Menteri Kesihatan Ong Ye Kung akan mengetuai pasukan lima anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk GRC Sembawang, yang akan merangkumi dua muka baru – Encik Ng Shi Xuan, 35 tahun, dan Encik Gabriel Lam, 42 tahun.
Pada sidang akhbar pada 22 April, Encik Ong mengesahkan bahawa pasukan GRC Sembawangnya akan dilengkapkan dengan Anggota Parlimen Vikram Nair dan Mariam Jaafar.
Cik Mariam berkata beliau teruja dapat bertanding untuk GRC Sembawang dan sudah merasakan penduduk kawasan Woodlands ‘seperti keluarga’.
Sementara itu, Cik Poh Li San akan bertanding kerusi tunggal baru Sembawang West pada pilihan raya akan datang, menentang Ketua Parti Demokratik Singapura (SDP) Chee Soon Juan.
Encik Ong berkata pendedahan parti PAP di Sembawang adalah yang terakhir menjelang Hari Penamaan Calon pada 23 April, yang membuka peluang parti pemerintah untuk bertanding di GRC Tanjong Pagar, dan menjangkakan pertandingan yang sukar seperti di GRC East Coast dan Punggol.
Anggota Parlimen Sembawang empat penggal, Encik Lim Wee Kiak tidak berada di taklimat itu, dan Encik Ong sebelum itu telah memberi penghormatan kepada pakar oftalmologi itu pada acara komuniti pada 13 April lalu.
Encik Ong berkata pada 22 April bahawa beliau belum dapat mengesahkan persaraan Dr Lim, memandangkan penempatan Hari Penamaan Calon adalah “satu susun suai yang rumit (dan) sentiasa ada keperluan untuk sandaran dan pelan kontingensi”.
Pengganti Dr Lim di kawasan Canberra, ialah Encik Ng Shi Xuan, yang merupakan pengarah sebuah syarikat bateri.
Sebelum ini memegang jawatan sebagai penjawat awam, beliau telah menjadi sukarelawan akar umbi di MacPherson selama sedekad dan merupakan Naib Pengerusi Rangkaian Belia MacPherson.
Encik Ng berkata beliau berminat dengan kesihatan dan kesejahteraan mental golongan muda, dan berharap dapat bersuara untuk perniagaan tempatan jika dipilih.
“Saya menjalankan perniagaan kecil-kecilan, menjual bateri, dan saya tahu kesukarannya. Terlalu banyak kertas kerja, terlalu banyak peraturan... SME (perusahaan kecil dan sederhana) kami mengupah 70 peratus tenaga kerja. Membantu mereka berkembang adalah satu cara untuk menjaga rakyat Singapura,” katanya.
Jika dipilih, beliau mahu mendorong pemerintah untuk menawarkan lebih banyak peluang bagi perniagaan mengetengahkan idea baru, dan juga untuk penggunaan kenderaan elektrik nasional yang lebih pantas.
Encik Lam, yang merupakan ketua pegawai operasi syarikat pemindahan Shalom International Movers, berkata beliau mahu memperjuangkan keluarga dan peluang kedua untuk rakyat.
Beliau telah terlibat dengan Yellow Ribbon Singapura sejak 2011, dan juga duta untuk Gabungan Bersatu Menentang Dadah Biro Narkotik Pusat.
“Saya memahami sepenuhnya kepentingan peluang kedua, dan peluang kedua bukan sahaja kepada mereka yang telah dipenjarakan, bahkan kepada mereka yang telah membuat keputusan dalam hidup yang membawa kepada kesusahan,” katanya.
Encik Ong berkata manifesto PAP untuk Sembawang akan dikeluarkan pada 23 April, dan kawasan itu mempunyai “bertahun-tahun, malah berdekad-dekad, pembangunan di hadapannya”.
Sambil memberi isyarat ke arah Limbungan Sembawang yang berdekatan, beliau berkata perpindahannya ke Tuas mulai 2026 akan membebaskan kawasan pantai yang besar – bersebelahan taman dan rumah kolonial – untuk kegunaan masa hadapan.
Menteri itu berkata belum ada pelan induk yang telah ditetapkan untuk kawasan itu, dan tiada satu pun untuk ruang bersebelahan stesen Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura yang akan datang di Woodlands.
“Kami akan melancarkan latihan yang agak besar, seperti yang selalu kami lakukan, untuk menarik minat penduduk untuk benar-benar membayangkan apa yang boleh dibina,” katanya.
Pertarungan tiga penjuru dijangka berlaku di GRC Sembawang, yang mempunyai lebih 133,000 pengundi, dengan SDP dan Parti Solidariti Nasional (NSP) telah mengisytiharkan hasrat mereka bertanding di sana.
Pada Pilihan Raya Umum 2020, PAP memenangi GRC Sembawang dengan 67.29 peratus undi menentang NSP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg