Cik Poh Li San akan bertanding di SMC Sembawang West dan bersedia berdepan Setiausaha Agung Parti Demokratik Singapura (SDP) Dr Chee Soon Juan pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Dalam majlis pengenalan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Sembawang dan SMC Sembawang West di Beaulieu House pada 22 April, Cik Poh menyampaikan ucapannya dalam bahasa Melayu terlebih dahulu sebagai penghargaan kepada masyarakat Melayu/Islam yang telah menyokongnya sepanjang lima tahun lalu.
“Selamat petang, ribuan terima kasih atas sokongan padu yang telah anda berikan selama lima tahun ini,” kata beliau.
Cik Poh, Anggota Parlimen GRC Sembawang, menzahirkan rasa syukur dapat berkhidmat kepada masyarakat, sambil mengimbau program bersama seperti agihan bubur, majlis iftar semasa Ramadan dan sambutan Bulan Bahasa yang mengeratkan semangat gotong-royong.
Beliau menegaskan komitmennya untuk terus membela kebajikan masyarakat Melayu/Islam.
Fokus utamanya termasuk kesihatan warga emas, peluang pekerjaan untuk golongan dewasa dan pendidikan berkualiti untuk anak-anak.
Cik Poh berkata beliau mahu melihat masyarakat terus hidup dalam harmoni dan saling menyokong antara satu sama lain.
“Saya mahu lihat masyarakat kita terus erat. Hidup dalam keadaan harmoni dan saling menyokong,” katanya.
Apabila ditanya perasaannya bertanding dengan Dr Chee, Cik Poh berkata beliau akan terus bekerja keras dan semuanya akan terjawab nanti pada 3 Mei, Hari Mengundi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg