Kepercayaan tidak boleh dicapai daripada sistem Semak Diri Sendiri (Ownself Check Ownself) semata-mata, tetapi melalui proses semakan dan imbangan bebas yang betul, kata calon GRC Tampines daripada Parti Kuasa Rakyat (PPP), Cik Arbaah Haroun.
Perkara ini merupakan sesuatu yang PPP akan usaha lakukan sekiranya diberi mandat, kata usahawan berusia 50 tahun itu semasa ucapan dalam bahasa Melayu siaran politik parti (PPB) pertama Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) pada 25 April.
Beliau berkata PPP akan “mengajukan soalan penting dan sentiasa peka dengan keadaan”.
“Kita mesti memilih pemimpin yang bersedia menghadapi isu-isu sukar secara langsung dan yang akan berjuang untuk kepentingan rakyat melebihi sebarang keuntungan kepada diri sendiri mahupun pada jangka pendek,” ujarnya.
Ini lebih-lebih lagi berlatarbelakangkan perubahan besar dalam hal ehwal sejagat – peri pentingnya rakyat Singapura menentukan barisan pemimpin di Parlimen “untuk memimpin kita ke hadapan melalui tatanan dunia baru”.
Oleh demikian, beliau berkata penggubalan sesuatu dasar oleh pemerintah harus dibuat dengan kejujuran, telus dan bertanggungjawab dan bukannya “dari menara gading”, tanpa mengambil kira keadaan rakyat.
Cik Arbaah berkata: “Untuk mencapai ini, kita sebagai sebuah negara mesti memastikan memilih pemimpin yang kita tahu akan membawa obor kebenaran ke setiap peringkat dan jabatan pemerintah untuk menerangi ketelusan, sifat bertanggungjawab dan kecekapan.”
Beliau menambah pemimpin juga perlu mengakui mereka tidak boleh bergantung kekal dalam tampuk lama untuk membentuk masa hadapan – sebaliknya menyuntik penyelesaian baru dan radikal.
Selain Cik Arbaah, barisan calon PPP bagi GRC Tampines termasuk Setiausaha Agung PPP, Encik Goh Meng Seng, selaku ketua pasukan, Encik Derrick Sim, Encik Vere Nathan dan Encik Peter Soh.
PPP turut bertanding bagi GRC Ang Mo Kio pada GE2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg