cik Arbaah Haroun, 50 tahun, memutuskan untuk keluar daripada zon keselesaan beliau apabila bersetuju menjadi calon parti pembangkang, Parti Kuasa Rakyat (PPP), bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Akui bahawa ia keputusan yang tidak mudah dibuat, ibu lima anak itu tetap tampil supaya dapat menjadi suara kepada rakyat lain yang bergelut dengan kesukaran hidup.
“Anak-anak saya terkejut apabila saya beritahu mereka tentang hasrat untuk bertanding! Namun mereka memberi saya ruang membuat keputusan sendiri,” ujarnya.
Cik Arbaah, yang mengasaskan kumpulan amal, Sahabat SeDunia, kerap mendekati keluarga kurang bernasib baik, menawarkan nasihat dan memperkasa mereka untuk memulakan perniagaan dari rumah bagi meraih kestabilan kewangan.
Malah, usahawan pakaian dan cenderahati itu faham tentang perjuangan pengusaha perniagaan kecil dalam ekonomi kos tinggi Singapura, seperti yang dilaluinya sendiri.
Didorong pengalaman hidup dan berdasarkan luahan orang ramai yang ditemuinya, Cik Arbaah berharap dapat memperjuangkan isu kos sara hidup.
“Saya ingin tekanan kos sara hidup dikurangkan, contohnya tiada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dikenakan ke atas barangan penting seperti makanan, barang dapur, air dan penjagaan kesihatan,” ujarnya.
Selain itu, beliau mahu warga Singapura diutamakan untuk jawatan kerja tetap selain membantu memperkasa perniagaan kecil dan rumah.
Ditanya tentang perasaannya berdepan dengan persaingan empat penjuru di GRC Tampines, Cik Arbaah berkata beliau tidak sedikit pun gentar.
“Saya percaya masih terdapat golongan yang akan menyokong kami, terutamanya mereka yang lebih konservatif,” katanya.
Menjelaskan maksud konservatif itu, Cik Arbaah berkata partinya tidak memperjuangkan atau mempertahan apa-apa perkara berkaitan penormalan golongan lesbian, gay, biseksual, transjantina dan queer (LGBTQ), sesuatu yang seiring dengan nilai-nilai yang dipegang dirinya.
Cik Arbaah, berpendidikan institusi Islam swasta di Singapura, juga memiliki Sijil Tinggi Undang-Undang Islam dari Kolej Agama Sultan Zainal Abidin di Terengganu, Malaysia.
Beliau berharap warga Singapura dapat memberi partinya peluang.
“Saya minta mereka baca manisfesto parti kami lebih menyeluruh,” ujarnya yang ingin menekankan nilai teras kekeluargaan.
Keluarga yang mempunyai asas moral dan didikan agama yang kuat serta mantap, katanya, adalah baik untuk pembangunan negara.
Mengenai golongan LGBTQ, Cik Arbaah berkata:
“ Atas dasar kemanusiaan kami tidak menyerang atau bersikap anti terhadap mereka secara peribadi. Tapi kami tidak setuju dengan kegiatan mereka yang suka terlalu menonjolkan diri di khalayak orang awam. Ia boleh mengelirukan anak-anak yang belum matang dan boleh timbulkan kekeliruan, serta bahaya terhadap sistem dan institusi sebuah keluarga.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg