Mengemukakan soalan sukar kepada pemerintah tidak seharusnya disalah anggap sebagai serangan peribadi atau politik negatif, kata calon Parti Pekerja (WP), Encik Harpreet Singh.
Bercakap kepada media di ruang terbuka antara terminal bas sementara Punggol dengan stesen MRT pada 1 Mei, Encik Harpreet berkata mengutarakan soalan yang mencabar adalah bahagian penting dalam demokrasi.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kritikan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang sebelum ini menyifatkan tindakan WP menyerang Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, sebagai politik negatif.
Encik Harpreet, yang memimpin pasukan WP di GRC Punggol, berkata: “Rakyat Singapura mahukan akauntabiliti daripada pemimpin mereka.
“Menyayangi negara bermakna berani tampil untuk mengajukan semua soalan sukar.”
Isu tersebut bermula pada 28 April apabila Setiausaha Agung WP, Encik Pritam Singh, dalam rapat WP mengkritik Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, dengan mempersoalkan ketiadaannya dalam kepimpinan tertinggi PAP serta menyentuh isu keadilan dalam pengagihan dana untuk Punggol.
Pada 29 April, PM Wong membalas dakwaan tersebut, menyifatkan kritikan terhadap DPM Gan sebagai serangan peribadi dan menyeru pengundi supaya menolak politik negatif.
Pada malam yang sama, semasa berucap di rapat pilihan raya, Encik Pritam membalas dengan mendakwa bahawa politik negatif berada dalam ‘DNA’ atau sifat semula jadi Parti Tindakan Rakyat (PAP), memetik contoh seperti penafian akses pembangkang ke kelab masyarakat dan isu pelan penaiktarafan di kawasan pembangkang.
Pada 30 April, PM Wong menjelaskan bahawa istilah “politik negatif” yang disebutnya merujuk khusus kepada serangan peribadi terhadap DPM Gan, bukan terhadap soalan-soalan yang diajukan kepada pemerintah.
Mengulas isu tersebut, Encik Harpreet mengetengahkan peranan parti pembangkang “bukan untuk memecahbelahkan, tetapi untuk memperkukuh sistem semak dan imbang”.
“Matlamat utama kami adalah untuk mewakili rakyat Singapura di Parlimen dan mengajukan soalan, walau sesukar mana sekalipun, meskipun ia menyebabkan ketidakselesaan kepada sesetengah pemimpin,” katanya.
Malah, Encik Harpreet berkata beliau mempunyai perasaan segan terhadap DPM Gan, seperti yang beliau pernah katakan semasa ucapan rapatnya sebelum ini.
“Beliau (DPM Gan) seorang yang sangat menyenangkan. Kami telah beberapa kali bersua sepanjang kempen ini, dan setiap interaksi bersamanya, beliau amat baik. Saya memang menyukai beliau.
“Namun pada masa yang sama, kami sedar DPM Gan akan sangat sibuk,” kata Encik Harpreet sambil merujuk peranan DPM Gan sebagai pengerusi pasukan petugas baru yang ditubuhkan untuk menangani isu tarif Amerika Syarikat.
Dengan kempen pilihan raya memasuki peringkat akhir, WP akan “bekerja keras dan akan terus bekerja keras selepas hari mengundi”.
Hadir bersamanya semasa bercakap kepada media ialah Pengerusi WP, Cik Sylvia Lim; Encik Pritam; calon WP GRC Punggol, Encik Jackson Au, Cik Alexis Dang dan Cik Siti Alia Abdul Rahim Mattar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg