Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DPM Heng, SM Teo undur diri; PM Wong dan SM Lee beri penghargaan

Dua veteran politik itu antara 20 AP PAP yang berundur dari politik
Apr 23, 2025 | 7:29 PM
Heng Swee Keat, GE2025, retire
Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) ini. - Foto ST

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah merakamkan penghargaan beliau kepada Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, dan Menteri Kanan Encik Teo Chee Hean, sambil menyifatkan mereka sebagai tokoh penting dalam perkhidmatan awam yang telah menumpukan seluruh kerjaya mereka untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.

Ini disampaikan dalam satu hantaran Facebook pada Hari Penamaan Calon (23 April), menyusuli pengumuman kededuanya akan bersara daripada politik dan tidak bertanding bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Menurut Encik Wong, SM Teo dan DPM Heng mampu untuk terus berkhidmat tetapi memilih untuk memberi laluan kepada generasi pemimpin baru, tambahnya.

“Tanpa Swee Keat dan Chee Hean, Singapura tidak akan dapat memperoleh semua pencapaiannya selama ini. Jika saya dapat membawa Singapura maju ke hadapan dari sini, ia adalah kerana pemimpin seperti mereka – yang bekerja tanpa mengenal erti penat lelah untuk meletakkan asas yang kukuh dan berterusan,” kata Encik Wong.

Encik Wong dan Encik Heng memasuki politik pada masa yang sama.

“Beliau telah menjadi sahabat yang setia, rakan seperjuangan dan senior... sentiasa bermurah hati dengan nasihat dan dorongannya.

“Saya melihat sendiri bagaimana budaya kerjanya yang mendahulukan orang lain lebih daripada dirinya sendiri semasa saya bekerja di bawah kepimpinannya di Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Kewangan (MOF).

“Beliau menguasai setiap perincian dasar, dan mempercayai bahawa negara kita lebih utuh apabila warga Singapura lebih aktif terlibat dalam mencorak masa depan bersama.

“Beliau menunjukkan contoh yang baik menerusi pelbagai usahanya mendekati masyarakat dan kesediaannya mendengar bermacam perspektif, khususnya apabila beliau memimpin sesi ‘Perbincangan Singapura Kita’.

“Usaha ini menyediakan asas bagi pemerintah mendalami kerjasama bersama pemegang taruh dan menyediakan lebih banyak platform bagi penyertaan warganegara – satu legasi yang diteruskan dalam latihan ‘Melakar Hala Tuju Singapura’,” jelas Encik Wong.

SM Teo, yang juga Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, adalah ahli politik veteran yang dihormati apabila Encik Wong mula menyertai politik.

“SM Teo meninggalkan kesan mendalam merentasi semua kementerian yang pernah meraih khidmatnya – baik di Kementerian Sekitaran (ENV) dahulu, MOE, Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Kementerian Ehwal Luar (MHA).

“Beliau adalah mentor saya dan ramai lagi di Kabinet, selalu menawarkan nasihat bijak dan sokongan.

“Seorang yang benar-benar ahli strategi, SM Teo membawa bersamanya minda yang tajam bagi menangani isu kompleks, dengan fokus mendalam pada dasar berkesan yang membawa perubahan.

“Beliau adalah negarawan yang mewakili Singapura dengan cemerlang di pentas global. Beliau mewujudkan ruang dan peluang bagi negara kita di peringkat antarabangsa.

“Sumbangannya bagi tempoh masa yang panjang ini membolehkan kita menghurai isu dua hala yang kompleks dan telah lama dihadapi termasuk kerjasama perjanjian penyerahan balik jenayah, ruang udara dan pertahanan antara Singapura dengan Indonesia,” tambah Encik Wong.

Seramai 20 calon PAP yang dipilih sebagai Anggota Parlimen (AP) tidak bertanding dalam GE2025 ini. Selain SM Teo dan DPM Heng, beberapa menteri kanan lain turut mengundurkan diri dari politik.

Ini termasuk Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen; Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Maliki Osman; Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Amy Khor; dan Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Heng Chee How.

SM Teo, yang sebelum ini merupakan menteri utama di GRC Pasir Ris-Punggol, telah menyatakan bahawa beliau tidak akan bertanding di GRC Pasir Ris-Changi yang baru dibentuk. Namun, tidak mengatakan beliau bakal bersara.

Hanya pada 23 April, SM Teo memberitahu The Straits Times (ST) di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Yusof Ishak bahawa beliau tidak akan bertanding sebagai AP, tetapi belum memikirkan langkah seterusnya.

“Perkara paling penting sekarang ialah membekalkan Perdana Menteri Lawrence Wong dengan pasukan yang sekuat mungkin, untuk membantu negara mengharungi masa yang mencabar ini dan melangkah ke hadapan,” jelas SM Teo.

Kira-kira sejam selepas proses penamaan calon ditutup, DPM Heng memaklumkan dalam satu hantaran di Facebook bahawa beliau tidak akan bertanding dalam GE2025 kerana percaya “ini adalah masa yang sesuai bagi memberi laluan kepada pasukan baru yang berwibawa dan bersedia untuk berkhidmat untuk Singapura”.

Beliau menambah bahawa PM Wong telah berjaya meraih kepercayaan rakyat Singapura, dan semakin yakin dalam kepimpinannya. 

Beliau turut menggesa rakyat agar memberi PM Wong mandat kukuh untuk memimpin Singapura.

Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dalam catatan Facebook, turut memberi penghargaan kepada SM Teo dan DPM Heng.

Menurutnya, beliau telah mengenali SM Teo sejak zaman universiti dan mereka telah bekerja rapat selama lebih empat dekad, pada awalnya sebagai pegawai tentera di Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), dan kemudian di arena politik.

“Chee Hean mempunyai peribadi yang mantap dan boleh dipercayai di Kabinet serta menjadi tonggak kekuatan saya dalam pasukan 3G.

“Sebagai DPM antara 2009 hingga 2019, dan kemudian selaku SM, saya boleh bergantung kepada Chee Hean, untuk menangani isu paling sulit secara wajar dan adil.

“Sama ada apabila kita menangani krisis seperti pandemik Covid-19, mengurus topik kompleks seperti dasar jumlah penduduk, membangun perancangan akan datang bagi perubahan iklim atau mengendalikan rundingan sensitif dengan jiran, Chee Hean akan memberi pandangan jujurnya, dan tidak pernah teragak-agak untuk melahirkan pandangan yang berbeza daripada saya,” tambah SM Lee.

Beliau juga menghargai kesediaan DPM Heng apabila dilamar menyertai politik pada 2011, meneruskannya selepas bertahun dalam perkhidmatan awam.

“Swee Keat adalah Menteri yang berdedikasi yang menggambarkan semangat perkhidmatan awam.

“Dalam jawatan kementerian yang dipegang, Swee Keat menghasilkan banyak inovasi dasar, menggabungkan kepakarannya dalam dasar tertentu dengan sentuhan politik.

“Beliau mempunyai empati semula jadi buat orang lain, dan mengasaskan model baru bagi usaha mendekati orang awam, mendalami kerjasama antara pemerintah-warga bagi mencorak dasar.

“Semua ini menjadi tanda pasti bagi cara kepimpinan generasi keempat (4G) beliau,” tambah SM Lee.

Menurutnya, apabila Covid-19 melanda, DPM Heng menggalas amanah dengan baik, menyampaikan lima Belanjawan dalam masa setahun, yang membantu Singapura menyelamatkan nyawa dan kehidupan.

SM Lee berkata wabak Covid-19 menjejas perancangan peralihan pucuk pimpinan, lantas menggesa DPM Heng mengambil keputusan tidak mementingkan diri untuk berundur sebagai pemimpin pasukan 4G, bagi membolehkan pasukan ini memilih pemimpin lebih muda dengan tempoh kepimpinan lebih panjang.

ST sebelum ini melaporkan bahawa kira-kira 20 AP PAP dijangka bersara menjelang GE2025, selepas parti pemerintah mengumumkan mereka akan mengetengahkan 32 muka baru dalam pilihan raya kali ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg