Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Parti Rakyat Singapura akan tanding di GRC Bishan-Toa Payoh, Potong Pasir

Mar 29, 2025 | 7:35 PM
Bendahari Parti Rakyat Singapura (SPP), Encik Williiamson Lee (belakang, dua dari kiri); setiausaha agung, Encik Steve Chia (belakang, tiga dari kiri); dan pengerusi parti, Encik Melvyn Chiu (belakang, dua dari kanan); semasa lawatan bertemu penduduk di  Toa Payoh Palm Spring pada 29 Mac.
Bendahari Parti Rakyat Singapura (SPP), Encik Williiamson Lee (belakang, dua dari kiri); setiausaha agung, Encik Steve Chia (belakang, tiga dari kiri); dan pengerusi parti, Encik Melvyn Chiu (belakang, dua dari kanan); semasa lawatan bertemu penduduk di Toa Payoh Palm Spring pada 29 Mac. - Foto ST

Parti Rakyat Singapura (SPP) akan kembali ke kawasan biasanya di GRC Bishan-Toa Payoh dan SMC Potong Pasir dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) akan datang.

Bercakap kepada media semasa lawatan bertemu penduduk di Toa Payoh Lorong 4 pada 29 Mac, Setiausaha Agung SPP, Encik Steve Chia, berkata calon-calon yang ingin dikemukakan parti itu di kedua-dua kawasan undi itu telah disahkan, tetapi parti itu akan mengumumkannya hanya selepas Parlimen dibubarkan, lapor The Straits Times.

Beliau berkata: “Seperti yang anda semua tahu, kami bertanding di Bishan-Toa Payoh dan Potong Pasir pada pilihan raya lepas dan pilihan raya sebelumnya juga. Jadi sekali lagi, pada GE2025 ini, kami akan kembali bertanding di (kawasan undi ini).

“Dan kami berharap dapat memenangi semula hati rakyat di kedua-dua kawasan undi ini, dan semoga dapat memenangi semula kerusi di Parlimen. Inilah yang kami harap dapat dicapai.”

Encik Chia berkata dalam minggu-minggu berikutnya, parti itu akan melakukan banyak kerja asas dan bertemu serta bercakap dengan penduduk.

Ahli-ahlinya akan memberitahu penduduk tentang manifesto parti itu dan isu-isu yang ingin dibangkitkan parti itu di Parlimen.

Anggota parti itu, termasuk pengerusi parti, Encik Melvyn Chiu, dan bendahari, Encik Williiamson Lee, berjalan di sekitar pelbagai kawasan di Toa Payoh pada pagi 29 Mac, dan dilihat bercakap dengan pekedai dan penduduk.

Ditubuhkan pada 1994, SPP telah bertanding bagi merebut GRC Bishan-Toa Payoh pada tiga pilihan raya umum yang lalu.

Dalam pilihan raya umum sebelum ini pada 2020 (GE2020), pasukan SPP yang terdiri daripada Encik Chia, Encik Chiu, Encik Lee dan Encik Osman Sulaiman, memperoleh 32.77 peratus undi.

Mereka tewas kepada lawan mereka dari Parti Tindakan Rakyat (PAP) – Dr Ng Eng Hen, Encik Chee Hong Tat, Encik Chong Kee Hiong dan Encik Saktiandi Supaat – yang memenangi 67.23 peratus undi.

Di Potong Pasir, pengerusi SPP ketika itu, Encik Jose Raymond, tewas kepada penyandang Anggota Parlimen (AP) Potong Pasir, Encik Sitoh Yih Pin daripada PAP, yang memenangi 60.67 peratus undi.

Encik Raymond, yang menerima 39.33 peratus undiannya, mengumumkan persaraannya daripada politik lewat 2020.

Dalam enam pilihan raya umum lepas, SPP telah bertanding di Potong Pasir sebanyak empat kali.

Pada dua kesempatan yang lain, ia bertanding di kawasan undi di bawah Perikatan Demokratik Singapura, sebuah gabungan parti politik di Singapura.

Kawasan undi itu adalah kubu kuat mantan setiausaha agung SPP dan ahli politik veteran pembangkang, Encik Chiam See Tong, yang kini berusia 90 tahun. Beliau merupakan AP di kawasan itu dari 1984 hingga 2011.

Menyediakan maklumat terkini mengenai kesihatan Encik Chiam, Encik Chia berkata beliau “dalam keadaan sebaik yang boleh untuk usianya” dan parti itu mahu “menuntut kembali warisan itu”.

Encik Chia berkata beliau telah mengadakan perbincangan untuk mengelak pertembungan tiga penjuru di Potong Pasir dengan Encik Lim Tean, setiausaha agung pakatan pembangkang Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR).

Encik Lim juga mengetuai Suara Rakyat (PV), sebuah parti dalam perikatan itu.

Mengingat sejarah SPP di kawasan itu, Encik Chia berkata: “Kami tidak boleh membiarkan rakyat Potong Pasir kecewa... Saya telah pun bercakap dengan mereka, memberitahu mereka kami sangat tegas dalam (calon) kami bertanding di Potong Pasir.”

Encik Chiu berkata parti itu berhasrat menangani banyak isu asas kehidupan seharian pada 2025, dengan tumpuan kepada peningkatan kos sara hidup.

Beliau berkata: “Semasa lawatan kami, kami telah bercakap dengan ramai penduduk, dan ramai daripada mereka berkata bahawa mereka boleh melakukan sangat sedikit dengan $50 hingga $100. Mereka membawa $50 ke pasar, dan mereka tidak pulang ke rumah dengan banyak barangan runcit.

“Jadi, kos sara hidup adalah kebimbangan besar bagi mereka, dan juga kenaikan harga sewa - yang mendorong banyak perniagaan kecil keluar.”

Beliau berkata ramai pekedai yang bercakap dengan parti itu berkata mereka akan melepaskan gerai mereka kerana kenaikan sewa, kerana tidak masuk akal untuk menghabiskan satu hari penuh di kedai dan mengaut keuntungan sedikit atau tiada langsung. Ada yang mengalami kerugian.

Beliau berkata ini adalah isu yang ingin dibawa oleh parti itu ke Parlimen, sekiranya ahlinya dipilih.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg