Masih menjadi tanda tanya sama ada Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Dr Mohamad Maliki Osman akan bertanding bagi pilihan raya umum akan datang.
Namun, beliau dilihat mendekati penduduk di GRC East Coast pada 19 April, memperkenalkan muka baru, mantan presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim, yang akan menggantikan tempatnya sebagai bakal calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi daerah mengundi Siglap dalam GRC East Coast, yang diterajui Dr Maliki hampir 14 tahun sejak 2011.
Dr Maliki turut memperkenalkan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, kepada penduduk sebagai calon yang akan menjadi “pemimpin pasukan” dan akan “memantau GRC East Coast”, ketika mengelilingi estet di Bedok South.
Ditanya Berita Minggu (BM) sama ada ini bermakna Encik Tong akan menjadi menteri utama di GRC tersebut, Dr Maliki tidak mengesahkannya.
Beliau sebaliknya menjelaskan bahawa mereka semua mempunyai tanggungjawab memantau daerah itu bersama dan sebagai menteri, mereka merupakan pemimpin GRC, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat.
“Kami semua berada di sini untuk berkhidmat, dan (mereka) baru kepada GRC ini, justeru sebagai seorang yang sudah berada di sini buat sekian lama, saya ingin perkenalkan mereka kepada penduduk saya bahawa mereka mungkin berkhidmat kepada mereka, menggantikan saya,” ujarnya.
Sejauh ini, parti pemerintah PAP telah mengumumkan barisan calonnya buat sekurang-kurangnya 18 kawasan undi – kebanyakannya di daerah barat dan tengah Singapura.
Ditanya sama ada berahsia merupakan sebahagian strategi, Encik Tong menafikan demikian dan berkata pasukan tersebut akan menunggu sehingga Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengesahkan barisan calon sebelum membuat pengumuman rasmi.
Beliau menambah bahawa ia adalah tentang mengenal pasti calon yang tepat untuk memenuhi keperluan demografi tersebut.
“Ia bukan soal pilihan terbaik secara taktikal, tetapi apakah hubungan yang sesuai dari segi demografi antara bakal calon dengan masyarakat yang mereka akan berikan khidmat. Itulah saya rasa kriteria paling penting,” jelasnya.
Encik Tong, yang ingin terus mewakili penduduknya di kawasan Joo Chiat, berkata beliau hanya boleh melakukan demikian jika bertanding di GRC East Coast dan bukan Marine Parade menyusuli perubahan sempadan yang dikeluarkan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) pada 11 Mac.
Encik Tong, Dr Maliki dan Cik Hazlina kemudian disertai muka baru, mantan Ketua Turus, Staf bersama Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Encik Goh Pei Ming, yang sebelum itu telah berinteraksi dengan penduduk di daerah New Upper Changi Road, bersama Encik Heng dan Timbalan Speaker Parlimen, Cik Jessica Tan.
Persoalan sama ada Encik Heng akan terus berada di GRC East Coast atau akan bersara terus menjadi tanda tanya.
Bercakap kepada media, Encik Goh berkata beliau sebenarnya bukan muka baru di East Coast, malah sudah menjadi relawan di Kampong Chai Chee selama 17 tahun.
Ditanya tentang kehadirannya di East Coast pada 19 April, Encik Goh berkata beliau sedang memahami keadaan penduduk di sana, tetapi pada masa yang sama memastikan beliau tahu akan perkembangan di Punggol.
Masih belum jelas sama ada beliau akan ditempatkan di GRC East Coast, di mana beliau telah dilihat sejak kebelakangan ini. Sebelum ini, beliau turut dilihat di GRC Punggol yang baru.
Penduduk Siglap selama 30 tahun, Cik Fatimah Shaik Said, 67 tahun, berkata beliau sedih ketika mendapat tahu Dr Maliki bakal digantikan.
Ini memandangkan Dr Maliki sudah berkhidmat buat sekian lama dan sangat aktif serta mesra dengan penduduk.
Bagaimanapun, pesara itu berkata:
“Pada saya, sesiapa pun yang bertanding di sini, kita sebagai penduduk perlu sokong, terima dan beri peluang.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg