Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Edwin Tong: Idea, dasar yang baik perlu praktikal, boleh dilaksana

Ulangi komitmen pemerintah PAP sentiasa sokong rakyat harungi cabaran yang dihadapi, termasuk isu kos sara hidup dan pekerjaan
Apr 26, 2025 | 10:38 PM
Edwin Tong, PAP, GRC East coast
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, di rapat Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC East Coast di Stadium Bedok pada 26 April. - Foto ST

Dasar baik bukan hanya mengenai idea atau saranan baik, namun perlu dipastikan dasar itu adalah praktikal dan boleh dilaksana, serta mesti masuk akal dari segi ekonomi buat kedua-dua jangka pendek dan panjang, kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong.

Berucap di rapat Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC East Coast di Stadium Bedok pada 26 April, Encik Tong menekankan keperluan “melangkaui retorik dan kata-kata”.

Sebaliknya, “dalam pilihan raya ini… parti akan perlu menunjukkan kepimpinan, visi dan pandangan jauh yang jelas tentang idea-idea dasar”, kata Encik Tong, sambil mempersoalkan beberapa saranan yang telah dikemukakan Parti Pekerja (WP) sebagai contoh.

Ini termasuk saranan parti pembangkang itu untuk menaikkan cukai yang dibayar syarikat berbilang negara (MNC) untuk meningkatkan pendapatan, dan menaikkan Sumbangan Pulangan Pelaburan Bersih (NIRC) kepada 60 peratus berbanding 50 peratus ketika ini agar negara tidak perlu menaikkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Dari sudut perspektif ahli politik, ia bukan idea yang tidak baik… ia bererti pemerintah tidak perlu menjelaskan mengapa kami perlu menaikkan GST kepada rakyat. Oleh itu, mengapa tidak? Ia bukan idea tidak baik dari sudut perspektif ahli politik.

“Namun, dari perspektif melindungi kepentingan jangka panjang Singapura untuk anak kita, dan anak mereka, dan cucu-cicit kita… adakah itu berhemah? Adakah itu selamat? Adakah itu bijak?

“Kerana ini bermakna rizab kita akan tumbuh pada kadar lebih perlahan daripada sebelumnya, meninggalkan sumber yang lebih rendah kepada generasi rakyat Singapura berikutnya,” kata Encik Tong.

Justeru, beliau berkata dasar yang baik bukan sekadar idea yang baik sahaja.

“Terdapat banyak lagi yang diperlukan untuk menjadikan idea baik menjadi sesuatu yang boleh berfungsi dengan baik,” tambahnya, sambil berkata PAP komited berkhidmat kepada rakyat.

Meskipun dunia kini bergolak dengan ketidaktentuan ekonomi, ketegangan geopolitik, dan perang perdagangan, Encik Tong berkata pemerintah PAP akan sentiasa menyokong rakyat Singapura mengharungi cabaran yang dihadapi, termasuk isu kos sara hidup dan pekerjaan.

Beliau berkata pemerintah terus memantau situasi dengan dekat, dan sekiranya lebih banyak bantuan diperlukan, pemerintah akan meningkatkan sokongan kepada rakyat.

“Kami bukan hanya memikirkan tentang langkah jangka pendek, seperti rebat dan baucar. Ia penting dan banyak membantu, dan ia membantu peniaga di estet kejiranan. Tetapi kami bukan hanya memikirkan tentang langkah-langkah ini.

“Kami juga memberi tumpuan pada usaha memperkukuh ekonomi buat jangka panjang agar kami boleh bina tenaga kerja lebih berdaya tahan dan perniagaan berdaya maju untuk beroperasi. Kami juga memberi tumpuan pada kesan situasi ekonomi semasa terhadap pekerjaan,” katanya.

Turut hadir di rapat itu adalah rakan calon sepasukan GRC East Coast lain termasuk Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How; Cik Jessica Tan; dan dua muka baru – Encik Dinesh Vasu Dash dan Cik Hazlina Abdul Halim.

Juga membuat penampilan ialah Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat; mantan Menteri Tenaga Manusia, Encik Lim Swee Say; mantan AP SMC Potong Pasir, Encik Sitoh Yih Pin; dan mantan AP GRC East Coast, Cik Cheryl Chan.

Encik Tan, dalam ucapannya, menyenaraikan inisiatif yang telah dilakukan pasukan PAP di GRC East Coast sepanjang lima tahun lalu, termasuk membantu meringankan beban kos sara hidup dan menyokong warga emas.

Tugas mereka di East Coast belum berakhir, katanya, sambil menggesa penduduk supaya tidak menebang “pokok” sebagai pertukaran untuk “janji manis” keuntungan baik dengan menjualnya sebagai kayu.

“Setiap kali ada pilihan raya, mungkin ada janji manis yang kelihatan atau kedengaran baik dalam jangka pendek. Namun dalam jangka panjang, anda memusnahkan akar pokok yang kukuh,” kata beliau.

Sementara itu, Cik Hazlina, yang berucap dalam bahasa Melayu, berkata sedang beliau akur kemelut dunia yang disaksikan kini sukar ditelan, rakyat Singapura harus saling menghormati dan mempertahankan satu sama lain dan jangan membiarkan masyarakat berpecah belah.

“Saya mohon sekali lagi diberi kepercayaan mengharungi cabaran ini bersama anda kerana saya yakin kita boleh membina dan membentuk Singapura yang kita inginkan bersama. Di mana bumiku pijak, di situ langitku junjung,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg