Meskipun menggalas pelbagai tanggungjawab di peringkat nasional, keutamaannya adalah untuk tetap berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) di GRC Punggol, kata Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Gan Kim Yong.
Berucap pada rapat Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Sekolah Menengah Yusof Ishak, pada 1 Mei, DPM Gan mengulas kebimbangan penduduk sama ada peranannya di Kabinet dan sebagai pengerusi pasukan petugas ekonomi nasional, akan mengurangkan masanya untuk menjaga keperluan penduduk Punggol.
Jika diberi mandat, DPM Gan mempunyai rancangan jelas untuk terus memajukan kejiranan di bawah naungan GRC Punggol dan meneruskan asas kukuh yang telah dibina Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean.
DPM Gan, yang memimpin pasukan PAP di GRC Punggol, berkata: “Saya memang mempunyai banyak tanggungjawab di peringkat nasional, tetapi tiada yang lebih penting daripada menjaga anda semua di Punggol.”
Pasukan yang menentang Parti Pekerja (WP) ini, terdiri daripada Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Dr Janil Puthucheary; Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling; dan Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik Yeo Wan Ling.
Pasukan WP pula terdiri daripada Encik Harpreet Singh dan tiga muka baru, Cik Alia Mattar, Cik Alexis Dang dan Encik Jackson Au.
Beliau telah berkecimpung dalam bidang politik selama hampir 25 tahun dan sejak bermula pada 2001, keutamaan pertama beliau adalah untuk penduduk.
“Saya hanya boleh menjadi menteri jika saya seorang Anggota Parlimen (AP). Jadi, menjadi AP anda adalah keutamaan saya,” ujar beliau, yang menyedari akan desas-desus dan kebimbangan orang ramai mengenai tanggungjawabnya yang semakin besar.
Antaranya termasuk persoalan: “Masih adakah masa untuk anda menjaga penduduk Punggol?”
Namun dengan pengalaman hampir 25 tahun dalam bidang politik, DPM Gan berkata beliau sentiasa memegang pada satu perkara utama, iaitu, keperluan penduduk sentiasa menjadi keutamaan.
“Menjadi AP yang baik adalah janji asalnya dan niatnya tidak pernah berubah,” tambahnya lagi.
Sepanjang sembilan hari berkempen, DPM Gan telah turun padang untuk mendengar maklum balas penduduk mengenai pelbagai isu — kebersihan kawasan perumahan, keperluan pengangkutan awam, keperluan laluan berbumbung dan penjagaan anak.
Jika diberi mandat, beliau sepasukan akan melaksanakan pelbagai penambahbaikan, termasuk memperluas rangkaian laluan berbumbung, meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam, dan memperkukuh sokongan untuk keluarga yang perlu imbangi kerja dengan tanggungjawab menjaga ibu bapa yang sudah lanjut usia, katanya.
DPM Gan turut mengingatkan bahawa kemajuan Punggol tidak berlaku secara kebetulan, tetapi “hasil usaha terancang selama 15 hingga 20 tahun oleh pemerintah PAP”.
Justeru, beliau ingin “meneruskan dan membina kejiranan ini atas usaha baik yang telah dilakukan Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean” dan pasukan GRC Punggol yang sedia ada demi kebaikan penduduk.
Mengambil kira mereka yang mempersoalkan kemampuannya untuk mengimbangi peranan nasional dan tempatan, DPM Gan berkata beliau berada di sini bukan untuk kemegahan, sebaliknya untuk berkhidmat.
Beliau berkata: “Saya bukan sekadar mahu menghulurkan bantuan sementara, saya mahu berjalan bersama anda.
“Saya mungkin baru di kawasan ini, tetapi saya bukan orang asing dalam menghadapi krisis.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg