Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar, 47 tahun, terus memainkan peranan aktif dalam memperkasa masyarakat Woodlands dengan pelbagai inisiatif yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan – daripada kebajikan hinggalah kesenian.
Cik Mariam diperkenalkan kepada sidang media di Beaulieu House bersama calon PAP lain untuk GRC Sembawang yang meliputi kawasan Woodlands, di bawah jagaannya.
Bakal calon kawasan undi itu terdiri daripada usahawan, Encik Gabriel Lam dan Encik Ng Shi Xuan, bersama Encik Vikram Nair dan Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, sebagai pasukan yang akan bertanding untuk Pilihan Raya Umum (GE) 2025.
Menurut Cik Mariam, lulusan Universiti Stanford dan Sekolah Perniagaan Harvard, beliau melihat tanggungjawab sebagai wakil rakyat bukan sekadar kerjaya, malah satu amanah suci yang menuntut keikhlasan dan iltizam.
“Saya telah berusaha sedaya upaya mengangkat suara masyarakat Melayu/Islam ke Parlimen dan kepada barisan pemimpin negara,” ujar beliau semasa sidang media.
Sebagai sebahagian daripada pasukan M Kuasa Tiga (M3) dan melalui kerjasama dengan pelbagai badan Melayu/Islam, Cik Mariam telah melaksanakan inisiatif yang menyasarkan keperluan pendidikan, pekerjaan, kesihatan dan kebajikan sosial masyarakat setempat.
Antara pencapaian yang paling menonjol ialah projek Suara Utara, program berteraskan muzik yang dilancarkan semasa pandemik Covid-19.
“Kami bermula sebagai platform dalam talian untuk memberi peluang kepada pemuzik tempatan yang terkesan akibat kekurangan peluang kerja.
“Suara Utara kemudian berkembang menjadi saluran untuk menyatukan masyarakat dan menangani isu-isu sosial seperti pemulihan bekas banduan melalui bimbingan seni,” terang beliau.
Pada 2025, inisiatif tersebut melangkah lebih jauh dengan menganjurkan konsert amal Suara Utara: Rok untuk Rakyat, yang berjaya mengumpulkan dana sebanyak $180,000 bagi membantu penduduk di Gaza.
“Sambutan sangat luar biasa – bukan sahaja dari masyarakat Melayu, tetapi juga dari komuniti lain yang sama-sama prihatin,” tambah beliau, yang mengatakan konsert itu turut mendapat penajaan korporat.
Cik Mariam turut memberi penghargaan kepada penduduk Woodlands atas sokongan tidak berbelah bahagi yang diterima sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Saya berasa amat dekat dengan masyarakat di sini dan berharap dapat terus menabur bakti dan memperjuangkan aspirasi mereka,” kata beliau, yang pernah dipesan oleh arwah nenek supaya terus menjaga ‘Woodlands’ dengan baik.
Dengan semangat kepimpinan yang inklusif dan pendekatan akar umbi yang kukuh, Cik Mariam dilihat sebagai pemimpin yang bukan sahaja prihatin, bahkan berkesan dalam membawa perubahan bermakna kepada komuniti Woodlands.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg