Singapura berdepan dengan cabaran ekonomi yang serius, khususnya dengan pelaksanaan tarif baru oleh Amerika Syarikat yang boleh menjejaskan aliran perdagangan, keyakinan pelaburan dan keselamatan pekerjaan.
Berucap semasa Rapat Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Punggol pada 26 April, ketua pasukan PAP, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, berkata perubahan struktur dalam ekonomi global boleh membawa kesan mendalam, termasuk pertumbuhan yang lebih perlahan dan kemungkinan pemberhentian pekerja.
Encik Gan menegaskan bahawa dalam keadaan tidak menentu ini, hubungan dan kepercayaan antarabangsa yang kukuh penting dalam melindungi rakyat dan para pekerja serta menjamin peluang untuk generasi akan datang.
Beliau berkata: “Mereka (Amerika) mengenali kita dan mempercayai kita. Kepercayaan bersama ini amat penting pada waktu krisis agar kita dapat bekerjasama, berbincang dan berunding.
“Atas asas kepercayaan inilah Amerika bersedia untuk meneroka jalan penyelesaian praktikal bagi memudahkan eksport penting Singapura ke Amerika.”
Namun, beliau akur bahawa rundingan itu masih di peringkat awal.
Malah, ia merupakan “satu permulaan yang baik”.
“Masih banyak lagi yang perlu dilakukan dan kami bertekad meneruskannya dengan bersungguh-sungguh demi mewujudkan lebih banyak peluang untuk Singapura dan rakyatnya,” katanya lagi.
Bukan sekadar ribut biasa, Encik Gan menggambarkan situasi demikian sebagai “gelombang besar perubahan” yang boleh menjejaskan kedudukan Singapura sebagai hab perdagangan utama.
Menekankan pendekatan proaktif pemerintah, Encik Gan berkata Singapura sedang giat menjalankan rundingan dengan Amerika untuk mengurangkan kesan tarif tersebut.
Beliau memberi jaminan bahawa pemerintah PAP komited untuk melindungi pekerjaan, menyokong perniagaan dan memastikan ketahanan Singapura dalam menghadapi ketidaktentuan sejagat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg