Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua wajah baru sertai lawatan PAP di Toa Payoh

Apr 13, 2025 | 4:01 PM
Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat (kiri), bersama dua wajah baru Parti Tindakan Rakyat (PAP), iaitu pengarah eksekutif, CampusImpact, Cik Elysa Chen, dan peguam yang juga rakan kongsi di firma guaman, Tito Isaac & Co, Encik Kawal Pal Singh, semasa mengunjungi Pasar dan Pusat Makanan Toa Payoh West pada 13 April.
Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat (kiri), bersama dua wajah baru Parti Tindakan Rakyat (PAP), iaitu pengarah eksekutif, CampusImpact, Cik Elysa Chen, dan peguam yang juga rakan kongsi di firma guaman, Tito Isaac & Co, Encik Kawal Pal Singh, semasa mengunjungi Pasar dan Pusat Makanan Toa Payoh West pada 13 April. - Foto ZAOBAO

Dua wajah baru dapat dilihat semasa lawatan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) ke Toa Payoh pada 13 April, menjelang Pilihan Raya Umum (GE) yang akan datang.

Encik Kawal Pal Singh, rakan kongsi utama di firma guaman, Tito Isaac & Co; dan Cik Elysa Chen, pengarah eksekutif badan amal CampusImpact, dilihat beramah mesra dengan penduduk di Pasar dan Pusat Makanan Toa Payoh West.

Mereka turut ditemani Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, yang merupakan salah seorang daripada empat Anggota Parlimen (AP) bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Bishan-Toa Payoh.

Encik Chee melahirkan rasa gembira dengan penyertaan golongan muda seperti Cik Chen dan Encik Kawal Pal – kededuanya berusia 41 tahun – yang tampil untuk berkhidmat kepada masyarakat.

“Mereka mempunyai semangat untuk berkhidmat, hati yang ikhlas dan keinginan untuk menyumbang semula kepada masyarakat.

“Saya berasa gembira dan mengalu-alukan mereka menyertai pasukan kami,” kata Encik Chee yang telah berkhidmat di GRC Bishan-Toa Payoh selama 10 tahun.

Penglibatan mereka mencerminkan usaha berterusan PAP untuk memperbaharui dan menyegarkan pasukannya.

Ia selaras dengan kenyataan Setiausaha Agung PAP merangkap Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 12 April, yang menyatakan hasrat PAP untuk membawa masuk “idea dan tenaga baru”.

Bekas pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) yang kini peguam, serta rakan kongsi di firma guaman, Tito Isaac & Co, Encik Kawal Pal Singh, menyertai lawatan Parti Tindakan Rakyat (PAP) ke Toa Payoh sambil berkongsi kisah peribadi beliau serta soal ketabahan dan keinginan untuk berkhidmat.
Bekas pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) yang kini peguam, serta rakan kongsi di firma guaman, Tito Isaac & Co, Encik Kawal Pal Singh, menyertai lawatan Parti Tindakan Rakyat (PAP) ke Toa Payoh sambil berkongsi kisah peribadi beliau serta soal ketabahan dan keinginan untuk berkhidmat. - Foto BH oleh KHAIRUL AKMAL ALI

Apabila ditanya apakah yang boleh beliau tawarkan kepada penduduk Bishan-Toa Payoh, Encik Kawal Pal, berkata beliau membawa nilai harapan dan ketabahan kepada penduduk di sana.

“Saya pernah belajar di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), sebelum ini saya seorang pelajar teknikal biasa.

“Jadi kebanyakan orang akan mengatakan ia adalah satu laluan yang tidak konvensional untuk menjadi seorang peguam,” ujar Encik Kawal Pal.

Beliau turut menekankan, sebagai warga Singapura, beliau gembira menawarkan khidmat di mana-mana jua beliau berada.

Cik Elysa Chen beramah mesra dengan pegerai di Pasar Toa Payoh West bersama Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat. Menurut Cik Chen, antara cabaran yang beliau dengar hasil interaksi bersama penduduk di sana ialah berhubung harga rumah di kawasan estet tersebut.
Cik Elysa Chen beramah mesra dengan pegerai di Pasar Toa Payoh West bersama Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat. Menurut Cik Chen, antara cabaran yang beliau dengar hasil interaksi bersama penduduk di sana ialah berhubung harga rumah di kawasan estet tersebut. - Foto BH oleh KHAIRUL AKMAL ALI

Sementara itu, bagi Cik Chen, beliau amat teruja bertemu dengan penduduk di Toa Payoh dan dapat melihat semangat penuh bertenaga warga emas yang masih aktif dalam masyarakat.

“Selain berkhidmat untuk golongan muda, tugas saya turut melibatkan ibu bapa dan menggerakkan sumber masyarakat supaya golongan muda mendapat sokongan yang mereka perlukan – dalam pendidikan, peluang dan pembangunan menyeluruh.

“Salah satu pengalaman saya adalah dalam menyatukan sumber dan rakan kongsi masyarakat untuk melihat golongan muda serta keluarga mereka berkembang maju,” kata beliau.

GRC Bishan-Toa Payoh berada di bawah pengurusan PAP sejak penubuhannya pada 1997.

Dalam GE2011, pasukan PAP yang diketuai oleh Encik Wong Kan Seng, memperoleh 56.93 peratus undi, menewaskan Parti Rakyat Singapura (SPP).

Pada 2015, di bawah pimpinan Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, undian bagi PAP meningkat kepada 73.59 peratus.

Dalam GE2020, PAP kekal berkuasa dengan 67.26 peratus undi, sekali lagi menewaskan SPP.

Encik Chee, yang berkhidmat di GRC Bishan-Toa Payoh sejak 2015, berkata beliau berharap dapat meneruskan usahanya dalam kawasan tersebut, sambil mengenang satu dekad menyaksikan pembangunan masyarakat dan prasarana di GRC Bishan-Toa Payoh.

“Masih banyak lagi yang ingin saya lakukan bersama penduduk kami.

“Saya berharap penduduk akan terus menyokong saya dan pasukan saya agar kami dapat melakukan lebih banyak lagi untuk mereka dan keluarga mereka,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg