Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua pemimpin PAS campur tangan GE2025

Apr 25, 2025 | 11:49 PM
Bendahari Agung, Parti Islam SeMalaysia (PAS), Encik Iskandar Abdul Samad, telah menyatakan sokongan terhadap beberapa calon yang sedang bertanding dalam GE2025 menerusi Facebooknya.
Bendahari Agung, Parti Islam SeMalaysia (PAS), Encik Iskandar Abdul Samad, telah menyatakan sokongan terhadap beberapa calon yang sedang bertanding dalam GE2025 menerusi Facebooknya. - Foto FACEBOOK ISKANDAR ABDUL SAMAD

Dua pemimpin Parti Islam SeMalaysia (PAS) didapati masuk campur dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025). 

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD), dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 25 April, telah mengenal pasti Bendahari Agung, Parti Islam SeMalaysia (PAS), Encik Iskandar Abdul Samad, dan Ketua Pemuda PAS Selangor, Encik Mohamed Sukri Omar, sebagai dua individu yang telah campur tangan dalam GE2025.

MHA dan ELD telah mengeluarkan arahan tersebut di bawah Seksyen 61N Akta Pilihan Raya Parlimen (PEA).

Kedua-duanya telah mengeluarkan hantaran di Facebook yang menyiarkan komen mereka terhadap politik Singapura.

Di samping itu, terdapat satu penerbitan PAS, Harakah Daily, yang telah menyiarkan dua artikel pada 22 dan 23 April, menukil komen Encik Iskandar mengenai keadaan masyarakat Melayu di Singapura dan GE2025.

Kedua-dua artikel itu bertajuk, ‘PRU Singapura: Calon Melayu semakin menonjol’ dan ‘Jangan ulangi senario Melayu ‘disingkir’ dari bandar’.

Kenyataan MHA dan ELD pada 25 April berkata ia merupakan kesalahan bagi warga asing mempengaruhi GE Singapura.

“Warga asing tidak boleh mengarah, membiayai atau dalam apa cara sekalipun mempengaruhi pilihan raya Singapura.

“Adalah satu kesalahan di bawah Akta Pilihan Raya Parlimen (PEA) bagi warga asing untuk menyertai kegiatan pilihan raya atau menerbitkan pengiklanan pilihan raya dalam talian (OEA).

“Politik Singapura mestilah rakyat Singapura sahaja yang membuat keputusan,” tambah kenyataan itu.

Encik Iskandar menyatakan sokongan terhadap beberapa calon yang sedang bertanding dalam GE2025 menerusi Facebooknya.

Antaranya ialah calon Parti Pekerja (WP), Encik Faisal Manap dan calon Parti Demokratik Singapura (SDP), Encik Damanhuri Abas.

Menulis di akaun Facebook beliau, Encik Iskandar berkata:

“Sedih jika Faisal kalah, selepas segala usaha baik yang dilakukan sejak 2011.

“Beliau telah membangkitkan banyak isu terutamanya isu tudung dan mempunyai keberanian untuk menjelaskan kepada Parlimen bahawa dalam Islam, agama tidak boleh dipisahkan dari politik. Harap beliau akan berjaya sekali lagi walaupun sukar.”

Beliau turut memuat naik satu tangkap layar mengenai ucapan Encik Damanhuri di Hari Penamaan Calon dan berkata:

“Ucapan tegas beliau, patut dijadikan iktibar. ‘60 tahun mereka berkuasa, bersangka baik diinjak kepala’.”

Penerbitan, Harakah Daily, turut mengeluarkan artikel yang menukil komen Encik Iskandar.

Antaranya, dalam artikel bertajuk, ‘PRU Singapura: Calon Melayu semakin menonjol’ beliau menamakan tiga calon WP Melayu – Cik Siti Alia Abdul Rahim Mattar, Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, Encik Sufyan Mikhail Putra – yang menarik perhatiannya, selain daripada Encik Faisal dan Encik Damanhuri.

“Mungkin ramai menyangka orang Melayu di Singapura tidak berani menentang kerajaan (pemerintah), tetapi keadaan sekarang menunjukkan sebaliknya.

“Calon-calon yang tampil ini bukan calang-calang, malah berpendidikan tinggi, berpengalaman bidang profesional masing-masing,” katanya.

Awal sebelum ini, beliau turut mengetengahkan kekhuatiran berhubung langkah mengambil khidmat perundingan daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bagi menjayakan pembaharuan semula bandar negara itu.

Beliau bimbang konsep pemilikan perumahan Singapura dilihat sebagai agenda migrasi warga asing, sekali gus menyingkirkan Melayu bandar yang miskin apabila hartanah dijual pada harga bebas dan di luar kemampuan mereka.

“Apabila kita lihat perkembangan di Singapura dalam pembaharuan semula bandar, kesannya amat buruk sekali bagi orang Melayu. Di mana sebelum merdeka, Singapura ada kerusi-kerusi (Parlimen) di mana orang Melayu adalah majoriti,” ujarnya di artikel ‘Jangan ulangi senario Melayu ‘disingkir’ dari bandar’.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Encik Mohamed Sukri Omar, pula telah menyiarkan semula hantaran Encik Zulfikar Mohamad Shariff – yang telah menukar kewarganegaraan Singapura kepada Australia pada 2020 – mengenai isu ‘Hijab di Singapura, Mengapa AP Melayu tidak boleh menjadi harapan kita (masyarakat Melayu)‘.

Dalam hantaran tersebut, Encik Sukri mengaitkan Parti Tindakan Demokratik (DAP), sebuah parti di Malaysia, dengan PAP.

“Moga umat Islam di Malaysia tidak tertipu dengan DAP, mengulangi kesilapan di Singapura,” tulisnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg