Kejatuhan GRC Sengkang ke tangan parti pembangkang semasa Pilihan Raya Umum (GE) 2020 merupakan antara peristiwa yang tidak dijangka dan menjadi kejutan dalam pilihan raya itu.
Kawasan undi yang baru dibentuk itu dimenangi pasukan Parti Pekerja (WP) yang menewaskan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dengan kemenangan tipis 52.12 peratus.
Keputusan itu menjadikan Sengkang GRC kedua yang jatuh ke tangan pembangkang sejak skim itu diperkenalkan pada 1988.
GRC Aljunied adalah yang pertama setelah dimenangi WP pada 2011.
Kekalahan pasukan PAP yang berpengalaman di GRC Sengkang itu juga membawa kepada kehilangan tiga pemegang jawatan politik termasuk mantan menteri Kabinet dan ketua gerakan buruh, Encik Ng Chee Meng.
Pasukan WP pula rata-rata dianggotai muka baru iaitu Profesor Madya Jamus Lim, Encik Louis Chua dan Cik Raeesah Khan.
Seorang lagi anggota pasukan itu, Cik He Ting Ru, pernah bertanding dalam GE2015 di GRC Marine Parade.
Justeru, menjelang GE2025, soalan yang bermain di fikiran ramai adalah sama ada WP dapat terus menawan hati penduduk GRC Sengkang, atau apakah PAP dapat merebut kawasan undi itu daripada tangan pembangkang?
Pengamat politik memberitahu Berita Harian bahawa WP mungkin mempunyai kelebihan penyandang atau incumbency advantage, didorong oleh kerja baik yang telah dilakukan Anggota Parlimen (AP) di GRC itu serta prestasi mereka di Parlimen.
Peluang bagi PAP pula tidak begitu malap setelah skandal melibatkan Cik Raeesah mungkin membuat pengundi lebih meneliti calon baru yang akan menggantikannya.
Pasukan PAP juga dilihat gigih mengadakan lawatan di kawasan itu untuk mendekati penduduk sejak beberapa tahun kebelakangan.
Sementara itu, kemenangan tipis yang dinikmati WP semasa GE2020 turut bermakna keputusan pilihan raya kali ini boleh berpihak kepada mana-mana parti yang dapat meraih kepercayaan lebih ramai pengundi, kata pengamat.
Dalam hari-hari menyusuli keputusan GE2020, beberapa faktor dikenal pasti bagi memahami mengapa penduduk GRC Sengkang memilih pasukan pembangkang dan bukan pasukan yang memerintah untuk mewakili mereka di Parlimen.
Salah satu sebab adalah kerana pasukan PAP dikatakan telah mengetengahkan pasukan semua lelaki, termasuk dua yang dipindahkan ke sana hanya beberapa bulan sebelum penduduk keluar mengundi.
Sementara itu, pasukan WP memperkenalkan diri mereka sebagai ibu bapa muda yang dapat memahami aspirasi penduduk lebih muda di kawasan itu, serta cabaran yang mereka hadapi.
Pasukan itu turut memanfaatkan peralihan sokongan terhadap pembangkang yang dilihat di serata Singapura.
Menurut Zamil Penyelidik di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Teo Kay Key, pengalaman di GRC Sengkang itu menunjukkan bahawa pengundi prihatin tentang isu perbandaran dan nasional.
“Dengan umur purata pengundi di GRC Sengkang yang lebih muda pada waktu itu, ia juga memberi pemahaman kepada kedua-dua parti tentang apakah isu yang menjadi keprihatinan pengundi lebih muda.
“Pada GE2020, pengundi lebih muda, seperti mereka yang baru berpindah ke estet flat BTO (Bina Ikut Tempahan), lebih tertumpu kepada isu kos sara hidup, sokongan penjagaan anak dan keseimbangan kerja dan kehidupan,” kata Dr Teo.
“Keputusan itu turut menunjukkan bahawa mencari calon yang pengundi dapat kaitkan dengan diri mereka dan juga dapat membincangkan isu nasional penting, selain usaha mendekati penduduk secara tekal di luar musim pilihan raya,” tambahnya.
Selepas GE2020, GRC Sengkang dibahagi kepada empat divisyen iaitu Anchorvale, Rivervale, Buangkok dan Compassvale.
Setelah Cik Raeesah meletak jawatan pada 2021 selepas mengaku berbohong kepada Parlimen, kawasan Compassvale dibahagikan antara tiga AP GRC Sengkang yang lain.
Ditanya apakah peletakan jawatan Cik Raeesah membawa kesan ke atas penduduk, Cik Azlina Alias, 52 tahun, yang telah menginap di Compassvale sejak 2000 berkata ia tidak menjejasnya secara langsung.
“AP lain telah menguruskan Compassvale dengan agak baik dan AP yang menggantikan Cik Raeesah (Encik Chua) malah mengunjungi rumah saya untuk memperkenalkan dirinya.
“Beliau membawa beg habuan berisi kudapan dan barangan lain dan ia satu kejutan manis.
“Beliau memberitahu kami tentang hari dan lokasi Sesi Bertemu Penduduk.
“Saya tidak memerlukan bantuannya buat masa ini tapi saya berasa tenang hati kerana tahu yang beliau mudah dituju dan didekati,” kata pelukis bebas itu.
Dr Teo berkata baki tiga AP di GRC Sengkang telah cuba mengurangkan kesan langsung ekoran peletakan jawatan Cik Raeesah terhadap pengendalian harian kawasan undi itu.
Pada masa yang sama, tiga AP itu agak aktif di Parlimen dan ini membantu mendorong profil nasional mereka juga, katanya.
“Ini mungkin membantu dalam menunjukkan kepada penduduk bahawa mereka melaksanakan fungsi AP parti pembangkang.
“WP juga telah mendekati penduduk secara tekal sama ada dalam musim pilihan raya atau tidak.
“Jadi kehadiran mereka mungkin dirasa,” kata Dr Teo.
Profesor Undang-Undang, Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Madya Eugene Tan, turut berpendapat saga melibatkan Cik Raeesah bukan menjadi pengubah keadaan dalam pertaruhan antara PAP dengan WP.
“Sebagai pasukan penyandang yang menjalankan kerja pengurusan estet dengan baik dan sebagai parti pembangkang yang terkemuka, serta keinginan untuk lebih banyak kepelbagaian dalam politik, saya akan mengatakan bahawa WP masih (parti) kegemaran,” katanya.
Namun Dr Teo berkata penduduk yang menilai semula prestasi WP selepas peletakan jawatan Cik Raeesah berkemungkinan membentuk sekumpulan pengundi ‘atas pagar’, atau swing voters.
Ini kerana kejadian itu mungkin mendorong mereka meneliti calon yang WP akan tampilkan bagi menggantikan Cik Raeesah, katanya.
GRC Sengkang antara sembilan kawasan undi yang tidak mengalami perubahan sempadan bagi GE2025.
Ia merupakan GRC empat anggota terbesar dengan 126,641 pengundi.
Menurut analisis yang dijalankan The Straits Times, berdasarkan data Jabatan Perangkaan pada Jun 2024, sekitar 30 peratus penduduk Sengkang terdiri daripada golongan dewasa bekerja berumur antara 26 dengan 45 tahun dan 28 peratus berumur 46 hingga 65 tahun.
Menjelang GE2025, kedua-dua pasukan PAP dan WP telah berubah wajah.
Pengurus kanan hartanah di Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC), Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, dijangka mengisi kerusi yang dikosongkan oleh Cik Raeesah di GRC itu walaupun WP belum secara rasmi mengumumkan beliau sebagai calon.
Encik Abdul Muhaimin telah dilihat melakukan lawatan rumah ke rumah di kawasan tersebut selain membantu dalam Sesi Bertemu Penduduk secara bulanan di sana.
Beliau dilihat menghadiri pelbagai acara kemasyarakatan yang melibatkan AP Sengkang sejak 2023 tetapi penglibatannya dalam kunjungan dan lawatan rumah semakin aktif pada 2025.
Penganalisis hal ehwal antarabangsa kanan di Solaris Strategies Singapore, Dr Mustafa Izzuddin, berkata penting bagi pasukan WP memastikan pengganti Cik Raeesah seseorang yang telah dikenali di GRC Sengkang.
“Pasukan WP memenangi GRC Sengkang dalam GE2020 secara kolektif sebagai satu pasukan dan itulah yang mesti mereka harapkan sekali lagi di pilihan raya akan datang ini.
“Saya rasa persaingan di GRC ini akan kekal sengit, mungkin dengan keputusan setipis atau lebih berbanding GE2020 dan ia boleh berpihak ke mana-mana parti.
“Tetapi memandangkan pasukan WP telah berada di sini, telah mendekati penduduk, mereka mempunyai kelebihan,” katanya.
Perubahan bagi pasukan PAP lebih ketara.
Tiga daripada empat anggota pasukan yang diketengahkan pada GE2020 telah digantikan dengan wajah baru yang lebih muda dan pelbagai daripada segi jantina.
Nama-nama yang dikemukakan sejauh ini ialah, Cik Theodora Lai, 39 tahun, prinsipal di firma ekuiti swasta Tembusu Partners; Profesor Madya Dr Elmie Nekmat, 43 tahun, yang mengajar bidang komunikasi dan media baru; dan Cik Bernadette Giam, 38 tahun, pengarah di perusahaan makanan dan minuman tempatan, Creative Eateries.
Mantan Menteri Negara Kanan, Dr Lam Pin Min, 55 tahun, yang aktif di Sengkang West sejak 2006, kekal mengetuai pasukan tersebut.
Keempat-empat pengerusi cawangan PAP GRC Sengkang itu belum diumumkan sebagai pasukan yang bakal bertanding di GRC Sengkang pada GE2025.
Namun, mereka telah dilihat melawat pusat penjaja di Sengkang East Drive bersama-sama pada 30 Mac.
Dr Lam, Dr Elmie dan Cik Lai telah melakukan lawatan di GRC Sengkang seawal 2022, manakala Cik Giam ialah anggota pasukan terbaru yang menyertai mereka pada Januari 2025.
Beliau menggantikan Encik Marcus Loh, sebagai pengerusi baru cawangan Sengkang East, yang mengundurkan diri setelah berkhidmat sejak November 2023.
Jawatan tersebut sebelum itu dipegang Encik Ling Weihong, dari Mac 2022.
Dr Teo berkata memandangkan pasukan WP telah mendekati penduduk secara tekal, pasukan PAP juga perlu menjadikan diri mereka lebih dikenali dalam kalangan penduduk di GRC Sengkang.
“Memandangkan beberapa semakan telah dilakukan kepada pasukan PAP (sejak GE2020), keperluan memastikan penduduk mengenali mereka adalah agak tinggi,” katanya.
Dr Tan pula berkata berbanding dengan pasukan yang diketengahkan PAP semasa GE2020, pasukan kali ini mungkin mempunyai kurang calon yang berpengaruh.
“Saya rasa pasukan itu akan memerlukan masa untuk memenangi hati pengundi.
“Saya rasa sasaran yang munasabah bagi PAP adalah untuk memastikan margin kemenangan WP tidak menjadi semakin besar pada GE2025,” katanya.
Secara keseluruhan, Dr Mustafa berkata pasukan yang mahu memenangi hati pengundi di GRC Sengkang perlu dapat berhubung dengan penduduk lebih muda di sana, memahami keprihatinan mereka dan berusaha mengatasinya.
“Saya rasa pasukan yang dapat melakukan demikian akan dapat menikmati kejayaan di GRC Sengkang. Penduduk lebih muda pengubah keadaan di kawasan undi itu, sama seperti semasa GE2020,” katanya.
Dr Teo pula berkata dalam tempoh lima tahun sejak GE2020, pasukan WP dan PAP mungkin berhadapan dengan profil pengundi yang berbeza bagi GE2025 disebabkan pergerakan penduduk yang pindah keluar atau masuk ke GRC Sengkang.
“Satu kumpulan pengundi ‘atas pagar’ mungkin dibentuk daripada mereka yang berpindah ke Sengkang dalam tempoh lima tahun yang lalu, terutamanya mereka yang telah berpindah dari kawasan yang dipegang PAP, kerana mereka akan dapat membandingkan pengalaman tinggal di kawasan di bawah PAP serta WP dan tidak jelas bagaimana penilaian mereka nanti,” katanya.
Dalam kalangan penduduk GRC Sengkang, mereka rata-rata berpuas hati dengan peningkatan yang dijalankan di sana sejauh ini meskipun terdapat beberapa perkara yang masih boleh dibaiki.
Bagi Cik Yana Mohd, 48 tahun, yang tinggal di kawasan Anchorvale, pelbagai kemudahan baru telah dilihat disediakan di Sengkang dalam tempoh 21 tahun beliau tinggal di sana.
Ini termasuk pusat beli-belah baru seperti Sengkang Grand Mall dan Anchorvale Village, serta Hospital Besar Sengkang.
Namun beberapa peningkatan yang beliau harap dapat dilakukan di masa akan datang termasuk taman permainan serta kemudahan senaman yang lebih baru atau dipertingkat.
Beliau juga berharap laluan khas dapat disediakan untuk penunggang basikal agar mereka tidak perlu menggunakan laluan pejalan kaki.
Seperti ramai penduduk Melayu/Islam di GRC Sengkang lain, ibu tiga anak itu juga ingin melihat lebih banyak pilihan makanan Melayu di kedai kopi.
Cik Nur Ashikin Mahmood, yang telah 10 tahun menginap di Rivervale, juga menyebut tentang kurangnya pilihan makanan halal yang bukan makanan segera, walaupun lebih banyak pusat penjaja disediakan akhir-akhir ini.
Ibu dua anak berumur 37 tahun itu juga berharap majlis bandaran dapat menjadi lebih cekap berhubung pengurusan pembuangan sampah yang membuat koridor bloknya berbau kebelakangan ini.
Seorang lagi penduduk Rivervale, Cik Siti Suhailah Firdaus, pula ingin melihat lebih banyak kemudahan sukan disediakan seperti gelanggang badminton bagi meningkatkan pilihan riadah bagi keluarga dan penduduk aktif.
“Satu huraian baik adalah untuk membangunkan hab bersepadu serupa Our Tampines Hub (OTH) yang menempatkan kemudahan sukan, tempat makanan dan perkhidmatan masyarakat di bawah satu bumbung.
“Pusat beli-belah yang lebih baik dengan rangkaian kedai yang lebih luas akan memberi penduduk Sengkang lebih banyak pilihan membeli-belah dan hiburan tanpa perlu ke estet lain,” kata ibu dua anak berumur 33 tahun itu.
Walaupun Cik Siti Suhailah belum berpeluang menemui AP bagi kawasannya, Encik Chua, beliau menghargai usaha berterusannya untuk mengetengahkan keprihatinan keluarga berpendapatan lebih rendah.
“Saya telah melihat bagaimana beliau secara konsisten mendorong dasar yang memberikan lebih banyak sokongan kepada mereka yang menghadapi masalah peningkatan kos sara hidup sama ada melalui geran perumahan yang lebih besar, bantuan sosial yang lebih baik atau bantuan kewangan yang disasarkan,” katanya.
Cik Azlina, meluahkan harapan AP yang menggantikan Cik Raeesah nanti dapat memberi tumpuan kepada isu yang penting bagi penduduk termasuk menurunkan kos sara hidup, meningkatkan sokongan penjagaan kesihatan dan memastikan peluang adil bagi semua.
“Selain berwibawa dan ikhlas, saya mahukan pemimpin yang menggabungkan empati dengan pragmatisme serta seseorang yang meluangkan masa untuk mendengar keluhan ibu bapa tunggal serta perniagaan kecil dan juga membuat keputusan sukar untuk rakyat.
“Mereka harus mempunyai rekod prestasi yang baik dalam perkhidmatan akar umbi dan keberanian untuk menangani isu sukar seperti kos kesihatan yang tinggi atau ketidaksamaan pendapatan.
“Paling penting, mereka mesti cukup peka akan identiti berbilang kaum di Singapura sambil membuat rancangan untuk masa depan kita,” katanya.
Seorang jurutera berumur 26 tahun yang enggan namanya disiarkan juga mengharapkan AP yang rendah hati dan tidak berlagak.
“Tetapi yang paling penting bagi saya, beliau perlulah merupakan seseorang yang dapat menyesuaikan diri dengan isu yang berkaitan dengan kerumitan kaum dan bijak mengendalikannya,” katanya.
“
Saya rasa pasukan yang dapat melakukan demikian akan dapat menikmati kejayaan di GRC Sengkang. Penduduk lebih muda pengubah keadaan di kawasan undi itu, sama seperti semasa GE2020.“
Selain berwibawa dan ikhlas, saya mahukan pemimpin yang menggabungkan empati dengan pragmatisme serta seseorang yang meluangkan masa untuk mendengar keluhan ibu bapa tunggal serta perniagaan kecil dan juga membuat keputusan sukar untuk rakyat.“
Satu huraian baik adalah untuk membangunkan hab bersepadu serupa Our Tampines Hub (OTH) yang menempatkan kemudahan sukan, tempat makanan dan perkhidmatan masyarakat di bawah satu bumbung. Pusat beli-belah yang lebih baik dengan rangkaian kedai yang lebih luas akan memberi penduduk Sengkang lebih banyak pilihan membeli-belah dan hiburan tanpa perlu ke estet lain.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg